Bismillahirrahmanirrahim
Lama saya meninggalkan blog ini bersawang. Lama juga saya menyusun jari dan kata-kata untuk menulis entri kali ini. Lama saya berfikir agar apa yang saya tulis pada kali ini adalah untuk mengimbau kenangan pada masa akan datang. Lama juga saya terdiam agar emosi dapat dikawal ketika menulis tentang seseorang yang amat disayangi tetapi Allah lebih menyayanginya...
Tanggal 20 Mei 2017, tarikh itu genap kandungan saya berusia 32 minggu bersamaan 8 bulan. Sabtu minggu ini saya dan suami merancang untuk berehat di rumah memandangkan setiap hujung minggu yang lepas kami berada di tempat lain. Alhamdulillah dapat mengemas rumah dan memasak. Hari tu saya masak ayam goreng berlada kerana tekak teringin yang pedas-pedas dan panas-panas. Setelah seharian di rumah, petang itu kami pergi ke kedai berdekatan untuk membeli air minuman dan sedikit cemil-cemilan. Saya mencari cendol di JB minggu lepas tapi tak berjumpa, Alhamdulillah ada rezeki berjumpa cendol dan suami juga belikan aiskrim sebab saya menyebut mahu makan aiskrim malam tadi. Tetapi saya dapat panggilan video daripada adik.
Panggilan itu memfokuskan kepada wajah Ayah yang sedang menahan kesakitan. Kelihatan dua kakak saya, adik dan beberapa anak saudara sedang mengerumuni Ayah. Kakak tidak berhenti menyebut nama Allah. Adik juga tidak berhenti melafazkan doa-doa buat Ayah. Mereka dalam proses untuk menukarkan lampin pakai buang Ayah kerana najis sudah bercampur dengan darah. Seorang anak saudara gigih membawa handphone ke sana ke mari untuk saya lihat Ayah dari pelbagai sudut. Saya lihat wajah kerisauan Emak. Saya lihat usaha gigih adik beradik saya untuk pastikan Ayah dalam keadaan bersih tanpa menyakiti Ayah. Saya lihat juga mesin pengukur bacaan darah tidak boleh dibaca kerana keadaan kritikal Ayah. Air mata saya menangis laju. Saya berdoa saat itu juga saya terbang ke Johor Bahru untuk memeluk Ayah dan membantu apa yang perlu.
Adik saya menyebut zikir dengan semakin kerap. Air mata saya juga semakin kerap membasahi bumi. Saya katakan kepada Ayah untuk tunggu kepulangan saya. Mata Ayah terpejam. Mulutnya berkumat-kamit, dan saya yakin bahawa zikir di bibir Ayah itu tidak pernah berhenti. Mereka mencuba lagi untuk memeriksa bacaan tekanan darah tetapi gagal. Hati saya sudah tidak sedap. Merayu-rayu saya katakan kepada suami untuk pulang ke Johor Bahru pada malam ini, dan dia setuju tanpa berfikir panjang lagi. Panggilan video sudah tamat, tetapi kerisauan saya masih hebat. Saya berdoa agar Allah permudahkan segalanya. Saya juga berdoa jika masih diberi kesempatan waktu, izinkan untuk saya bertemu Ayah sebelum dia pergi. Berbeza perasaan ini bila mana melihat wajah yang disayangi di alam nyata dan dunia teknologi.
Kami pulang ke rumah, hilang selera saya untuk menikmati cendol dan aiskrim yang dibeli. Suami saya membantu melayani Afeef dan saya panaskan semua makanan baki siang tadi untuk dihabiskan sebelum pulang ke Johor agar tidak terbazir begitu sahaja. Aiskrim yang suami beli masih ada lagi di peti ais sehingga kini. Hati saya belum terbuka untuk menjamahnya kerana masih terbayang suara dan wajah ayah menahan kesakitan.
