Monday, 13 July 2020

Hero Ketiga

Alhamdulillah

Tidak ku sangka, kini saya ibu beranak tiga. Ketiga-tiganya hero dan lelaki wira yang bakal menjaga ibu dan ayahnya ketika dewasa kelak.

Perjalanan mengandungkan anak ketiga ini penuh cabaran yang brbeza. Setiap anak pasti akan ada kenangan unik yang tersendiri. Jika dulu ketika mengandungkan Afeef pada tahun 2014, saya masih muda dan bertenaga, agak berbeza sungguh kali ini pada tahun 2020.

Menyebut tahun 2020, tahun ini sangat berbeza dengan ujian COVID 19 yang menyerang seluruh pelusuk dunia. Kawalan pergerakan telah dilaksankan bermula 18 Mac 2020 sehingga kini tetapi telah dilonggarkan sedikit dengan mematuhi SOP yang ditetapkan. Saaya dan suami bekerja dari rumah, anak2 juga tidak bersekolah sehinggalah taska dibuka semula pada 1 Julai. Hampir tiga bulan berada di rumah dan kenangan ini pastinya tidak akan dilupakan sehingga bila-bila.

Seronoknya saya merasa lah juga letihnya menjadi suri rumah, tukang masak, cikgu anak--anak disamping membuat tugasan pensyarah. Tetapi yang tidak seronoknya apabila sudah ada tarikh untuk menyerah diri ke hospital, saya dikehendaki menjalani ujian covid kerana menginap di kawasan zon kuning. Seterusnya ditahan terus di hospital. 

Dijadualkan tarikh pembedahan pada 26 Jun, saya masuk wad pada 24 Jun di Hospital Serdang. Ianya pengalaman baru kerana sebelum ini saya bersalin anak kedua di Hospital Putrajaya. Terlalu panjang cerita untuk dikongsikan kenapa saya tidak melahirkan anak pada 26 Jun, tetapi pada 27 Jun. Biarlah hanya saya yang tahu dan rasa betapa pahitnya kenangan tersebut sehingga saya tak mampu mengulangnya walau di kotak memori sahaja.

Setelah pembedahan pun, ianya memori menakutkan untuk saya imbas semula. Tanpa suami, saya tidak sekuat ini. Tanpa anak-anak, saya mungkin akan sugul sepanjang masa. Tanpa Tuhan, saya bersyukur masih hidup sehingga kini. Alhamdulillah.

Nak berkongsi dengan mencatat sahaja pun hampir sahaja air mata ini berjujuran, tetapi saya simpan air mata ini kerana biarlah dengan apa yang berlalu. Semoga Allah ampuni dosa-dosa saya.

27 Jun 2020 - Hospital Serdang

Hero ketiga ini diberi nama ARFAN bin Mohd Firdaus.
Alhamdulillah sudah hari keenam belas hari ni. Tetapi Allah masih uji kami berdua. 
Arfan masih dengan kuning sehingga telah masuk fasa prolonged jaundice kerana telah lebih dari dua minggu. Dan saya dengan sedikit komplikasi yang saya belum kuat untuk kongsikan kepada sesiapa melainkan suami. Doakan kami sembuh dan dijauhkan daripada segala bentuk penyakit dan ujian.

Sekalung penghargaan saya dedikasikan buat suami tersayang. Kali ini dia yang menjaga anak, menjaga saya, menjadi segala-galanya buat kami (tukang masak, tukang kemas, tukang bawa kereta dll). Tak mampu saya balas jasa budi suami yang mengambil cuti agak lama kali ini ditambah dengan membawa kerja buat dari rumah juga pada waktu siang. Kata suami: "Ada anak tiga ni, busy sungguh rasanya."

Terima kasih sayang atas kasih sayang ini. Semoga Allah beri ganjaran terbaik buat Abang dan beri kebahagiaan buat keuarga kita di dunia dan akhirat sana.

Alhamdulillah, semoga anak-anak kita penjadi penyejuk mata dan saham terbaik buat kita kelak.

Amin


Thursday, 2 January 2020

Salam Tahun Baru 2020

Bismillahirrahmanirrahim

Lamanya saya meninggalkan blog ini bersawang. Atas beberapa tanggungjawab lain, saya hampir melupakan ruangan ini untuk menulis semua catatan kehidupan.

2019 sudah pun berlalu pergi, dan hari ni sudah pun hari kedua dalam tahun 2020. Banyak kenangan manis dalam tahun 2019, begitu juga beberapa kenangan pahit sebagai perencah asam garam kehidupan.

Antaranya yang boleh dikongsikan di sini adalah seperti berikut:


Afeef memasuki dunia baru, alam tadika dengan penuh kesedihan tetapi Alhamdulillah dia menunjukkan progres yang sangat baik. Belajar banyak perkara baru dan mendapat keputusan yang cemerlang setiap kali peperiksaan menjelma. Tahniah anak ibu! 


Saya belajar aktif menulis dalam mewakili sebuah NGO. Banyak tulisan-tulisan yang disiarkan dalam media tempatan, dan ia adalah pencapaian yang membanggakan buat saya untuk menyumbang kepada masyarakat dalam dunia penulisan.

Dalam dunia akademik pula, saya berjaya terbitkan beberapa artikel di jurnal tempatan. Masih belum menembusi jurnal bertaraf Q1 (ia menjadi target untuk tahun 2020). Malah, dua geran telah diperolehi dengan menjadi PI pada tahun ini. Alhamdulillah! Teruja untuk berkongsi juga bahawa saya telah disahkan jawatan pada akhir tahun, dan moga perjalanan akademik saya semakin cemerlang dari tahun ke tahun yang lain.

Sebuah anekdot diterbitkan pada akhir bulan Ogos sempena catatan ke Pesta Buku. Dunia buku memang tidak pernah menghampakan!


Berkisar tentang buku, target yang hendak dicapai tidak dapat dicapai sepenuhnya. Tetapi saya berjaya menghabiskan 40 daripda 60 buku yang disasarkan. Target yang sama untuk tahun 2020, dan saya akan cuba mencapainya, InsyaAllah.


Tidak dapat dilupakan kenangan 'balik kampung Afeef' pada bulan Julai. Alhamdulillah atas nikmat graduasi dan kenangan belajar di Tanah Inggeris tersebut. Ia sebuah perjalanan yang tidak akan dilupakan sepanjang hidup.

Saya juga menerima berita gembira pada November 2019. Berita ini akan dikongsikan jika sesuai pada masanya insyAllah.

Atas semua nikmat yang diperolehi, tiada tempat yang dituju melainkan rasa syukur kepada Tuhan yang Maha Pemberi, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dia yang memberi rasa bahagia, dan Dia juga berhak untuk menarik segalanya. Semoga Allah jauhkan keluarga kami dalam segala ujian dan mala petaka, dan mengingatkan kami agar sentiasa kembali pada NYA dan sentiasa menjadi hamba yang bersyukur atas setiap nikmat dan ujian.

Alhamdulillah
Alhamdulillah
Alhmadulillah

Semoga tahun baru 2020 ini memberi sinar bahagia yang lebih cerah. Semoga tahun ini lebih baik dari tahun-tahun yang sebelumnya. Dalam masa yang sama, semoga Allah berikan ketabahan buat kami jika ditimpa sebarang ujian, jadikan kami bersedia untuk semua yang baik dan kurang baik, dan sentiasa beringat dalam apa juga urusan.

Amin.


2 Januari 2020
Nilai