Bismillahirrahmanirrahim
Kurang dari dua minggu, saya bakal meninggalkan Tanah Inggeris. Sepatutnya saya pulang pada Mei yang lalu, tetapi dipanjangkan sedikit tempoh untuk menyiapkan penulisan. Masih juga belum selesai kerana tempoh perlanjutan yang diberi ialah sehingga Oktober, tapi visa kami sekeluarga tamat pada awal September. Lalu kami mengambil keputusan untuk pulang akhir Ogos atas sebab-sebab keluarga.
Selama tiga tahun tiga bulan ini, saya tidak pernah sekalipun pulang ke Tanah Melayu. Tiada duit untuk pulang? Ya, itu antara sebab utama. Antara sebab lain ialah saya mahu menikmati kehidupan di negara orang yang tidak pernah saya rasakan sebelum ini. Saya mahu belajar di universiti dan juga memperolehi pengalaman di universiti kehidupan juga. Terlalu banyak saya belajar sepanjang tempoh ini dan terlalu banyak kenangan pahit manis yang tidak akan saya lupakan dan akan disimpan rapat di dalam memori kehidupan ini.
Sejujurnya jika diberi peluang untuk tidak pulang, saya memilih untuk tinggal di Tanah Inggeris. Ini pengakuan jujur. Saya hormati jurang perbezaan yang tinggi di antara dua tanah penjajah dan dijajah. Biarpun negara penjajah ini dipelopori oleh nilai-nilai Barat yang jauh dari Akidah Islam, tetapi banyak juga nilai-nilai Islam yang diterap di dalam sistem mereka. Benar bahawa ada segelintir masyarakat Barat yang menyokong Islamophobia dan anti-Islam, tetapi mereka bebas untuk tidak bertelagah dengan perkara kecil yang sering diulang-ulang oleh masyarakat kita. Perasaan menghormati perbezaan adalah antara perkara penting yang dipupuk oleh masyarakat di sini, dan juga tidak memikirkan apa yang difikir orang lain.
Hati saya berdebar-debar untuk pulang ke tanah air sendiri. Ini juga pengakuan jujur yang terpaksa saya akui. Kos hidup yang semakin tinggi, keselamatan anak-anak yang semakin tergugat, bebanan kerja yang melampau, semuanya menjadi antara faktor yang merisaukan. Saya khuatir tanggungjawab menjaga anak dan suami yang wajib itu akan ditutupi dengan tanggungjawab mencari rezeki dan mengelakkan kesempitan kewangan keluarga. Saya juga khuatir masa untuk bekerja lebih banyak diluangkan berbanding masa di samping keluarga. Saya sangat khuatir jika anak mencari kasih sayang di tempat lain kerana kekurangan kasih dan sayang ibu ayahnya.. Na'uzubillah min dhalik...
Tetapi jauh di sudut hati saya berkata untuk amalkan hidup besederhana. Keluarga adalah segalanya. Berjimat adalah langkah mulia. Kami perlu mengubah cara hidup kami untuk boleh hidup sempurna dan bahagia di tanah kelahiran sendiri. Ada tanggungjawab yang perlu saya langsaikan dan di Tanah Melayu dan Islam itu adalah tempat saya berbakti...
Terima kasih Birmingham kerana mendidik saya dengan caramu yang tersendiri..
Terima kasih untuk semua kenangan manis kita, kenangan yang pahit biarpun ada hanyalah sebagai kekuatan untuk saya bangun dan kembali berjuang..
Kamu akan sentiasa terpahat rapi di hati...
10 Ogos 2016
Edgbaston, Birmingham
No comments:
Post a Comment