Bismillahirrahmanirrahim..
Sudah seminggu pertama berlalu di Tahun Baru ini.. Masa bergerak begitu pantas sekali, dan rasanya seperti sudah lama tidak mencoret sesuatu di sini. Kali ini dengan berbahasa Melayu kerana saya fikir 'vocabulary' Bahasa Melayu saya semakin berkurangan samada ketika berbicara atau menulis. Jadi saya tidak mahu melupakan bahasa ini..
Tujuh hari pertama 2011 ini saya memang sibuk. Saya harus mengejar dan memotong sebelum dikejar dan dipotong. Tapi saya berusaha mengelakkan diri untuk menjadi seorang yang penyibuk atau 'jaga tepi kain orang' kerana banyak kain saya yang harus dijaga terlebih dahulu. Rasanya pernah berulang kali di entri yang lepas sudah dinyatakan saya senang untuk menjadi sibuk, kerana dengan sibuk, saya boleh mengurus masa dengan baik.
Semalam saya berdiskusi dengan seorang teman seperjuangan, di mana orang yang berkerja memang sangat sibuk, tapi orang yang berkerja sambil belajar jauh lebih sibuk, apatah lagi dia yang sudah berkeluarga. Jika bekerja tempohnya bermula jam 8pagi hingga 5 petang, mereka yang berkerja sambil belajar harus menambah masa di waktu malam untuk menelaah buku dan pelajaran. Andai dilakukan dengan ikhlas dan minat, tentunya tidak menjadi masalah... Itulah rutin seharian saya. Menjadi pengajar di siang hari, dan meneruskan belajar di malam hari. Istilah belajar bagi saya adalah sesuatu yang tidak akan pernah habis..
Ada apa dengan penyibuk? Kebiasaan mereka yang penyibuk adalah mereka yang tidak sibuk atau buat-buat sibuk. Niat saya di sini adalah bukan untuk memburuk-burukkan mereka. Tapi menyedarkan bahawa sifat penyibuk itu lebih banyak negatifnya berbanding positif. Kadang-kadang sifat penyibuk ini disertai dengan sifat ambil tahu yang berlebihan samada kepada orang yang dibenci atau disayangi. Tidak salah menjadi penyibuk yang mahu mengubah seusatu kejahatan kepada kebaikan, tapi biarlah dengan cara yang berhikmah. Oh Tuhan, jauhkanlah diriku dari menjadi penyibuk yang kurang baik..
Buku ini saya milikinya lebih dari 3 tahun. Isinya masih ada berbaki yang belum habis dibaca. Tajuknya menarik. Isinya mantap. Bagus untuk mereka yang mahu belajar menguruskan masa dengan baik. Isi kandungan buku tersebut boleh dilihat di SINI.
Mahu tahu apa yang sedang saya sibukkan? Saya sedang sibuk mengakhiri tulisan tesis yang hampir tamat. Alhamdulillah saya bersyukur kerana sudah berjaya sampai ke tahap ini. Kata seorang teman, dia mahu menangis puas-puas pabila siapnya menulis tesis.. Saya geli hati, tapi itu luahan dia kerana dalam proses menulis ini, terlalu banyak cabaran yang harus ditempuhi. Ada satu perkara yang saya akan lakukan terlebih dahulu setelah tamatnya tesis, iaitu mengucapkan TERIMA KASIH YA ALLAH... Semoga Allah tidak mensia-siakan usaha saya selama ini, dan mengharapkan agar usaha ini dilindungi keredhaanNYa. Hanya Tuhan yang mengerti apa yang saya lalui selama ini... Dan tentunya saya ada banyak perancangan yang mahu saya lakukan setelah tamat segalanya dengan baik...
Tuhan, permudahkanlah....
Saadah Khair
8 Januari 2011
No comments:
Post a Comment