Thursday, 25 April 2013

Panduan Memohon Visa UK

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, urusan visa sudah selesai, kini sedang menunggu jawapan. Terpanggil untuk berkongsi tentang cara permohonan memohon visa khasnya setelah berlaku beberapa perubahan dengan cara permohonan yang lama. Semoga ada manfaatnya untuk para pembaca.

1. Surat Tawaran

Ini adalah perkara paling utama yang perlu ada sebelum memohon visa. Tawaran perlu diperolehi terlebih dahulu khasnya:
  • Tawaran pengajian di universiti berkaitan (luar negara)
  • Tawaran biasiswa (KPT/JPA/MARA)

Tidak lupa juga pengesahan daripada majikan yang membenarkan pegawai untuk cuti belajar.

2. CAS Statement

CAS Statement akan diberikan oleh pihak universiti setelah surat tawaran diperlukan. Di dalamnya akan dinyatakan tarikh mula dan tamat pengajian, serta dokumen2 yang akan diperiksa ketika memohon visa. Sebagai contoh ialah sijil dan transkrip (bachelor & master degree) atau sijil IELTS/TOEFL.

Ada juga pelajar yang memerlukan ATAS Certificate, bergantung kepada pengajian.

3. TB Test

Bermula pada 31 Disember 2012, pelajar wajib membuat pemeriksaan TB di hospital terpilih yang telah diakui oleh UK sahaja sebelum memohon visa. Sila rujuk SINI untuk maklumat lanjut. Harga pemeriksaan ialah RM210.

4. Borang Permohonan Visa

Laman web INI adalah di mana permohonan visa perlu dibuat secara atas talian. Tiada lagi sebarang permohonan yang boleh dibuat melalui kaunter walk-in. Borang yang perlu diisi oleh pelajar ialah:
  • Borang VAF 9 Main Application form (Tier 4 General Student) sila pilih sponsored jika di bawah tajaan. Perlu diisi atas talian. Print dan tandatangan.
  • Borang VAF 10 (Tier 4 General Student Dependant) untuk suami/isteri dan anak sekiranya ada. Perlu diisi atas talian. Print dan tandatangan.
  • Appendix 8 (Self Assessment Form). Borang ini perlu dimuat turun dahulu dan diisi secara manual. Khas kepada pemohon utama. Print dan tandatangan.
5. Dokumen penting

Berikut adalah dokumen penting yang perlu dibawa:
  • Sekeping gambar visa. Rujuk SINI untuk maklumat lanjut.
  • Passport baru (aktif) dan lama (jika ada)
  • CAS Statement
  • Sijil Degree, Master, IELTS/TOEFL
  • Financial Affidavit (Jika ditaja)
  • Surat Visa (Bagi yang ditaja KPT)
  • Financial Guarantee Letter (Bagi yang berkhidmat di IPTA)
  • Laporan TB Test
  • Sijil Nikah - Perlu terjemahkan ke dalam B. Inggeris
Semua dokumen perlu difotokopi dan tidak memerlukan cop certified copy. Dokumen original akan dipulangkan semula setelah visa diluluskan.

6. Bayaran

Bermula pada 6 April 2013, bayaran visa telah dinaikkan kepada USD492 bersamaan RM1521. Semua bayaran wajib dibuat melalui kredit kad (sediakan kredit kad awal, jika tiada, mohon bantuan daripada orang yang boleh dipercayai, mempercayai dan sudi membantu sahaja). Tiada lagi bank draf, malah debit kad juga tidak diterima. Menurut maklumat terbaru, kad debit yang mempunyai logo Mastercard dan Visa boleh juga digunapakai untuk membuat bayaran.

7. Temujanji dan Serahan

Sekiranya yakin bahawa borang dan dokumen sudah lengkap, temujanji perlu dibuat terlebih dahulu di SINI sebelum menyerahkannya di VFS Global, Suite 19.06 19th Floor, Wisma MCA, 163 Jalan Ampang, 50450.

Sila simpan resit untuk mengambil visa, dan boleh periksa status permohonan secara atas talian.



Sebagai langkah berjaga-jaga, permohonan visa boleh diselesaikan melalui beberapa ejen. Ejen ini akan membantu melengkapkan proses permohonan dan memberi nasihat berkaitan dengan visa.

