Tuesday 19 March 2013

Membaca Quran & Memandu Kenderaan

Assalamualaikum

Oh Ustazah, jemputlah masuk..

Terima kasih. Kak, hari ini mungkin kelas terakhir untuk kita.

Takpe, saya faham. Terima kasih kerana banyak membantu dalam memperbaiki bacaan Quran kami adik-beradik.

Tiada masalah. Itu tanggungjawab saya. Malah saya sebenarnya tak banyak membantu pun, sebab semuanya adalah kesudian dan usaha kakak berdua untuk belajar supaya mendapat bacaan yang lebih baik. Saya hanya menunjukkan bacaan yang betul sahaja. Dalam masa yang sama saya juga belajar banyak perkara.

Oh ya, boleh tak ustazah ulang semula nasihat ustazah tempoh hari. Ustazah ada mengatakan bahawa membaca al-Quran ni seperti kita memandu kereta.. Saya tak ingat sangat...

Betul tu. Membaca al-Quran ni sama sifirnya seperti hendak memandu kereta. Tapi fadilat membaca al-Quran jauh lebih baik dari memandu kereta. Begini, jika kita hendak memandu, perkara utama kita perlu ada ialah lesen memandu. Dan untuk membaca al-Quran, kita sudah ada lesen sejak azali apabila kita adalah di kalangan orang Islam. Orang bukan Islam boleh juga membaca al-Quran tetapi mereka hanya mampu membaca terjemahannya sahaja, jika mereka boleh membaca pun, mereka tidak memahami dan menghayati isi kandungan al-Quran.

Setelah ada lesen, pemandu perlukan ilmu. Untuk membaca Quran, kita perlu mengetahui ilmu tajwid. Ilmu tajwid ini ibarat undang2 yang harus dipatuhi ketika memandu kereta. Ada waktu kita perlu berhenti, ada waktu kita boleh bergerak laju dan ada waktu menyuruh kita berhati-hati ketika memandu. Untuk membaca Quran dengan betul, kita perlu patuhi semua bacaan agar tidak tersalah baris dan huruf. Jika ada yang salah, pasti kita akan terlanggar kereta di tepi kerana tidak melihat cermin terlebih dahulu. Cermin di semua sisi pemandu adalah bertujuan supaya dia sentiasa bersiap siaga dengan pelbagai keadaan sekalipun. Dan lebih parah jika membaca al-Quran dengan salah kerana ia boleh mengubah maksud ayat-ayat tersebut, ditakuti jika ia membabitkan aspek Akidah.

Ya, ustazah. Saya takut juga kalau selalu sangat tersalah baca. Kadang-kadang, saya tak sengaja.

Tak sengaja sekali sekala masih boleh diubati. Dan ubat yang terbaik ialah belajar agar lebih baik. Sebab jika kemalangan jalanraya, kita nampak di mana darah dan luka atau lekuk di mana2 bahagian kereta, tetapi membaca al-Quran ni, lekuk dan lukanya melibatkan Iman kita. Oleh itu, sebelum memandu, perlu pakai tali pinggang keledar, lihat cermin dahulu, pastikan semua lampu boleh berfungsi, barulah boleh bergerak dengan selamat, tapi jangan lupakan doa. Untuk memulakan bacaan al-Quran, sebaiknya ada wudu', tutup aurat dan dimulakan dengan doa. Al-fatihah juga boleh menjadi doa. Lihat semua hukum-hukum tajwid seperti kita melihat cermin tepi, atas dan belakang ketika memandu. 

Betul tu ustazah.

Panjang pula saya bercerita ni.

Tak apa ustazah, memandangkan hari ini kelas terakhir, saya perlukan semangat dan nasihat dari Ustazah.

Kalau macam tu, kita mulakanlah kelas kita ya..

Baiklah..


خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ

            Sebaik-baik kalian adalah orang yang belajar Al-Qur`an dan mengajarkannya.” [Riwayat Bukhari]


   الْمَاهِرُ بِالْقُرْآنِ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ وَالَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَتَتَعْتَعُ فِيهِ وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ لَهُ أَجْرَانِ
            
 Orang yang pandai membaca Al-Qur`an, dia bersama para malaikat yang mulia dan patuh. Sedangkan orang yang membaca Al-Qur`an dengan terbata-bata dan berat melafazkannya, maka dia mendapat dua pahala. (Muttafaq ‘Alaih)

No comments:

Post a Comment