Bismillahirrahmanirrahim
Semoga saya berjumpa dengan pengasuh yang baik yang boleh menjaga Afnan ketika 8 jam waktu bekerja, dan Afnan boleh memberi kerjasama mengunakan botol dalam tempoh tersebut sahaja.
Alhamdulillah saya masih dalam tempoh cuti bersalin. Berpantang dah lama habis dan hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa nikmatnya duduk di rumah, membelai anak, mengemas rumah, memasak setiap hari tanpa memikirkan hal kerja mengajar dan pejabat.
Setiap pekerja kerajaan diberi tempoh 300 hari untuk cuti bersalin yang diperuntukkan untuk lima anak sahaja. Oleh itu, mereka mempunyai pilihan untuk mengambil cuti dua bulan (enam puluh hari) atau tiga bulan (sembilan puluh hari) bergantung kepada jumlah anak masing-masing. Memandangkan saya belum pernah mengambil cuti bersalin (kerana Afeef dulu dalam tempoh cuti belajar), saya memilih cuti tiga bulan dan masih ada baki dua minggu sebelum saya masuk semula bekerja.
Dalam cuti begini, ada lah juga masa untuk saya menulis blog dan membaca ruangan blog sahabat-sahabat yang lain. Secara jujurnya, semenjak ada fb dan instagram, tulisan di blog semakin berkurangan kerana ia lebih mudah berkongsi sekeping dua gambar sebagai kisah peribadi. Bukankah 'picture speaks louder than words'? Tetapi menulis sebenarnya mengasah minda dan kemahiran agar lebih berhati-hati mengeluarkan kata-kata, kerana kata-kata seseorang itu boleh melambangkan peribadinya.
Menyebut tentang cuti bersalin, saya amat bersyukur kerana mempunyai pilihan 3 bulan kerana tempoh ini adalah crucial moment untuk mengikat satu hubungan antara ibu dan anak sebelum dia ditinggalkan di rumah pengasuh. Ada beberapa rakan saya yang mengambil cuti tiga bulan dan menyambung tiga bulan lagi (tanpa gaji) sehingga enam bulan untuk menjaga anaknya. Saya teringat jiran ketika di Birmingham dahulu, pekerja boleh mengambil cuti selama setahun (52 minggu) sebagai maternity leave dan akan dibayar gaji penuh selama 6 bulan.
Sebelum cuti bersalin saya tamat, saya perlu biasakan bayi menggunakan botol dan membuat stok susu untuk kegunaanya. Ia agak sukar buat Afnan kerana saya memperkenalkan puting botol agak lambat berbanding Afeef dahulu. Ia sangat membimbangkan, memandangkan saya masih belum jumpa pengasuh atau taska yang sesuai untuk Afnan. Ini adalah dilema besar buat ibu yang bekerja.
Waktu pam susu. Jagaan susu ketika di pejabat.
Pengasuh yang mahir mengendalikan susu badan.
Khuatir tidak cukup susu.
Perubahan badan kerana susu.
Semuanya hanyalah susu dan anak yang disusukan.
Tommee tippee & NUK teats yang tidak berjaya |
Medela calma teat yang boleh diterima sedikit tapi mengambil masa |
Semoga masa berjalan dengan perlahan sebelum cuti bersalin saya tamat sepenuhnya...