Mei sudah menjelma. Awal Mei, semua pekerja diberikan cuti sama rata. Ada yang menyebut Hari Buruh, ada juga mengatakan Hari Pekerja.
Mei mengunjung tiba. Hari ini sudah hari kedua. Hari bakal berlalu dengan pelbagai rasa.
Mei adalah bulan lima. Sejak bulan sepuluh, aku sudah mengira. Bila agaknya? Nah! Tersenyum-senyum Mei muncul di alam nyata.
Mei tersipu-sipu riang gembira. Tapi, takut dan gemuruh pun sibuk bertandang tanpa dipelawa. Hmm, kenapa ya?
Mei berkata, banyakkan doa.. Usah bimbang. Usah ragu. Allah kan ada...
Mei tidak pernah lupa bertanya. Tanggungjawab baru sedang berjalan ke arahmu, sudah bersedia?
Mei juga tidak pernah melata. Mengingatkan bahawa hari bersejarah yang bakal tiba itu bukan hari bersuka ria, tetapi hari memikul amanah dan memohon Rahmat Yang Esa.
Mei memujuk juga. Jika ada yang dengki dan iri hati, biarkan saja. Usah membalas, tapi doakan yang baik-baik untuk mereka.
Mei menambah lagi, jangan lupa minta maaf pada semua. Kadang-kadang kita tidak sedar dosa kita pada manusia, kerana dosa dengan Tuhan banyaklah jua..
Mei menasihati, kemudian maafkan orang lain pula. Usah menyimpan dendam terlalu lama. Alhamdulillah, aku bukan pendendam orangnya.
Mei, aku mohon agar kau merangkak perlahan, usah berlari kencang, agar aku tenang.
Mei, bukan kau yang aku harapkan sebenarnya. Tapi kepada Tuhan jualah tempat yang disembah dan tempat meminta pertolongan.
Mei, walaupun demikian, aku bersyukur kerana adanya kau yang memberi sinar untuk mengingati hari bahagia.
Mei, doakan aku bahagia. Sebahagia namaku. Doakan aku juga agar mampu membahagiakan keluarga.
Mei, kau istimewa. Tiada kata mampu meluahkannya. Tiada suara mampu mengalunkannya.
Mei, terima kasih daun pegaga, semoga Allah memberkati cinta kita.
Saadah Khair
2 Mei 2012
Bandar baru Nilai
No comments:
Post a Comment