Monday, 17 October 2011

Ada Apa Dengan Transformers?


Catatan ini adalah sesi perkongsian setelah menghadiri Seminar Memperkasa Budaya Kerja Terbilang pada dua minggu lepas. Sesi pertama agak menarik minat kerana olahan dan persembahan adalah gaya kreativiti penceramah. Keseluruhannya berkaitan tentang aspek PERUBAHAN. Beliau mengambil contoh watak Transformers di dalam sebuah filem yang akan berubah dari sebuah kenderaan (kereta, motor, bas, lori) kepada sebuah robot canggih serbaguna pada waktu ia diperlukan untuk berubah.


Persoalannya, jika Transformer berubah saat ia diperlukan melawan musuh, lalu mengapa manusia perlu berubah??
  • Perubahan adalah satu tuntutan kehidupan. Kehidupan berlawanan dengan kematian. Andai Makhluq tidak berubah, semua akan musnah, kerana hanya Khaliq yang tidak berubah dan Dia yang menentukan perubahan.
  • Syarat untuk mencapai kecemerlangan. Perubahan yang dituntut di dalam Islam adalah mengajak untuk berubah dari buruk kepada baik, dari baik kepada yang lebih baik.
  • Bukan sahaja menuju kecemerlangan, tapi perubahan membantu untuk mengekalkan kecemerlangan. Renungi Surah al-Mukminun yang menunjukkan bahawa orang-orang beriman akan berjaya, tapi bukan sekadar iman, tapi memerlukan tindakan dan perubahan.
  • Setelah berubah, rasailah nikmat perubahan yang dilakukan. Perubahan adalah nikmat, dan hanya mereka yang berubah ke arah yang lebih baik yang dapat merasakan nikmat tersebut.

Akan tetapi, ramai yang takut berubah. Di antara sebab-sebabnya ialah:
  • Takut dengan apa kata orang
  • Takut perubahan tidak kekal lama
  • Takut untuk hidup dengan cara kehidupan baru
  • Takut dengan bayang-bayang sendiri 

Takut memang tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah, mereka yang mahu berubah harus BERANI untuk berubah dan MAHU untuk berubah. Transformer selalunya mahu berubah dan tidak pernah taut atau gentar dengan perubahan yang dilakukan. Sebagai manusia, ada beberapa faktor yang mempengaruhi dan mendorong melalukan perubahan, antaranya:
  • Ilmu yang ada perlulah dimanfaatkan.
  • Wujud kesedaran di dalam diri.
  • Apabila timbul kesedaran, perlu ada keinginan untuk berubah
  • Persekitaran yang baik juga membantu untuk berubah
  • Dan harapan terkahir ialah mengharapkan Hidayah daripada Allah

Bagaimana pula untuk menjana perubahan?
  • Carilah ilmu sebanyak-banyaknya
  • Ubahlah tabiat yang biasa dilakukan
  • Ubahlah sikap dan cara kita berfikir. Jadilah positif!
  • Berdisiplin!
  • Berniatlah kerana Allah. Meletakkan wawasan dan target kerana kebaikan.

Bila harus berubah? Ini harus ditetapkan oleh diri sendiri. Bukankah Allah berfirman di dalam Surah al-Ra'du, ayat 11, "Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya."

Jika memang benar sukar untuk berubah, letaklah niat untuk berubah, dan mulakan dengan sedikit demi sedikit. Allah itu Maha Mengetahui. Dan kita harus mengetahui apa cabaran-cabaran untuk berubah. 
  • Nafsu! Andai syaitan diikat di bulan Ramadan, nafsu tetap tidak diikat. Kawal nafsu kerana ikut nafsu itu lesu. 
  • Syaitan. Ini janji mereka kepada Allah untuk menyesatkan anak-anak Adam sehingga hari Kiamat. Abaikan hasutan syaitan dan cuba perangi mereka dengan kekuatan dalaman (zikrullah)
  • Rakan-rakan. Bersahabatlah dengan mereka yang menjual minyak wnagi, nescaya akan melekat sedikit kewangian yang ada.
  • Tabiat. Ubahlah sikap kebiasaan dan biasakanlah melakukan kebaikan.
  • Suasana. Hidup di dalam lingkungan dan persekitaran yang baik akan mengajak kita melakukan kebaikan yang sama.

Setelah berubah, bagaimana pula cara untuk mengekalkan perubahan? Transformer tidak boleh mengekalkan perubahan yang telah dilakukan, tapi manusia yang berakal harus mengekalkan perubahan, terutama perubahan yang mengarah kepada kebaikan.
  • Selalulah berfikiran positif.
  • Amalkan kehidupan yang berdidiplin
  • Berbicara dengan diri sendiri tentang perubahan yang dilakukan.
  • Membayangkan imej diri yang diinginkan
  • Nasihat menasihati antara satu sama lain
  • Jangan pernah berhenti untuk berDOA

Pilihlah samada untuk berubaha atau diubah, berubah atau rebah!
Perubahan walau sekecil mana, tetap akan mengubah dunia..

Selamat berubah.

No comments:

Post a Comment