Saturday, 2 July 2011

Kongsi Tip Temuduga

Minggu ini, saya menerima banyak panggilan dari teman-teman bertanyakan hal tentang 'interview'. Adakah mereka tahu yang saya juga baru sahaja menghadiri sesi temuduga minggu lepas? Ops! terlepas.hehe. Walau apapun, tahniah buat rakan-rakan yang akan menghadapi asam garam temuduga.

Saya rasa, saya bukanlah orang yang layak untuk memberikan nasihat atau tips tentang interview, cuma setakat ini, setiap sesi temuduga yang saya hadiri selalunya membuahkan hasil yang positif, dan saya berharap agar temuduga baru-baru ini juga positif! Ameen...

Beberapa tip temuduga yang sering saya praktikkan dan boleh dikongsikan di sini ialah:

  1. Buat persediaan yang secukupnya tentang jawatan yang dipohon, dokumen-dokumen penting yang diminta oleh pihak berkenaan, latar belakang syarikat, kemahiran bahasa dan pakaian yang sesuai.
  2. Pastikan alamat untuk sesi temuduga adalah tepat, dan cari jalan yang paling mudah bagi mengelakkan kesesakan. Datang sekurang-kurangnya setengah jam awal sebelum sesi temuduga bermula.
  3. Apabila nama dipanggil, senyum dan masuk ke bilik dengan memberi salam. Jangan duduk selagi belum diarahkan duduk, teruskan senyum.
  4. Dengar soalan dengan baik, elakkan minta penemuduga mengulang soalan kali kedua. Fokus dan menjawab soalan dengan tenang mengikut konteks soalan. Jangan memberi jawapan meleret atau menjawab sebelum soalan habis diutarakan.
  5. Jika tidak tahu, cuba menjawab apa yang anda tahu sahaja. Usah memandai-mandai untuk menjawab. Tapi harus yakin dengan semua jawapan yang telah diberikan.
  6. Gunakan suara yang sederhana, tidak terlalu kuat, laju atau perlahan. Cara kita menjawab adalah sesuatu yang boleh dinilai.
  7. Kemahiran bahasa juga sangat memainkan peranan. Jika soalan berbahasa Melayu, jawablah dengan Bahasa Melayu dan jangan dicampurkan dengan bahasa lain. Begitu juga jika ditanya dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Arab.
  8. Yakin! Yakin dan yakin. Tapi jangan terlebih yakin. Yakinlah bahawa Allah akan memberi yang terbaik buat hamba-hambaNya.
  9. Setelah selesai sesi soal jawab, kebiasaannya panel akan memberi peluang untuk bertanya. Elakkan bertanya tentang gaji, tapi boleh bertanya tentang bila keputusan temuduga akan diumumkan.
  10. Setelah semuanya selesai, ucapkan terima kasih, senyum dan keluar dengan tenang.


    Saya tidak nafikan bahawa perasaan gementar pasti akan ada. Emak sentiasa berpesan agar banyakkan selawat dan membaca surah al-Insyirah setiap kali untuk hadir temuduga atau masuk ke dewan peperiksaan. Sehingga kini, saya memang mengamalkannya, dan akan menghubungi Emak setiap kali di waktu-waktu genting begini.

    Kemudian, makanlah gula-gula untuk mengelakkan gementar. Kajian menunjukkan bahawa rasa manis gula-gula tersebut boleh mengawal hormon yang tidak stabil. Tapi elakkan makan gula-gula ketika sesi temuduga sudah bermula.

    Rasa gementar juga boleh dibuang apabila berkenal-kenalan dengan calon-calon lain yang hadir sama untuk temuduga. Tapi elakkan untuk bercakap dengan terlalu banyak dengan mereka kerana boleh menganggu persediaan diri yang telah bersedia.

    Berdoalah.. Agar Allah permudahkan urusan temuduga tersebut dan memberikan selayaknya buat kita. Andai kerja tersebut lebih layak untuk orang lain, insyaAllah ada rezeki lain untuk kita. Berserahlah kepada Dia kerana Dia yang menentukan segalanya.

    Wallahua'lam

    No comments:

    Post a Comment