Alhamdulillah, tamat juga novel ini dibaca selaras dengan target yang dibuat untuk mengkhatamkannya pada minggu ini juga. Dipinjam dari rakan kepada seorang teman, terima kasih buat pemilik dan peminjam buku tersebut. Walaupun sudah dibaca, tapi saya masih sempat berkirim kepada teman yang mahu pulang ke Indonesia untuk membelikan buku ini buat simpanan untuk perpustakaan peribadi saya kelak. Buku bertajuk 'Negeri 5 Menara' karya Ahmad Fuadi ini benar-benar luar biasa. Kulit bukunya yang pertama kali dilihat di papan iklan sudah cukup membuatkan saya mahu membaca tulisan di lembaran buku tersebut, dan akhirnya kisah anak-anak 5 menara sudah di dalam kepala lalu meresap ke dalam jiwa..
Pesantren adalah sekolah pondok yang tidak asing lagi di Indonesia, dan Pondok Madani adalah bukan perkara asing di Gontor, Jawa Barat. Watak Alif Fikri yang dipaksa orang tuanya berkelulusan agama adalah pemain utama menjayakan novel ini. Sahabat2nya yang digelar Sahibul Menara terdiri daripada Said, Baso, Dulmajid, Raja, Atang adalah keluarganya juga di PM. Setiap dari mereka mempunyai impian dan cita-cita yang berbeza, dan mereka juga mempunyai karakter yang berlainan. Setiap mereka ada kelebihan dan kekurangan. Kisah mereka diolah dengan sangat baik oleh penulis dan saya benar-benar sukakan watak Baso. Baso adalah anak luar biasa yang mempunyai daya ingatan yang sangat baik sehingga digelar penulis sebagai 'photographic memory'. Hasratnya untuk menghadiakan jubah syurgawi untuk kedua ibubapanya yang sudah meninggal dunia adalah sangat suci tapi dia terpaksa meninggalkan PM tanpa mendapat sebarang ijazah kerana beberapa keadaan susah yang dialaminya. Tapi itu bukan menjadi masalah kepadanya untuk bergelar Hafiz dna menuntut di Timur Tengah. Saya di sini tidak berniat untuk menceritakan satu persatu watak di dalam buku 5 Menara, kerana membaca buku ini jauh lebih menarik berbanding membaca deskripsi saya yang biasa-biasa saja.
Foto Sahibul Menara yang diambil dari website 5 Menara (klik SINI)
Ikhlas. Konsep keikhlasan adalah mesej utama 5 Menara. Saya kagum dengan penuntut dan tenaga pengajar PM yang mempraktikkan konsep 'ikhlas' dengan sangat baik. Kerana keikhlasan adalah sesuatu yang sukar diperoleh, malah ia tidak boleh diluahkan dengan kata-kata sekalipun kerana hanya Allah yang boleh mengukur keikhlasan yang ada di dalam hati kita.
Biarpun bahasa yang digunakan di dalam novel ini adalah Bahasa Indonesia, tapi saya senang walaupun masih dapat beberapa perkataan yang tidak boleh saya fahami. Tapi saya puas. Dan saya nantikan sambungan 5 menara yang bertajuk 'Ranah 3 Warna' yang akan dipasarkan tidak lama lagi. Ya, saya nantikannya !
5 Menara & Laskar Pelangi
Tidak adil kiranya saya membandingkan dua novel dari dua penulis yang berbeza ini. Masing-masing mempunyai daya kekuatan yang tersendiri, mimpi-mimpi yang mahu dicapai, dan watak-watak yang menarik. Saya sememangnya jatuh cinta dengan imaginasi Andrea terutama di dalam Edensor. Tapi saya juga jatuh cinta dengan impian A. Fuadi dengan aspek keikhlasan yang ditonjolkan di dalam bukunya. Dan ternyata saya sukar untuk buat pilihan siapa yang terbaik di antara mereka.
Cuma saya kagum dengan keberanian penulis 5 Menara untuk menonjolkan watak-watak yang sebenar di dalam novelnya. Malah mereka itu benar-benar wujud, bukan hanya rekaan semata-mata. Saya sempat menonton secara live rancangan Kick Andy yang disiarkan di siaran Metro Tv Indonesia walau hanya secara online malam tadi. Dan saya kagum dengan keberanian Ahmad Fuadi untuk memperkenalkan watak2 tersebut secara realiti kepada pembaca. Seterusnya pembaca boleh menilai sejauh mana kebenaran kisah tersebut dengan realiti kehidupan mereka yang benar-benar sudah berjaya mencapai mimpi-mimpi mereka..
Komen saya tentang tetralogi Laskar Pelangi boleh dibaca di SINI..
Gontor & Annur
Entah kenapa saya mahu kaitkan dua tempat yang semestinya sangat berbeza ini. Tapi ini semua gara-gara saya rindukan Annur. Rindu yang tidak terluah. Rindu dengan kenangan yang sengaja dibina ketika mahu mengenal hidup dan mengejar kedewasaan. Saya hanya mengenal Gontor melalui teman, dan saya mengenal Annur melalui pengalaman. Tapi Annur kini sudah jauh berbeza. Dahulunya buruk dan kotor, kini sudah dibangunkan bangunan baru. Dahulunya penuh semak samun, kini semkanya sudah ditebas dan ditebang. Dahulunya tersiksa dengan undang-undang ketat, kini tiada undang-undang lagi seperti dulu yang saya rasa. Auranya juga sudah berbeza.
Kali terakhir saya menjejakkan kali ke sana setelah tamat belajar walau hanya 3 tahun di Annur pada tiga tahun lepas cukup buat hati saya sangat sedih mengimbau kenangan lama. Saya rindu kenangan didenda, aktiviti nakal, rakan-rakan penghibur, guru garang, undang-undang ketat, dan segalanya yang tak mungkin saya akan lalui lagi selepas ini. Dan saya juga tidak mahu ia berulang semula, tapi takkan sekali membuangnya di kotak fikiran dan hati suci ini. Yang penting Annur adalah tempat yang dahulunya saya benci dan diingati sampai bila-bila. Berbalik pada Gontor, sejujurnya saya mahu melihat dengan mata kepala saya. Mahu lihat persekitaran Gontor yang mencuit hati saya. Malah bercita-cita untuk menghantar anak saya untuk menuntut di Gontor jika Allah berikan zuriat kepada saya kelak. Agama adalah sesuatu yang perlu dipupuk dan dididik di dalam sistem pendidikan 24 jam seperti di Gontor. Sekurang-kurangnya masih ada 'Nur' untuk masa depan anak saya di Gontor...
**Man Jadda Wajada !! Man Sabara Zhafira.. wa Man Kasala Rasaba.. ^__^
No comments:
Post a Comment