Bismillahirrahmanirrahim
Jarak entri lepas dan entri ini terlalu lama. Blog juga sudah berhabuk dan kini saya sedang membersihkan habuk yang ada. Kehidupan saya berubah sejak tiba di Malaysia. Pengurusan masa saya semakin lemah dan saya dalam proses membaiki diri ke arah yang lebih positif.
Saya bertanyakan soalan Apa Kata Hati di dalam entri lepas, dan Alhamdulillah hati saya mula menerima perubahan ini secara berperingkat. Perubahan cuaca, makanan, mata wang dan lain-lain lagi diterima secara perlahan-lahan. Tiga tahun di bumi asing adalah satu jangka masa yang panjang, dan bukan mudah untuk kami lupakan kenangan lalu dalam masa yang singkat...
Walau apa pun yang berlaku, saya kini sudah menerima kenyataan bahawa Tanah Melayu ini lah tanah kelahiran saya. Baik buruknya ditelan jua. Di sini juga saya perlu berjuang dan meneruskan perjalanan hidup bersama keluarga. Nikmat bertemu ayah bonda, adik beradik dan saudara mara adalah nikmat yang tiada bandingnya apabila di tanah air sendiri.
Kesibukan bekerja adalah satu cabaran buat saya. Saya bukan sahaja perlu menggalas tanggungjawab sebagai tenaga akademik, tetapi juga perlu menyelesaikan tanggungjawab saya sebagai seorang pelajar yang masih belum selesai. Biarpun ramai yang mengerti bahawa PhD itu bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi hanya mereka yang betul-betul mengalami sahaja yang memahami.
Tulisan ini adalah untuk menyuntik kembali semangat yang semakin menipis untuk menulis. Saya perlu aktif menulis dalam apa bahasa sekalipun. Menulis memerlukan disiplin yang tinggi, dan membaca adalah salah satu fator utama yang akan membantu menghasilkan penulisan yang baik.
Pada tarikh 1 November ini, saya memulakan kembali semangat ini agar saya terus konsisten untuk menulis agar dapat menyiapkan tulisan research saya yang masih berbaki. Mohon kalian doakan saya.
Wassalam
1 November
FPQS, USIM
No comments:
Post a Comment