Wednesday, 19 October 2011

Buku: Kota 1000 Menara


Penulis: Farid Rashidi

Satu. Saya memang penggemar travelog. Bermimpi untuk mengelilingi dunia, melihat kebesaran Tuhan, tapi wang saku masih terhad, yang utama harus diutamakan dahulu. Oleh yang demikian, saya gemar membaca tulisan-tulisan pengembara, dan kerana itu juga, buku ini dimiliki dan dihayati.

Dua. Orang pertama di minda ketika membaca tulisan penulis adalah adik bongsu (Zikri) yang berhijrah mencari ilmu di Bumi Tanta selepas Bumi Shoubra. Orang kedua pula ialah kakak saya (Zuraini), orang pertama yang mencapai hasrat ayah yang tidak kesampaian untuk menuntut ilmu di universti tertua Dunia. Saya sering mencampurkan cerita yang didengari daripada mereka dengan penulisan yang dihasilkan penulis. Ada beberapa persamaan. Yang berbeza adalah pengalaman dan perasaan yang tidak akan sama walau mereka menjejaki lokasi yang sama.

Tiga. Bumi Anbiya tidak pernah menghampakan. Penuh cerita dan kajian yang tidak akan menjemukan. Impian untuk menjejaki tanah kinanah tidak akan terpadam. Biarlah bukan untuk mendapat segulung ijazah atau kelulusan, tapi cukuplah sekadar melihat tanah tumpah perjuangan para Nabi dan Ulama, mengambil pengajaran dan merenung keagungan Yang Esa.

Empat. Catatan penulis penuh dengan Muhasabah. Inilah yang harus diterapkan kepada pengembara. Apabila melihat atau mengalami sesuatu pengalaman baru, perlu diimbas semula pengalaman yang dirasai orang-orang terdahulu. Ya, dunia dulu dan sekarang amat berbeza, tapi kita masih bersumberkan sama; Quran dan Sunnah Rasul KekasihNya.

Lima. Travelog hanya akan terhasil apabila pengembara gemar mencatat apa yang dia lihat, rasa dan alami. Contoh terhebat ialah Travelog Ibn Batutah (masih belum berpeluang membaca kisah pengembaraanya). Secara umum, penulis buku Kota 1000 Menara bermula dengan tulisan blog peribadi, dan hasilnya ialah buku ini. Dan saya mengharap agar penulis tidak berhenti mencatat kerana pengalaman tidak akan berkurang, malah bertambah. Begitu juga buat pengembara dunia, catatlah.. agar catatan itu menjadi kenangan dan pengajaran buat generasi akan datang.

Enam. Ada tiga tempat yang paling diminati untuk mnejejakinya; Terusan Suez, Jabal Tur Sina, Kubu Salahuddin al-Ayyubi. Zikri! Tolong bawa saya ke sana! 

Tujuh. Kenapa ya 1000 Menara? Jikalau saya penulis buku ini, saya akan mencatat 1000 bentuk menara yang wujud di Mesir sebagai tatapan mereka yang tidak pernah ke sana. Benar bahawa penulis ada menyatakan sebab kenapa beliau menggelarnya Kota 1000 menara, tapi bukankah lebih baik kuantiti itu dijelaskan secara terperinci.. Ini hanya cadangan semata-mata.

Lapan. Saya pasti menziarahi Ardu Kinanah suatu hari nanti!

Sembilan. TAMAT

No comments:

Post a Comment