Thursday, 22 August 2013

Buku: Aku Melayu di Kota Inggeris

Penulis: Muhaimin Sulam

Buku ini dibeli beberapa minggu sebelum saya menjadi di antara bangsa Melayu di Kota Inggeris. Tertarik dengan tajuknya, tetapi begitu lambat dihabiskan untuk buku setebal 277 muka surat kerana apa yang dirasakan penulis juga dirasakan saya sebagai pembaca.

Penulis merupakan graduan University of Wales Trinity St David, Lempeter dan kini telah menamatkan pengajian PhD (Syabas!). Buku ini merupakan travelog dan catatan perjalanan beliau di United Kingdom. Menggunakan teknik perbandingan, banyak isu yang disentuh penulis melibatkan keadaan bangsa Inggeris dan Melayu di mana kedua-duanya mempunyai kelemahan dan keistimewaan yang tersendiri.

Saya suka apabila bangsa Inggeris dikritik kerana selama ini bangsa Melayu terlalu memuji mereka sehingga alpa bahawa mereka pernah menjajah kita. Walaupun demikian ada beberapa aspek di mana bangsa Inggeris jauh lebih baik daripada kaum Melayu seperti contoh kebersihan, nilai-nilai murni, keselamatan, pendidikan dan sebagainya. Malah Melayu juga tidak kurang hebatnya cuma kadang-kadang kita terlalu merendahkan diri sehingga direndahkan oleh orang lain.

Isu politik yang diutarakan oleh penulis banyak memperlihatkan bahawa beliau condong ke arah pihak yang tertentu. Dan sebagai penganalisis politik, ada beberapa fakta yang boleh diterima pakai dan boleh diusulkan untuk dipraktikkan di Malaysia demi membersihkan kembali politik tanah air yang semakin keruh. Saya bukan penggemar politik, tetapi politik menjadi di antara salah satu sebab punca keharmonian dan kemajuan sesebuah negara.

Pengalaman berpuasa yang dialami penulis turut dirasakan saya, malah tahun ini tempoh waktu berpuasa lebih lama iaitu 18 jam. Alhamdulillah pengalaman ini sungguh berharga. Ada beberapa lokasi yang dilawati penulis sengaja saya kuningkan untuk saya kunjungi suatu hari nanti.

Sebagai pembaca yang juga menyambung belajar di kota Inggeris ini, saya mengharapkan lebih daripada buku ini. Suka sekiranya penulis berkongsi tips bagaimana beliau boleh menghabiskan Phd dengan baik, hubungan beliau dengan penyelia, atau pengalamannya menulis tesis dan menghadiri seminar atau viva. Dalil-dalil Quran yang digunakan penulis adalah bagus sebagai rujukan tetapi saya mohon agar penulis selidik kembali kata-kata ini:

"Aku nampak ramai orang Islam di Timur tetapi aku tidak nampak Islam. 
Sebaliknya aku tidak nampak ramai orang Islam di Barat tetapi aku nampak Islam"

Saya mendengar kata-kata ini ketika saya menuntut di UIAM dahulu dan setahu saya ia adalah pendapat Syeikh Muhammad Abduh: "I went to the West and saw Islam, but no Muslims; I go back to the East and saw Muslims, but no Islam". Tetapi menurut penulis, ia adalah kata-kata Syeikh Ahmad Deedat yang didengarnya dari sebuah kuliah (halaman 160).

Sajak yang dinukilkan penulis untuk bapanya di halaman terakhir buku ini buat mata saya bergenang. Semoga Allah merahmati ayah dan emak dan berikan kesihatan buat mereka di tanah air.

Secara keseluruhan, buku ini menarik dan boleh disambung dengan siri kedua :)

Wallahua'lam

p/s: Adakah perlu saya menulis pengalaman selama tiga bulan lebih di Kota Inggeris? *jawabdalamhati*

2 comments:

  1. Kak Sa'adah sedang di Inggeris kah?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya, sambung pengajian di University of Birmingham :)

      Delete