Sunday, 9 May 2010

Perkahwinan 42 Tahun

9 Mei 1968

Sambutan sangat sederhana. Khabarnya di Singapura. Terkabul ijab di antara jejaka Johor Jawa dan gadis Singapura Jawa. Alhamdulillah. Sah. Kehidupan sebenar bermula setelah tarikh bersejarah ini.

9 Mei 2010

Suara datuk bagai terngiang-ngiang di telinga. Datuk lah yang menceritakan hal perkahwinan ayah dan emak pada hari hol keluarga Singapura kira-kiranya pada tahun lepas. Itu pertama kali saya mendengar sendiri kisah perkahwinan ayah dan emak, yang bukan dari mereka berdua. Air mata saya bergenang. Kehidupan susah zaman dahulu kala sering buat hati saya teresak-esak tapi tidak dizahirkan. Saya tidak mampu menceritakan semuanya di sini.. Saya benar-benar sebak!

Alhamdulillah tarikh ini, genap umur perkahwinan ayah dan emak berusia 42 tahun. Umur yang sangat kukuh. Jika diukur pada manusia, kulit mula berkedut, kesihatan mula beransur, emosi mula terusik. Tapi tempoh yang lama ini diletakkan pada usia perkahwinan yang kekal utuh, walaupun pastinya melalui ranjau yang berduri. Hanya satu soalan yang bergema di gegendang telinga ini; Mampukah saya melalui tempoh perkahwinan sejauh ini ketika saya mendirikan rumahtangga kelak ???

Semalam saya baru sahaja menghadiri majlis perkahwinan seorang teman. Tahniah buat Elly dan pasangan. Semoga berbahagia hingga ke syurga.. Saya cuba membandingkan pasangan baru berkahwin dan pasangan yang sudah bertahun-tahun berkahwin. Di mana sebenarnya letaknya kunci kebahagiaan dan kesetiaan ? Adakah bahagia itu diukur hanya di umur setahun perkahwinan, bilangan anak yang diperolehi, rumah besar yang dibina, atau hal-hal material yang menjadi ukuruan pada zaman ini ? Saya rungsing.. Kerana bagi saya kebahagiaan itu adalah sesuatu yang dapat dirasa dengan mata hati oleh kedua-dua pasangan tanpa diukur dengan apa aspek sekalipun, cukuplah mereka saling memberi dan menerima seadanya tanpa mengharapkan balasan. Saya mahu bahagia yang ini. Saya mahu mengecapi Saadah yang menjadi nama saya selama ini..

Lucu. Yang buat saya tergelak kecil sekarang ini ialah kerana saya tidak pernah mempersoalkan hal perkahwinan sebelum ini. Tidak pernah. Kerana saya tahu masih belum tiba waktunya. Jika tiba kelak, semuanya akan dipermudahkan. Saya yakin dengan itu. Cuma ulangtahun perkahwinan ayah dan emak buat saya berfikir panjang. Saya mahu seseorang yang mampu hidup tua dengan saya, biar berusia 100 tahun pun. Jika tidak mampu menerima wajah kedut dan tubuh bongkok ketika saya tua kelak, tolong buang niat untuk memperisterikan saya..

Ya Allah, Kau kekalkan perkahwinan ayahanda dan bonda hingga mereka bertemu di dalam syurga kelak.
Panjangkan lah umur mereka, murahkanlah rezeki mereka, berkatilah kehidupan mereka dunia dan akhirat, berilah jaminan syurga buat mereka Ya Rabb.
Tidak termampu untukku membalas segala jasa dan pengorbanan mereka selama ini.
Ucapan terima kasih dariku tidak cukup untuk membalas segalanya, dengan doa yang ku pohon ini, hanya padaMU ku mohon agar Kau memberikan rahmat buat mereka di dunia dan di akhirat....

Ini bukti setelah 42 tahun. 5 anak yang sudah besar panjang serta 12 cucu.
Alhamdulillah di atas segala nikmat ini~!

Tidak lupa juga ucapan Selamat hari Ibu buat Emak tersayang~! Terima kasih di atas segalanya Emak. Hanya Allah yang mampu membalas segala jasa dan kasih sayangmu...

No comments:

Post a Comment