Bismillahirrahmanirrahim
Musim luruh sudah di penghujungnya. Pokok-pokok mula tidak berbaju. Angin sejuk juga mula menghinggap hingga ke tulang dalamnya. Matahari segan untuk muncul lama, dan membiarkan bulan menjadi permata di kegelapan malam.
Afeef sudah lima bulan. Setiap hari pasti ada sesuatu yang dia terokai. Kini, kakinya menjadi permainan utama setelah jari-jarinya menjadi mangsa gigitan gusinya yang mulai gatal. Melihat Afeef membesar di depan mata sendiri adalah satu kebahagiaan yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata. Cuma hati saya ada sedikit kekesalan, alangkah bagusnya jika kajian saya berkembang baik seperti mana Afeef yang setiap hari mengalami perkembangan yang positif....
Merujuk tajuk entri kali ini, suka untuk saya kongsikan pengalaman peribadi membawa Afeef untuk menghadiri Majlis Ilmu. Ada beberapa perasaan yang saya risaukan sebelum membawa bayi sekecil dia yang masih belum memahami apa-apa. Adakah saya boleh memberi perhatian sepenuhnya kepada majlis? Adakah tangisan Afeef akan menganggu majlis? Apa yang perlu saya lakukan jika Afeef berada di luar kawalan? Bagaimana reaksi saya jika saya tidak mampu mengawal?
Situasi Pertama
Pertama kali membawa Afeef ke Majlis Ilmu ialah pada waktu siang di rumah salah seorang sahabat di Birmingham. Umurnya mencecah 4 bulan. Bukan tidak mahu membawanya ketika umur Afeef masih awal, tetapi pasti ada halangan dan sejujurnya saya masih tidak bersedia. Ketika di rumah kak Azza, Afeef bertindak positif duduk di atas riba saya dan wajhnya memerhati orang di sekelilingnya. Dia juga sudah diberikan susu sebelum saya sampai di Majlis Ilmu. Sepanjang majlis tersebut, Afeef tidak merengek walau sekali. Malah ada rakan-rakan yang membantu memegangnya ketika saya makan juga memuji kerana Afeef sangat behave. Saya solat dan sempat menyusukan dia sekejap. Kira-kira 3 jam selepas itu (anggaran), Afeef mula bosan dan berbunyi, saya salinkan lampinnya. Dia masih merengek, dan saya tahu dia ngantuk. Tetapi suasana majlis agak menghalang dia untuk tidur walaupun saya sudah peluk sambil menyusukan dia. Dia tenang dan kemudian kami pulang. Seperti biasa, car seat di dalam kereta adalah tempat tidur paling selesa baginya.
Situasi Kedua
Majlis ilmu ini diadakan pada waktu malam. Ini kali pertama saya membawa Afeef ke Majlis Ilmu pada waktu malam. Siang tadi saya ke sekolah, dan saya memahami suami juga memerlukan 'me time' setelah seharian menjaga Afeef pada waktu siang. Saya pastikan Afeef sudah salin lampin dan kenyang, tapi saya agak khuatir yang dia pasti akan meragam sebelum tidur. Kebiasaannya Afeef akan tidur sekitar jam 8 malam. Di Majlis Ilmu, saya menyusukan Afeef sebelum majlis bermula. Kalau boleh, saya mahu tidurkan dia di sepajang majlis tetapi tidak berjaya. Dua puluh minit pertama Afeef masih berkelakuan baik. Saya biarkan dia di atas riba dan menyusukannya jika dia mahu. Apabila sudah bosan, dia sudah mula merengek. Dia ngantuk. Saya tahu. Malah tangisan dia sudah menganggu majlis. Sejujurnya saat ini saya mahukan suami ada di sisi, untuk dia memujuk Afeef dan menidurkannya, tapi dia tiada. Saya perlu menghadapinya sendiri. Afeef sempat tidur hanya sepuluh minit, kemudian berjaga dan merengek lagi. Saya biarkan dia dan teruskan mendengar perkongsian. Sehingga habis majlis, Afeef tidak tidur walaupun matanya sudah merah. Dia merengek lagi. Saya sudah kehilangan idea kerana ubat terbaik ialah baring dan menyusukan Afeef sehingga dia tertidur. Alhamdulillah suami tiba dan seperti biasa, car seat di dalam kereta adalah tempat tidur paling selesa baginya.
Di sini, saya dapat simpulkan bahawa ada beberapa faktor yang mempengaruhi anak kecil sekiranya menghadiri Majlis Ilmu:
Pertama, waktu memainkan peranan yang sangat penting. Bayi mempunyai sikap yang berbeza pada waktu siang dan malam.
Kedua, sokongan suami dan kawan-kawan sangat membantu. Sekiranya suami turut hadir ke Majlis Ilmu, bergilirlah dengan dia untuk menenangkan bayi. Ini bagi mengelakkan rasa bosan yang bayi rasai, dan ibu boleh mengawal emosi dengan baik. Kawan-kawan juga boleh membantu sekiranya diperlukan.
Ketiga, bangun dan keluar daripada majlis untuk sementara. Ini bagi mengelakkan majlis terganggu dengan suara tangisan bayi yang memang tidak boleh dikawal. Lihat jam tangan dan ibu boleh membuat keputusan untuk keluar daripada majlis sekiranya majlis akan tamat cepat atau lewat.
Keempat, latih dan latih untuk bawa lagi ke Majlis Ilmu. Biasakan dia dengan suasana ini. Sebelum saya menghadiri majlis untuk dua situasi di atas, saya beritahu Afeef ke mana kita akan pergi dan memberitahu ganjaran pahala yang akan diperolehi jika hadir ke Majlis Ilmu, biarpun dia kecil dan belum memahami, saya pasti apabila kita mengulangi sesuatu yang positif, ia akan menghasilkan hasil yang positif juga. Pada umur sekecil begini, memang agak sukar untuk kita memahami perasaan si bayi, mungkin perutnya kembung, panas atau tidak selesa, tetapi si ibu perlu bijak menanganinya. Saya perlu baiki kelemahan diri dan menambah baiki tindakan saya terhadap anak sekecil Afeef. Semoga dia faham suatu hari nanti.
Saya terbaca satu catatan di FB, dan saya kagum dengan didikan dia kepada anaknya, tetapi ia hanya boleh diaplikasikan kepada anak yang sudah mula berfikir. Mungkin pada satu hari nanti, saya boleh mempraktisnya kepada Afeef:
Saya ibu baru, dan saya masih dalam proses belajar menjadi ibu. Saya sangat mengalu-alukan jika ada pembaca yang boleh kongsikan bagaimana mendidik anak sekecil bayi lima bulan untuk mencintai dan menghadiri Majlis Ilmu.
Wallahua'lam..