Friday 27 April 2012

Syukur & Maaf

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, segala puji bagi Tuhan Pencipta Alam. Dia yang menghidupkan dan mematikan, dan Dia hanya hidup dan tidak mati. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi akhir zaman, Muhammad sallahu'alaihiwasallam. Syukur kerana baginda yang menyampaikan Risalah Tuhan, dan tugas kita pula untuk terus menyampaikan walau satu kalimah.

Sejak kebelakangan ini, tangan saya laju menekan papan kekunci komputer peribadi. Yang ditulis bukan proposal tesis, tapi kemelut hati yang tidak terluah suara. Bukan tiada idea untuk menyiapkan kertas kerja, tetapi gangguan minda sangat menguji jiwa. Lalu, terdapatlah jarak sedikit di antara saya dan akademik kerana dekatnya saya dengan dunia suara hati.


Ahad lepas, majalah Solusi baru melambai-lambai minta dibeli. Tajuk muka hadapan sangat menarik. Saya terus membayar tanpa banyak soal. Lalu bertanya di dalam hati: "Adakah aku termasuk di dalam ahli Syukur?"

Ustaz Pahrol Mohd Juoi menulis, ciri-ciri Ahli Syukur itu ialah:

Pertama: Tetap bersyukur walaupun nikmatnya kecil. 
Biarpun nikmat yang diperoleh tidaklah sehebat mana, sematkan dalam diri dengan sifat qana'ah. Sentiasa berasa cukup dengan apa-apa yang telah Allah kurniakan. Biarpun ia berupa ujian, lapangkan hati untuk menerimanya dan bersyukur kerana ujian yang ditimpakan lebih ringan berbanding orang lain.

Kedua: Memuji Allah setiap masa.
Amat mudah untuk memuji Allah iaitu dengan mengucapkan Alhamdulillah yang bermaksud Segala puji bagi Allah. Jadikan perkara mudah ini sebagai satu kebiasaan dalam diri sebagai tanda syukur kita terhadap segala kurniaan Allah.

Ketiga: Berterima kasih kepada Penunjuk Jalan Nikmat
Benar bahawa setiap rezeki datang daripada Allah. Tatapi perlu diingati bahawa kadang-kadang rezeki tersebut disampaikan kepada kita melalui orang lain. Contohnya apabila diterima bekerja di sesuatu tempat, berterima kasihlah kepada orang yang memaklumkan tentang kekosongan jawatan, penemu duga dan majikan.

Keempat: Nikmat wasilah mendekatkan diri kepada Allah.
Nikmatilah nikmat dan kurniaan yang Allah berikan dengan mendekatkan diri kepada Allah. Jangan terlalu leka dengan keindahan nikmat tersebut sehingga mengabaikan kewajiban sebagai hamba seperti melengahkan solat kerana terlalu tekun bekerja. Lazimi diri dengan pelbagai ibadah sunat sebagai usaha kita mensyukuri nikmat yang telah diberikan.


Bukannya sukar untuk mengucap syukur. Dengan lisan, kita bisa mengucapkan ALhamdulillah kepada Tuhan, berterima kasih kepada manusia. Dengan dahi, ia dipakai untuk sujud menyembah Yang Kuasa. Dengan mata, ia diguna untuk melihat kebenaran dan ciptaan Yang Esa. Dengan ilmu, ia disarankan untuk berkongsia dengan semua. Dengan harta, ia harus dinafkahkan ke jalan yang diredhaiNya.

Begitu juga maaf. Untuk memohon maaf, kita harus memaafi..

Syukur dan maaf adalah urusan segumpal darah di dalam jasad manusia. Akal bisa melupakan, tapi hati yang disakiti pasti mengambil bertahun-tahun untuk membiarkan pergi.

Memohon maaf kepada Tuhan, ucapkan sahaja Istighfar dan solat Taubat. Sesunggunya Tuhan itu Maha Pemaaf semua dosa kecuali syirik kepadaNya. Tapi, dosa kepada manusia? 

Riwayat Anas bin Malik, Rasulullah SAW telah bersabda: "Kezaliman itu terbahagi kepada tiga. Pertama kezaliman tidak diampunkan Allah. Kedua kezaliman diampunkan Allah, dan ketiga kezaliman yang Allah tidak ikut campur dalam hal itu. Kezaliman tidak diampunkan Allah adalah syirik. kezaliman diampunkan Allah adalah dosa manusia ke atasa dirinya dan tuhannya. Kezaliman yang Allah tidak ikut campur adalah dosa di antara manusia dengan manusia, sehingga mereka menyelesaikannya terlebih dahulu."

Oleh yang demikian, selesaikanlah urusan di antara manusia kerana maut datang tidak mengenal waktu dan usia. Kerana cantik dan indahnya Islam, setiap Muslim dianjurkan untuk memaafkan dahulu sebelum orang lain meminta maaf. Dan, harus memaafkan orang lain, sebelum memohon untuk dimaafkan.

Bukankah Tuhan sudah berfirman: "Dan jika kamu memberi maaf, maka itu lebih dekat kepada Taqwa" [al-Baqarah: 237]

Ayuh saling memaafi.

Ayuh saling mensyukuri.

Ayuh saling muhasabah diri.

No comments:

Post a Comment