Saya cadangkan satu ejen yang banyak membantu saya dalam proses permohonan visa. Boleh hubungi mereka di alamat dan talian berikut:

Nazza Education Sdn. Bhd.,
Level 24, Unit Menara (MARA)
jalan Tuanku Abdul Rahman
50100, Kuala Lumpur, Malaysia.
Tel: 03-26939121/03-26989121

Mohon doa daripada kalian agar visa saya diluluskan dan semua urusan kami dipermudahkan.

Amin!

Wednesday, 17 April 2013

Wordless Wednesday: Will & Way


Allah's Will greater than our will. His ways more powerful than our ways.
But Allah loves those who have efforts and put trust on Him.

Bismillahi tawakkaltu 'ala Allah

Monday, 8 April 2013

Kawan, Teman, Sahabat

Bismillahirrahmanirrahim

Kehadapan Munira yang dikasihi,

Semoga Allah merahmati dirimu serta keluargamu. Surat ini ditujukan khas buat kamu demi persahabatan ini yang sentiasa aku harapkan agar berkekalan dan dirahmati Tuhan.

Mengenali kamu suatu ketika dahulu adalah suatu kebahagiaan buatku. Lupa pula bagaimana kami bertemu tapi aku tidak akan lupakan persahabatan ini sampai bila-bila.

Sejak di Pusat Matrikulasi, kita selesa berkawan. Berpindah ke Gombak, kita masih rapat biarpun kita mempunyai pengkhususan yang berbeza. Tamat pengajian, aku terus menyambung ke peringkat sarjana, manakala kamu pula terus berkhidmat sebagai pensyarah sebuah kolej.

Alhamdulillah pada tahun akhir pengajian, aku memohon kerja dan mendapat jawatan yang sama di kolej yang sama denganmu. Ada 'chemistry' untuk menemukan kita di mana-mana. Walaupun kini kita dipisahkan dengan jarak, aku mengharapkan hanya ajal maut yang bisa memisahkan persahabatan ini.

Kita pernah meredah hutan bersama, menempuh kesesakan manusia di bumi Kuala Lumpur bersama, ketawa dan menangis bersama, berkongsi manis pahit kehidupan bersama dan aku mengharapkan juga agar kita ke syurga nanti pun bersama, semoga Allah jauhkan api neraka buat kita di Akhirat kelak. 


Bertemu denganmu tempoh hari benar-benar membuahkan rasa bahagia. Sungguh aku tidak berdusta. Rindu. Itu sahaja mampu aku katakan. Sangat rindu.

Jika ada perbuatanku dulu yang mengguris hatimu, maafkan aku.
Jika ada kata-kataku yang pernah melemahkan semangatmu, maafkan aku.
Jika ada apa sahaja yang berkaitan denganku membuat dirimu tidak senang denganku, maafkan aku.

Doaku agar kamu sentiasa mencapai impian yang kau hasratkan.

Doaku agar kamu bertemu si Imam yang bakal memimpin mu untuk membina sebuah keluarga sakinah.

Doaku agar kamu berjaya dan sentiasa mendapat keberkatan di dalam kehidupan samada di dunia mahupun di Akhirat sana.

InsyaaAllah, ada ruang dan peluang untuk kita bertemu lagi. Ingat daku dalam doamu.


Salam Sayang,
Sahabatmu yang penuh kekurangan.

Friday, 5 April 2013

Jumu'ah Mubarakah: Syukur


Rentetan daripada INI, Alhamdulillah Kau perkenankan permintaan hambaMu yang kerdil ini.

Surat bertarikh 5 April 2013, akan bermula sebuah perjalanan yang panjang, pastinya ada liku dan duri,
dan Tuhan, Kau bantulah hambaMu ini.

Alhamdulillah
Alhamdulillah
Alhamdulillah

"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, 
niscaya Aku (Allah) akan menambah nikmat kepadamu
tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku),maka pasti azab-Ku sangat berat."(Ibrahim: 14)

Wednesday, 3 April 2013

Ada Apa Selepas #Bubar?


Pembubaran sudah diumumkan tadi, 3 April 2013.

Mengikut Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Parlimen. (Sumber: @bernamadotcom )

Tarikh pilihanraya perlu dilakukan selewat-lewatnya pada 27 Jun 2013. Baca selanjutnya di SINI.

Selamat membuat pilihan bijak.

Selamat mengundi.

INFO TERBARU

Seperti sedia maklum setelah diumumkan pada 10 April, tarikh untuk penamaan calon ialah pada 20 April dan tarikh pilihanraya umum 13 ialah pada 5 Mei 2013.

