Bismillahirrahmanirrahim
Entri kali ini adalah sempena seseorang yang terlalu banyak jasa dan pengorbanannya. Saya menulis bukan kerana sempena menyambut Hari Ibu atau yang sewaktu dengannya, tetapi kerana saya belum pernah menulis satu catatan pun buat bonda saya, Puan Hajah Ratnah Wati Ahmad Sonhadji.
Sejak kecil, saya dididik tegas. Itulah ratu hati yang saya panggil Emak sepanjang masa. Walau hanya suri rumah sepenuh masa, beliau ligat menceburkan diri dalam menjalankan bisnes seecara kecil-kecilan pelbagai jenis barang, juga mengambil upah menjahit, malah dulu pernah membuka kelas menjahit untuk rakan-rakan beliau. Selain itu, bonda saya rajin mengajar ngaji anak-anak satu taman perumahan ketika saya kecil suatu ketika dahulu. Kini, bonda sudah bersara menjadi penjahit dan cikgu sambilan, tetapi masih ligat seperti orang muda :)
Mencecah umur 62 tahun pada 2012, kadangkala saya alpa bahawa emak sudah lebih dua puluh tahun mengasuh dan mendidik saya. Walaupun hanya berpendidikan Sijil Menengah Tinggi, bonda tidak pernah lokek berkongsi petua dan pengalaman hidupnya. Peranan bonda sebagai setiausaha utama Ayah adalah layanan kelas pertama, kerana Ayah saya sangat sibuk dengan urusan mengajar dan tanggungjawab beliau yang lain di luar rumah.
Jika mengorek kisah pertemuan dengan Ayah dan Emak sebelum mereka berumahtangga, rupa-rupanya Emak adalah anak murid kepada Ayah ketika belajar dahulu. Allah sudah aturkan pertemuan tersebut walaupun Emak saya berasal daripada Tanah Temasik yang tidak jauh daripada Bandar Johor Bahru. Alhamdulillah dikurniakan 5 cahaya mata atas hasil perkongsian hidup lebih 40 tahun bersama.
Jarak saya dan kakak ketiga sangat jauh. Hampir sama jaraknya dengan umur saya dan anak saudara saya yang pertama. Mungkin tiada rezeki pada waktu itu kerana Emak banyak kali keguguran, kalau tidak mungkin saya ada abang atau kakak lebih daripada tiga. Malah melahirkan saya pada bulan Ogos adalah sesuatu yang amat menyakitkan. Uri saya tertinggal di dalam rahim Emak, dan beliau terpaksa mengambil pembedahan kecil untuk mengeluarkan uri tersebut. Saya dinamakan Saadah oleh Ayah kerana hampir sama dengan nama arwah emak saudara Ayah yang bernama Mushahadah. Malah kata Ayah, nama ini baik maksudnya.
Kemudian, lahir pula adik lelaki yang hanya jarak setahun dengan saya. Oleh kerana kami membesar bersama dari kecil, gaduh dan baik sebagainya, kami rapat sehingga kini. Emak sering membawa kami berdua ke mana-mana sejak kecil kerana menjaga dua anak kecil bukan mudah yang disangka.
Saya nakal, adik saya juga begitu. Tetapi saya tidak pernah menyesal, rotan dan marah Emak suatu ketika dulu banyak membantu saya mengenal erti hidup. Malah sangat bersyukur mempunyai seorang ibu yang sangat mengambil berat, berbanding ibu-ibu lain yang sanggup membiarkan anak mereka berpeleseran entah ke mana. Kini saya sudah dewasa, walaupun tidak dirotan, saya masih dimarahi kerana kadangkala bersikap tidak matang tanpa disedari. Sangat bersyukur kerana masih ada Emak yang menyedarkan, berbanding ibu-ibu lain yang hanya membiarkan.
Sejak kebelakangan ini, saya memandang wajah bonda penuh sayu. Beliaulah orang yang paling sibuk untuk majlis saya nanti. Beliau mahu memastikan segalanya berjalan sempurna. Kadangkala ada sahaja yang tidak kena, kerana kadangkala beliau memikirkan sesuatu yang tidak kita fikirkan. Dan saya sangat bersyukur kerana wujudnya beliau untuk saya melangkah ke dunia baru.
Jika ada yang mengata bonda, baik buruknya,
dia tetap insan yang melahirkan saya..
dia tetap insan yang melahirkan saya..
Jika ada yang tidak berpuas hati terhadapnya,
maafkanlah, kerana tiada insan yang sempurna..
maafkanlah, kerana tiada insan yang sempurna..
Jika ada yang marah terhadap sikapnya,
maafkanlah juga, kerana manusia sering melakukan kesilapan..
maafkanlah juga, kerana manusia sering melakukan kesilapan..
Jika ada yang menghormatinya,
teruskan, kerana yang tua harus dihormati, yang kecil harus disayangi..
teruskan, kerana yang tua harus dihormati, yang kecil harus disayangi..
Jika ada yang menyayanginya,
sebarkan sayang itu kerana kasih sayang bonda membawa ke syurga..
sebarkan sayang itu kerana kasih sayang bonda membawa ke syurga..
Jika ada yang mendoakannya,
doakanlah, agar Emak sentiasa dilimpahkan Rahmat Yang Esa..
doakanlah, agar Emak sentiasa dilimpahkan Rahmat Yang Esa..
Semoga Allah mengampuni dosa-dosa ku, dosa-dosa kedua ibu bapaku, berikanlah kesihatan dan umur yang panjang, limpahkanlah rezeki dan nikmat yang halal dan berterusan, kurniakanlah mereka kebahagiaan dunia dan akhirat. Berikan daku peluang untuk menjadi anak yang taat, serta mampu membalas jasa mereka suatu hari nanti. Usah Kau tutup pintu rahmat buat mereka dan anugerahkanlah syurga Firdaus buat mereka di Akhirat kelak..
Amin Ya Rabb!
*Foto: Sarapan pagi bersama bonda, Warong Saga, Johor Bahru.
*Foto: Sarapan pagi bersama bonda, Warong Saga, Johor Bahru.
No comments:
Post a Comment