Monday, 28 October 2013

Satu Jam Ke Belakang

Musim panas sudah berlalu.

Angin bertiup kencang dan daun-daun pun berguguran.

Musim luruh ini saya menyaksikan kejadian alam yang mengasyikkan. Pokok mewarnakan diri mereka sendiri. Dari hijau, bertukar merah, kuning, oren dan akhirnya gugur kekeringan. Saya boleh simpulkan bahawa Tuhan adalah Pencipta warna terhebat dan Perancang segala sesuatu.




Detik 27 Oktober saya alami satu perkara baru apabila waktu berundur satu jam ke belakang. Ia bermakna jarak waktu UK dan Malaysia bukan lagi tujuh jam tetapi lapan jam. Ini juga adalah keajaiban yang Tuhan ciptakan di negara-negara yang mengalami empat musim. Sejuk sudah menggigit tulang dan dengarnya salji akan mencium bumi tidak lami lagi.

Dan detik-detik ini, saya sangat merindui matahari dan hangat tanah tumpah Malaysia.

Sesungguhnya segala perasaan kagum kepada ciptaan alam hanyalah selayaknya ditujukan kepada Pencipta yang terhebat agar kita semua termasuk dari kalangan orang-orang yang bersyukur.


Allah SWT berfirman: "Katakanlah (Wahai Muhammad): "Perhatikan dan fikirkanlah apa yang adadi langit dan di bumi dari segala kejadian yang menakjubkan, Yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya). Dalam pada itu, segala tanda dan bukti (yang menunjukkan kekuasaan Allah), dan semua Rasul (yang menyampaikan perintah-perintah Allah dan memberi amaran), tidak akan memberi faedah kepada orang-orang yang tidak menaruh kepercayaan kepada-Nya." (Surah Yunus: 101)

Wednesday, 23 October 2013

Bahasa

"Dengan bahasa kita bisa menguasai ilmu 
dan tanpanya kita akan berada di dalam kegelapan (kebodohan)"

Foto ihsan Google

Bahasa memainkan peranan yang sangat penting. Tanpa mengabaikan bahasa peribumi, bahasa lain juga turut dipelajari. Tetapi apa yang paling penting ialah bahasa perlu dipraktiskan bukan hanya menelan teori semata-mata.

Setakat ini saya hanya fasih berbahasa Melayu dan boleh memahami bahasa Inggeris dan Arab secara sederhana. Tidak malu untuk mengaku bahawa di Tanah Inggeris ini saya terasa masih merangkak berbahasa Inggeris apabila dikelilingi bangsa Inggeris. Tetapi saya tidak malu untuk terus belajar kerana bahasa Inggeris banyak membantu kehidupan saya berjalan lancar di bumi asing. 

Oleh kerana tidak mahu melupakan bahasa Arab, saya sengaja menghadiri kelas bahasa Arab. Biarpun kelasnya berbayar, bahasa syurga ini perlu terus saya kaji. Setelah lima bulan tidak bertutur dalam bahasa Arab, nampaknya saya perlu konsisten untuk mengaplikasikan bahasa al-Quran dalam kehidupan harian.

Alhamdulillah kelas bahasa Inggeris disediakan percuma di universiti untuk pelajar asing. Kebanyakan yang hadir bermata sepet dan berhidung penyek seperti saya. Sedikit sebanyak, ada ilmu baru yang saya perolehi.

Pernah menghadiri kelas bahasa German di uia tetapi terbengkalai. Mempunyai hasrat tinggi untuk mempelajari bahasa Perancis, insyaAllah.

Apapun, bahasa nusantara tetap di hati :)

Thursday, 10 October 2013

Kali Keempat

Alhamdulillah

Belajar adalah suatu proses yang panjang dan tidak akan berhenti. Saya masih belajar dan akan terus belajar. Biarpun kertas cadangan saya sudah diterima saya akan tetap belajar. Setelah tiga kali ditolak oleh penyelia, saya akan tetap belajar. 

Kali ini, emel penyelia diterima dengan senyuman bukan tangisan.

Teruskan usaha Saadah!


Wednesday, 9 October 2013

Belajar Islam di Negara Bukan Islam


"Why you study Islam in non-Muslim country?"

Soalan itu buat saya tergamam seketika. 

Semester baru sudah bermula dan saya mengambil peluang yang ada untuk menghadiri apa sahaja kelas atau workshop untuk menambah ilmu dan pengalaman. Sesungguhnya saya sangat teruja. Cara mereka belajar tidak jauh berbeza tetapi amalan menghormati pandangan orang lain menjadi budaya positif dikalangan pengajar dan pelajar.

Kembali semula kepada soalan yang diajukan tersebut, saya dicadangkan oleh teman perbincangan untuk membentangkan kertas penyelidikan saya. Sejujurnya, saya masih terikat dengan 'budaya malu & rendah diri' ditambah pula dengan 'budaya takut salah', jadi saya menolak cadangannya untuk membentangkan kertas saya. Tetapi atas desakan positif rakan sebelah, saya beranikan juga walaupun mata seluruh rakan sekelas sudah menerkam saya.

