Thursday, 14 June 2012

'A' untuk AYAH

Bismillahirrahmanirrahim

Satu adalah untuk Emak, kerana Nabi Muhammad SAW menyarankan agar mengutamakan Ibu terlebih dahulu di dalam semua perkara. Akan tetapi, huruf alfabet pertama "A" adalah untuk Ayah yang terlalu penting kewujudannya di dalam hidup saya.

Menyebut perkataan "Ayah" sahaja sudah membuatkan minda saya terbayang wajah redup Ayah yang sudah dilitupi uban putih di seluruh rambutnya. Mempunyai Ayah sepertinya seorang sudah cukup buat saya merasai kasih-sayangnya yang terpancar ikhlas melalui setiap bait nasihat dan teguran serta sikap sabar dan lembut Ayah terhadap anak-anaknya. Hanya beliau yang saya gelar Ayah dan dia akan tetap menjadi Ayah saya selama-lamanya

Terlalu banyak memori yang saya ukir bersama Ayah sejak kecil hinggalah kini saya bergelar si isteri. Tidak mampu saya sebut satu persatu setiap jasa dan pengorbanan Ayah kerana ia bakal mengundang air mata bangga kerana mempunyai Ayah seperti beliau. Tunjuk ajar dan teguran berhemah Ayah akan sangat saya hargai dan perlukan setiap masa. Doa saya agar Ayah dikurniakan umur yang panjang dan kesihatan yang baik, dilimpahkan rezeki dan Rahmat Tuhan yang berterusan, juga dijanjikan Syurga Firdaus kerana itulah yang selayaknya untuk Ayah, bersama orang-orang yang beriman..

Menonton satu cerita Jepun, ada satu kata-kata yang mengetuk hati saya untuk menulis entri ini. Kata Makino: "Whenever I look at my dad, I feel like the words 'Thank You' are made of magic". Serta merta, saya mahu menangis kerana teringat wajah Ayah yang sudah dua minggu kami tidak bersua muka. Rasanya, ucapan terima kasih sahaja tidak akan pernah cukup untuk membalas semua titik keringat Ayah mencari rezeki halal buat kami sekeluarga.

Ingin saya kongsikan di sini kata-kata azimat Ayah sebagai rujukan saya dan generasi saya pada masa akan datang...

Kata Ayah, "Usah hidup terlalu kaya. Jangan pula menjadi papa. Jadilah yang sederhana sahaja". Kata-kata ini merujuk kepada dirinya yang tidak pernah jemu bergelar seorang pendidik sepenuh masa. Orang yang yang mempunyai ilmu kebiasaannya tidak menikmati kehidupan kaya raya, tapi tidak akan pernah papa kedana, kerana orang yang berilmu ini sering rendah diri dan merasa puas untuk terus memberi dan berkongsi kepada orang di sekelilingnya. Yang paling penting ialah rezeki tersebut mendapat keberkatan dan keredhaan Tuhan.

Kata Ayah, "Berbudi pada tanah tidak akan rugi". Oleh yang demikian, sejak kecil lagi saya dan adik sering dibawa ke kebun Ayah yang dahulunya di Kg Rahmat, Kulai tapi kini di Kg. Sinaran, Senai. Beliau menanam apa sahaja yang mendatangkan hasil, tidak kiralah samada boleh dijual atau disedekahkan kepada saudara mara. Ayah juga pernah bersuara yang mana hasil tanamannya bukan sahaja untuk dirinya sendiri, tetapi untuk dinikmati anak-anak dan cucu-cucunya nanti!

Kata Ayah lagi, "Silaturrahim itu menambah rezeki. Sedekah itu mengelak bala". Siapa yang tidak kenal Ayah di kalangan saudara maranya? Ayah sangat dikenali dan dikagumi kerana usaha gigihnya dalam menjaga hubungan kekeluargaan. Hasilnya, Ayah telah membuat satu silsilah keluarga yang sangat membantu terutama dalam menjejaki ahli keluarga yang jauh. Sehingga kini, Ayah melatih kami adik beradik untuk menjaga hubungan persaudaraan yang tidak akan putus walau dicincang air. Ketika kecil, Ayah sengaja memberi RM1 bukan untuk kegunaan saya, tetapi memasukkan duit tersebut ke dalam tabung jika kami berhenti singgah ke mana-mana masjid atau surau. Pengalaman hidupnya sendiri sangat bernilai kerana berkat sedekah beliau tidak putus merahmati kami sekeluarga.

Nasihat Ayah, "Biar kita tolong orang lain, sebab tak mustahil suatu hari nanti kita pula yang perlukan pertolongan orang lain". Ini sering disebut Ayah jika kadang-kadang saya merungut apabila disuruh untuk membantu dalam membuat kerja orang lain. Kadang-kala kita memang tidak tahu bila pula giliran kita akan susah!

Tegur Ayah, "Walau sibuk mana sekalipun, solat tetap perkara utama!". Masih saya ingat perkongsian cerita Ayah tentang arwah atok (bapa kepada ayah yang tidak pernah saya jumpa) di kampung, beliau akan mengetuk lantai rumah kayu untuk membangunkan semua ahli keluarga bangun Subuh dan soalan pertama yang ditanya jika bertemu dengan orang (khusus ketika masih dalam waktu solat) ialah "Dah solat ?". Ayah juga menyarankan agar kaum lelaki untuk menunaikan solat berjemaah di surau. Oleh itu, beliau sangat suka jika memilih rumah yang berhampiran dengan masjid atau pun surau.

Ayah suka berjenaka, senyumannya mahal tapi manis dan tidak dijual. Ayah ketawa, kadangkala juga marah, dan pandai mengawal air mata walaupun kadangkala sensitiviti menyuntik jiwa. Ayah mengajar agar "Hormati yang tua dan kasihi yang muda". Bahasa Ayah sangat lembut jika bertutur dengan mereka yang lebih tua daripadanya. Ayah juga sering bergurau senda dengan cucu-cucu sehingga mengundang cemburu si anak manja seperti saya.

Jika mahu bercerita tentang Ayah, memang tidak akan cukup masa. Mungkin saya akan menyambung di entri lain pula..

Dua lelaki paling penting di dalam hidup saya!

Sebagai perkongsian akhir, selepas walimah saya tempoh hari, kata-kata Ayah yang mengundang sebak dan tidak akan saya lupakan sebelum kami pulang ke bandar KL ialah: "Ayah dah lepaskan tanggungjawab Ayah kepada Firdaus untuk jaga Saadah sebaiknya". Oh Tuhan! Saya menangis serta merta. Saya masih memerlukan Ayah walaupun kini suami saya menjadi insan utama dalam hidup saya.

Ayah, saya sayang Ayah dunia akhirat...

Ayah, Jazakumullahukhayraljaza'~!

No comments:

Post a Comment