Sejak kecil, saya di ajar sendiri oleh Emak sehingga khatam pada umur 8 tahun. Malah adik saya sangat dibanggakan emak kerana telah khatam seawal 7 tahun dan kini dia bukan sahaja membaca tapi menghafaz dan menghadam Kitab Suci tersebut. Emak juga bukan mengajar kami berdua sahaja, tapi rumah kami dipenuhi anak-anak jiran yang memilih Emak menjadi Guru Mengaji mereka. Emak saya tidak bekerja tapi beliau tidak pernah kenal erti rehat dan penat.
Kadang-kadang Emak memberi peluang kepada saya untuk mengajar anak-anak jiran yang masih merangkak membaca. Dan saya suka tapi ketika itu saya tidak sesabar Emak. Dan kini saya merasa apa yang dirasa Emak, malah memupuk kesabaran yang tinggi untuk mengajar al-Quran kepada anak-anak lain.
Sejujurnya, niat awal mengajar al-Quran adalah untuk mendapatkan pendapatan tambahan kerana saya masih belum bekerja secara tetap. Tapi saya fikir adalah lebih baik saya menukar niat tersebut kepada untuk berkongsi dan mengajar kepada orang lain, dalam masa yang sama, Allah akan memberikan rezeki yang selayaknya. Dan saya memegang erat Hadith Nabi ini:
خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ .
Pengalaman paling mencabar yang sedang saya alami kini adalah mengajar al-Quran kepada wanita berumur 40an yang buta huruf jawi dan rumi. Saya rasa saya memikul tanggungjawab yang sangat besar untuk membolehkan makcik tersebut mengenal huruf-huruf dan mengajarnya membaca. Satu doa yang tidak putus buatnya ialah agar Allah terus membuka hati beliau mempelajari ayat-ayat Allah ini tanpa putus asa dan juga mengurniakan kesabaran buat saya dalam mengajarnya.
Sering saya mengingatkan para pelajar saya agar mencari masa sendiri untuk belajar dan membaca al-Quran, malah mengingatkan diri saya sendiri agar terus memperbaiki bacaan saya dan berkongsi ilmu yang ada kepada orang lain. Rasulullah telah bersabda: "Barangsiapa membaca satu huruf daripada Kitabullah, maka baginya satu kebajikan dan setiap kebajikan 10 kali gandanya. Aku tidak mengatakan Alif Laam Mim itu satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf."
Sesungguhnya, hanya satu kitab di dunia ini yang terkandung di dalamnya setiap aspek, dihafal dari kulit ke kulit, tidak jemu untuk memperdengarkannya dan membacanya berulang-ulang kali. Di dalam al-Quran sendiri, Allah telah menyatakan dengan jelasnya kelebihan Kitab Suci ini berbanding kitab-kitab lain.
Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa.(Surah al Baqarah Ayat 2)
Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar. (Surah Al Baqarah Ayat 23)
Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal? (Surah al Baqarah Ayat 44)
Katakanlah (wahai Muhammad): Sesiapa memusuhi Jibril maka sebabnya ialah kerana Jibril itu menurunkan Al-Quran ke dalam hatimu dengan izin Allah, yang mengesahkan kebenaran Kitab-kitab yang ada di hadapannya (yang diturunkan sebelumnya), serta menjadi petunjuk dan memberi khabar gembira kepada orang-orang yang beriman. (Surah Al Baqarah Ayat 97)
Dia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya dan Dia juga yang menurunkan Kitab-kitab Taurat dan Injil. (Surah A-li' Imraan Ayat 3)
Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya. (Surah An-Nisaa' Ayat 59)
Semoga kita sama-sama dilindungi caya al-Quran dan tergolong di kalangan mereka yang mengamalkan al-Quran.
Wallahu'alam.
**Pendapat Sheikh Yusuf al-Qaradhawi tentang pengambilan upah ketika mengajar al-Quran boleh dibaca di SINI
No comments:
Post a Comment