Alhamdulillah
Alhamdulillah
Alhamdulillah
Tidak mampu digambarkan dengan kata-kata, tetapi kenangan ini perlu dicoretkan juga agar menjadi kenangan yang boleh dibaca semula dan mungkin boleh dijadikan inspirasi buat anak-anak kelak.
Saya menghantar tesis pada 20 Feb 2018, dan telah menghadiri viva pada 23 April 2018 baru-baru ini. Syukur ke hadrat Ilahi viva berjalan dengan sangat baik dan saya lulus dengan minor correction di mana saya diberi 3 bulan untuk membuat pembetulan. Semoga Allah merahmati kedua-dua penyelia saya dan juga kedua-dua penilai yang memberi natijah kejayaan pada hari tersebut.
Seingat saya, kami tiba di Birmingham pada 16 Mei 2013, dan mendaftar di universiti pada 21 Mei 2013. Pada 25 Mei 2013, kami menyambut ulangtahun perkahwinan yang pertama. Pada tahun yang pertama dalam dunia PhD, saya sangat bersungguh-sungguh. Saya ambil segala peluang yang ada untuk menuntut ilmu dan belajar benda yang baru. Sebelum masuk tahun kedua, kajian saya dinilai dan saat itu saya mendapat penyelia kedua. Tahun kedua adalah tahun paling mencabar buat saya, penyelia pertama saya cuti sakit selama 6 bulan dan penyelia kedua mempunyai konflik dengan penyelia pertama. Tesis saya berubah secara drastik, dan pada tahun kedua inilah saya membuat keputusan muktamad untuk kekal dengan tajuk yang ada dan mencari data penting untuk kajian saya. Alhamdulillah saya juga bakal menerima cahayamata pertama. Jadi, tahun kedua ini saya aturkan pembahagian masa untuk tesis agar dapat siapkannya mengikut timeline yang telah saya bina pada tahun pertama. Tetapi saya diuji lagi dengan sikap penyelia dan kemudian kelahiran bayi yang saya tunggu-tunggu itu menghadirkan bahagia tetapi dalam masa yang sama meningkatkan kerisauan yang ada.
Masuk tahun ketiga, penyelia masih sama. Saya tersekat, buntu dan tidak tahu untuk buat apa. Saya jalani tahun ketiga dengan berjaga-jaga. Biasiswa yang ada juga bakal berakhir, tetapi saya dapat menyambung tempoh cuti belajar selama 5 bulan sahaja dan perlu pulang juga ke tanah air. Saya ambil cuti daripada universiti selama 10 bulan, dan meneruskan semula pengajian sehingga ke tarikh akhir penghantaran tesis. Keringat, wang, usaha telah saya laburkan sepanjang hampir 5 tahun ini. Bayi kedua saya adalah rezeki yang Allah berikan untuk menjadikan saya lebih kuat. Saya nekad untuk siapkan tesis ketika berpantang anak kedua. Tempoh pantang selama 3 bulan itu saya gunakan sebaiknya. Benarlah bahawa anak-anak adalah sumber kekuatan yang tidak ternilai harganya, mereka bukan penghalang tetapi penguat semangat agar Ibunya menjadi contoh terbaik buat mereka. Alhamdulillah tamat juga perjalanan panjang ini. Jika saya diberi peluang sekali lagi untuk menyambung phd, TIDAK akan saya lakukannya buat kali kedua.
Buat rakan-rakan yang masih berjuang, teruskanlah. Abaikan apa yang diikata kerana tidak semua memahami apa yang dirasa. Melihat tidak sama dengan melalui. Mengata tidak akan sama dengan mengetahui. Semoga Allah permudahkan urusan kalian.
Finally, I'm FREE |
Pada hari viva ini, saya sangat teruja dapat kembali ke Birmingham (our second home) buat kesekian kalinya. Disambut dengan bunga dan angin sejuk yang mengimbau semua kenangan lama. Tanah Inggeris ini banyak mengajar erti sebuah kehidupan, mengenal kesusahan dan merasa manisnya pengorbanan. Semua ini adalah berkat doa dan sokongan suami, ibu bapa, keluarga dan rakan-rakan. Terima kasih memang tidak cukup buat mereka, tetapi saya memohon doa agar Allah balas segala kebaikan mereka dengan kebaikan yang berlipat kali ganda...
Alangkah bahagianya jika Ayah masih ada... Pasti dia tersenyum bahagia, mengucapkan tahniah dan membelek tesis ku berkali-kali walaupun mungkin tidak faham isi kandungannya..
Alangkah bahagianya jika Ayah masih ada... Pasti dia sudi mendengar apa yang terjadi pada hari viva itu, turut merasa apa yang saya rasa, gementar dan akhirnya gembira, phd ini berakhir juga..
Alangkah bahagianya jika Ayah masih ada... Akan ku sarungkan topi graduasi itu kerana dia adalah sumber inspirasi utama. Senyuman mahal Ayah akan mencipta satu detik yang takkan ku lupakan buat selamanya.
Tetapi Ayah sudah tiada, doaku buatnya tetap ada sampai bila-bila.
Maafkan saya Ayah, kerana terlambat menyiapkan tesis ini dan terlambat membuatmu bangga.
Kenangan dengan Ayah dan Emak di UOB, Jun 2015 |
Kenangan terakhir di sini, Ogos 2016 |
Kenangan tidak berhenti, membawa Afnan mengelilingi universiti |
Saya kembali lagi di Musim Bunga, April 2018 |
InsyaAllah, kami sekeluarga pasti kembali lagi!
No comments:
Post a Comment