Usai solat mahrib, saya mengemas beg untuk pulang ke Johor. Adik saya mesej: "Ayah nazak, pulang ke Johor sekarang." Saya terkelu dan mempercepatkan lagi proses mengemas. Suami beri arahan untuk bawa baju lebih sebab sekirannya ada apa-apa yang terjadi, kita sudah bersedia untuk duduk di Johor lebih lama sedikit. Kemudian telefon saya berdering, adik dengan sekali lafaz menyebut Ayah sudah meninggal dunia. Innalillahiwainnailaihiraji'un.....
Diceritakan oleh adik saya bahawa Ayah dibawa ke KPJ selepas maghrib dan dibawa ke wad kecemasan. Ayah pergi dengan tenang setelah diperiksa oleh doktor pada jam 9.02 malam. Ayah pergi disaksikan oleh adik dan emak di hospital tersebut. Adik saya pesan agar tidak terburu-buru pulang dan jenazah akan dikebumikan pada Ahad pagi. Alhamdulillah kami sekeluarga tiba di Johor Bahru jam 1.30 pagi.
Minggu lepas pada cuti hari wesak, saya pulang ke Johor Bahru dan mengambil cuti untuk tinggal lebih lama. Sejujurnya saya cemburu dengan abang, kakak2 dan adik saya yang boleh mneyantuni Ayah sepanjang masa kerana mereka tinggal d Johor Bahru. Saya rasakan hari-hari yang berlalu dengan melihat Ayah di depan mata sangat bermakna, Saya berpeluang menyalinkan lampin Ayah, memberikannya susu, mengambilkan wudu' dan solat bersama-sama, membaca Qur'an di sebelahnya, memberi respon dengan segera jika dia mahukan sesuatu, dan ia adalah satu peluang yang sangat berharga. Saya tidak mampu membalas semua jasa dan kebaikan Ayah membesarkan kami semua dan wallahi Ayah adalah seorang yang sangat mengambil berat ketika anaknya sakit, sesiapa sahaja, pasti akan dibawa ke klinik, dijaga dan dipastikan bahawa anaknya itu kembali sihat seperti biasa.
Terbayang-bayang Ayah yang sedang menyapu ubat chickenpox di belakang badan saya ketika saya Tingkatan 3, Ayah yang mengangkat saya tidur di dalam kereta kerana demam dan dibawa masuk ke dalam rumah, Ayah yang menemani saya berjumpa doktor di klinik, Ayah yang membelikan apa yang diingin oleh anaknya ketika mahukan sesuatu, dan saya tidak mampu menyebut satu persatu jasa dan pengorbanan seorang Ayah.
Pernah beberapa kali saya bisikkan kepada Ayah untuk tunggu anak yang saya kandung ini lahir. Cucunya yang ke empat belas. Saya pernah tanya kepada Ayah untuk memberikan nama kepada anak ini, tetapi Ayah hanya menyebut akan difikirkan nanti. Akhirnya cucu ini tidak berpeluang bertemu Atoknya... Tetapi saya tidak akan jemu untuk bercerita tentang Ayah kepada anak-anak saya suatu hari nanti.
Kata kakak saya, Ayah tidak pergi, tetapi Ayah kembali kepada Ilahi. Ayah bertemu Pencipta di Negeri Abadi. Dunia ini hanyalah sementara dan kematian itu sesuatu yang pasti.
Saya redha dengan pemergian Ayah. Saya redha bahawa Allah telah tetapkan sesuatu dengan begitu sempurna. Hari-hari yang Ayah diuji adalah untuk meringankan apa sahaja yang Ayah akan alami di alam kubur dan akhirat nanti. Allah lebih menyanyangi Ayah dan kami yang tinggal ini akan tetap menyayangi Ayah hingga ke akhir hayat kami..
Allahummaghfirlahuwarhamhuwa'afihiwa'fu'anhu..
Allah, ampunilah Ayah, rahmatilah Ayah dan tempatkanlah Ayah dikalangan mereka yang beriman dan beramal solah. Kurniakanlah Ayah darjat yang tinggi dan syurga yang menanti. Permudahkanlah Ayah untuk bertemu Kau di akhirat nanti dan temukanlah kami sekeluarga kembali di syurga kelak InsyaAllah...
Amin
Allahumma Amin..
No comments:
Post a Comment