Cuti-Cuti Kedah

Dengan Nama Tuhan yang menjadikan alam. Dia sebaik-baik Pencipta, tiada yang lebih baik daripadaNya.

Selepas menawan Kelantan, hati kembali tertawan dengan Bumi Jelapang Padi. Ya, saya tidak pernah jemu dengan sawah padi ciptaan Ilahi. Kali ini Kedah dilanda kemarau. Sungai kering. Sawah hilang hijaunya, yang ada hanyalah tanah yang kegersangan.

Cuti sekolah memang mengujakan. Alhamdulillah saya turut menikmatinya bersama anak menakan (anak saudara). Bukan mudah untuk meluangkan masa bersama kerana kami ke Kedah hanya tiga bulan sekali. Oleh itu, saya kongsikan beberapa lokasi yang harus dikunjungi ketika musim cuti sekolah, khasnya di Bumi Darul Aman.

1. Muzium Padi

Rujuk SINI untuk maklumat lanjut. 
Bayaran masuk untuk dewasa ialah RM5 dan RM3 untuk kanak-kanak.

2. Pusat Sains Negara Wilayah Utara

Rujuk SINI dan SINI untuk maklumat lanjut. Bayaran masuk ialah percuma.

3. Gua Gunung Keriang

 Kami hanya bergambar di hadapan pintu masuk kerna ia ditutup di atas sebab-sebab teknikal. Kawasan gunung ini sangat cantik dan menurut maklumat yang diberikan, pengunjung boleh mendaki gunung dengan menekan butang lif yang disediakan. Rujuk SINI dan SINI untuk maklumat lanjut.

4. Muzium Kota Kuala Kedah

 Rujuk SINI dan SINI untuk maklumat lanjut. Bayaran masuk ialah percuma.

5. Gunung Jerai

Tercapai hasrat saya untuk menjejaki puncak Gunung Jerai. Hampir setengah jam juga mendakinya dengan kereta persona, dan ia sungguh mengujakan! Udara di atas segar dan kawasan binaan resort sangat cantik! Menyimpan impian untuk bermalam di sana suatu hari nanti. Rujuk SINI dan SINI untuk maklumat lanjut.

6. Menara Alor Setar  

Rujuk SINI dan SINI untuk maklumat lanjut. 
Bayaran masuk untuk dewasa ialah RM6 dan RM3 untuk kanak-kanak.

7. Muzium Negeri Kedah

Rujuk SINI untuk maklumat lanjut. Bayaran masuk ialah percuma.

*Lokasi 1-5 dikunjungi baru-baru ini, manakala lokasi 6 dan 7 dikunjungi pada cuti sekolah bulan Disember 2012.

Tuesday, 2 April 2013

Hadith: Berbuat Baik

Bismillahirahmanirrahim

Saya percaya bahawa setiap manusia akan merasai bahagia apabila dapat berbuat baik kepada sesiapa sahaja, terutama kepada ahli keluarga. 

Amalan kebaikan akan tetap dicatat walau sekecil zarah sekali pun seperti mana termaktub di dalam ayat: "Sesiapa mengerjakan kebaikan walau sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan sesiapa yg mengerjakan kejahatan walau sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula." (surah al-Zalzalah 99:7-8)

Hadith kali ini dikongsi khas kepada diri sendiri demi melihat kepentingan untuk berbuat baik kepada ahli keluarga. Rasulullah SAW berpesan: "Orang Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaqnya, dan yang berbuat baik kepada ahli keluarganya." (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)

Malah Rasulullah SAW juga menggalakkan agar sedekah itu diutamakan kepada ahli keluarga terlebih dahulu sekiranya ada di antara mereka yang susah. Rasulullah SAW bersabda: "Sedekah ke atas golongan miskin itu adalah sedekah (1 pahala), dan sekiranya dia bersedekah ke atas ahli keluarga, maka itu adalah dua pahala, iaitu sedekah dan menyambung hubungan silaturahim." (Riwayat al-Tirmizi)


Semoga hubungan kekeluargaan ini diredhai Ilahi.

Semoga kita semua termasuk di dalam golongan yang mencintai kebaikan, menyebarkan kebaikan dan sentiasa melakukan kebaikan.

Amin.

Monday, 1 April 2013

100 Hari Lagi

Sedar atau pun tidak..

100 hari lagi menuju Ramadan yang dinantikan.

Ayuh bersedia!


1 Ramadan 1434H = 10 Julai 2013