Monday, 23 April 2012

Hutang Piutang


Pisang emas dibawa belayar
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.

Pantun adalah sebuah tradisi Melayu yang masih dikenang sehingga kini. Seperti mana pantun yang dinyatakan di atas, ia tidak dimamah zaman. Malah, dua generasi berbeza, lama dan baru masih mengingati bait-bait pantun. Walaupun demikian, isi tersirat di dalamnya semakin lama semakin diabaikan.

Pantun tersebut telah dianalisis secara semiotik oleh En. Fauzi bin Abdullah dari Jabatan Kesusasteraan Melayu. Menurut beliau, ‘Hutang’ merujuk kepada pemilikan harta yang menandakan pertentangan kelas antara kaya dan miskin. Si kaya sebagai penghutang sementara si miskin menjadi pemiutang. Hutang biasa ditanggap dalam dua bentuk iaitu hutang barangan (benda) dan hutang budi (emotif).

Pemahaman terhadap konsep hutang telah disebut secara umum di dalam pantun ini, di mana hutang perlu dibayar semula dengan tepat mengikut jumlah yang telah ditetapkan seperti mana yang telah termeterai di dalam perjanjian. Jika emas harus dibayar, apatah lagi jika yang dipinjam itu adalah wang ataupun bahan material lain seperti baju, buku dan sebagainya. Manakala, hutang budi itu jika tidak mampu dibayar, ia harus dikenang sepanjang zaman kerana adab, akhlak dan budi itu tidak akan mampu dibalas secara material.

Di dalam Islam, hukum terhadap hutang telah disebut di dalam Quran dan Sunnah. Hutang dari segi bahasa bermaksud potong. Dari segi istilah ialah memberi hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan.

Allah SWT tlah berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 245 bermaksud : “Siapakah orangnya (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagi pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah SWT melipatgandakan balsannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah SWT jualah yang menyempit dan Yang Meluaskan (pemberi rezeki) kepadaNyalah kamu semua dikembalikan”. Dan ayat yang lain pula “Apabila kamu berhutang maka, hendaklah kamu catatkan”. Surah al-Baqarah 282. Dan dalam ayat yang lain “Jika penghutang berada di dalam kesukaran untuk membayar maka tunggulah sehingga masa dia senang”. Al-Baqarah 280.

Kemudian di dalam hadith, Rasulullah SAW bersabda: "Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban Syahid kecuali ia mempunyai hutang (kepada manusia)" [Riwayat Muslim, 6/38].
Hadith lain ada menyatakan tentang mereka yang telah berhutang dan berniat untuk tidak membayar hutang tersebut. Baginda bersabda: "Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya" [Riwayat Bukhari, 2/83]

Kesimpulan yang boleh dinyatakan di sini ialah, hutang harus dibayar. Ia akan luput apabila jumlah hutang langsai dibayar atau dengan persetujuan si pemberi hutang untuk meringankan hutang tersebut atau ikhlas menghapuskan hutang tersebut dan tidak akan menuntut.

Jika adat Melayu mengamalkan nilai-nilai murni melangsaikan hutang, apatah lagi agama Islam yang suci.

Jika ada kesusahan yang mengakibatkan sukarnya membayar hutang, apa gunanya kompromi, toleransi dan saling memahami.

Jika pandai berhutang, harus pandailah juga membayar hutang.

Jika marah sekiranya kawan terlupa membayar hutang, haruslah ingatkan diri sendiri yang kita juga pernah berhutang.

Jika tidak mahu berhutang, berusahalah sehabis baik agar rezeki yang ada menucukupi buat kita.
Bukankah Nabi pernah mengajar agar berdoa dilepaskan dari hutang. Hadith tersebut bererti; "Ya Allah, aku berlindung kepadaMU dari dosa dan hutang" lalu Baginda ditanya: mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang wahai Rasulullah? baginda menjawab: Jika seseorang berhutang, bila berbicara ia dusta, bila berjani ia mengingkari" [Riwayat Bukhari, 1/214]


Oh Tuhan, permudahkanlah aku melangsaikan hutang.

**Entri ini adalah peringatan buat diri, tiada kaitan dengan yang hidup atau mati. Rujukan: SINI dan SINI.

No comments:

Post a Comment