Alhamdulillah saya mendapat komen yang positif. Apa yang saya takutkan bukanlah kelemahan diri sendiri, tetapi isu yang disentuh dalam penyelidikan saya iaitu berkenaan Islam dan Wanita.

Setelah tamat perbincangan, beberapa pelajar di sekeliling saya berdiskusi tentang tajuk masing-masing, dan timbul tentang persoalan yang diajukan di awal entri ini.

Kenapa belajar Islam di Negara bukan Islam?

Apa yang saya jawab pada gadis Hong Kong tersebut ialah Islam boleh dipelajari di mana-mana dan memilih Negara bukan Islam adalah satu pilihan yang terbaik untuk memberi gambaran sebenar tentang Islam itu sendiri. Apabila masyarakat lebih mempercayai media tentang gambaran Islam, sebagai Muslim saya bertanggungjawab untuk membersihkan gambaran yang tidak baik tentang Islam di dalam media kepada masyarakat, khasnya berkaitan eksploitasi terhadap wanita.

Apa yang saya tidak jawab kepada gadis tersebut ialah tanggungjawab seorang Muslim ialah menyampaikan yang ma'ruf dan mencegah yang munkar, dengan kata lain ialah dakwah.

Selepas perbualan tersebut, saya semakin berfikir secara mendalam apa tujuan saya mempelajari Islam di Negara bukan Islam, walaupun saya melihat banyak nilai-nilai Islam telah dipraktiskan di Tanah Inggeris ini. Persoalan tersebut sebenarnya membuka minda saya untuk terus menghargai tanggungjawab saya sebagai seorang Muslim lebih daripada diri saya sebagai pelajar PhD. 

Benarlah kata-kata Syeikh Muhammad Abduh: "I went to the West and saw Islam, but no Muslims; I go back to the East and saw Muslims, but no Islam".

Tuesday, 8 October 2013

Buku: Al-Muhaddithat: The Women Scholars in Islam

Penerbit: Interface Publications (2007)

Rasanya masih tidak lewat untuk memperkenalkan buku ini biarpun hampir dua tahun saya masih membaca dan mengulang bacaan yang sama. Buku ini sebenarnya adalah muqaddimmah atau pengenalan kepada 40 bab buku yang mengumpulkan ulama wanita di dalam bidang hadith. Sebagai pengenalan, buku ini adalah bacaan terbaik untuk mengetahui bahawa wanita juga mempunyai sumbangan yang sangat besar di dalam bidang hadith.

Seperti yang telah dinyatakan oleh Imam al-Dhahabi di dalam kitabnya Mizan al-I'tidal, tiada seorang perawi wanita pun yang diragui kesahihannya dalam merawikan hadith Nabi SAW. Biarpun jumlah perawi wanita tidak seramai perawi lelaki, tetapi nama seperti Aishah, Ummu Salmah, dan Hafsah tidak perlu diperkenalkan bagi mereka yang mendalami ilmu hadith. Hadith-hadith yang diriwayatkan oleh perawi wanita juga dikatakan tidak diragui kesahihannya, malah banyak dijadikan dalil-dalil penting dalam aspek kewanitaan. Telah disebut di dalam buku ini bahawa sebanyak 2,764 hadith telaha diriwayatkan oleh perawi wanita seperti yang terkandung di dalam kutub sittah.

Dr. Akram Nadwi banyak memberikan contoh-contoh hadith yang telah diriwayatkan oleh perawi wanita di dalam buku ini dan memberi banyak perhatian kepada sumbangan mereka di dalam ilmu hadith. Perawi wanita yang disebut sebagai al-Muhaddithat ini juga menjadi rujukan penting oleh ulama-ulama besar seperti Imam al-Zuhri, Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Ibn al-Jawzi, Imam al-Dhahabi, Imam ibn 'Asakir dan ramai lagi.

Buku ini juga menyenaraikan ulama-ulama wanita secara ringkas mengikut waktu-waktu yang tertentu. Kegemilangan mereka dikatakan berterusan pada kurun pertama Islam sehingga kurun ke-15 selepas hijrah dan bilangan mereka semakin berkurangan setelah itu atas sebab-sebab yang tertentu.

Secara keseluruhannya, buku ini menggambarkan bahawa wanita juga memainkan peranan yang sama pentingnya seperti lelaki di dalam ilmu hadith kerana mempelajari hadith adalah cara terbaik untuk mengenali Rasulullah SAW dan sejarah hidup baginda. Sebagai sumber Islam kedua yang terpenting selepas al-Quran, hadith adalah subjek yang menjadi perhatian golongan Islam dan bukan Islam kerana kandungan hadith melengkapkan al-Quran dan membantu Muslim untuk mengamalkan Islam sebagai gaya hidup yang sebenar.

Tuesday, 1 October 2013