Friday, 22 June 2012

Buku: Bahagianya Menjadi Pengantin Sepanjang Masa


Ini adalah hadiah pertama yang saya terima sebelum melangkah ke alam bahagia. Terima kasih Dr. Khairul Nizam, pensyarah USIM, rakan sekerja saya yang menghadiahkan buku istimewa tulisan isteri beliau sendiri sebagai bacaan saya menjadi Pengantin Sepanjang Masa (PSM).

Masih belum menamatkan bacaan, tetapi ingin berkongsi sedikit beberapa isi yang menarik perhatian saya yang masih baru di dalam dunia perkahwinan.

Jika iklim mempunyai musim yang berbeza, percintaan dan perkahwinan juga akan mengalami empat musim yang berbeza. Menurut penulis, musim-musim tersebut ialah:

Musim Pertama: Musim Cinta Sayang
Ia berlaku pada peringkat awal perkenalan, di mana proses pengenalan sedang berlaku di antara satu sama lain. Kebiasaannya, kebaikan pasangan sering disebut dan keburukannya sentiasa dilindungi. Setiap pasangan perlu mempunyai niat yang betul sebelum berkahwin, tidak boleh menganggap bahawa perkahwinan itu adalah sekadar tikeh sah untuk bernikah, perlu memilih calon yang tepat dengan masa yang sesuai dan mesti mendapatkan restu dan reda ibu bapa.

Musim Kedua: Musim Masam Manis dan Kritkal
Ia berlaku di awal tempoh setahun dua usia perkahwinan. Setiap pasangan akan berhadapan dengan realiti pasangannya tadi dan cinta antara satu sama lain akan teruji dan menghasilkan tindak balas samada positif atau negatif. Situasi yang berlaku di antara pasangan akan menjadi manis atau pun masam dan kritikal bergantung kepada pemikiran dna tindakan rasional dalam menghadapi setiap cabaran. Tempoh ini menjadi perhatian syaitan untuk merosakkan hubungan halal yang telah terbina.

Musim Ketiga: Musim Genting dan Mencabar
Ini akan berlaku apabila hadirnya cahaya mata dan cabaran dalam membesarkan mereka. Anak seharusnya tidak boleh dijadikan alasan yang menyebabkan cinta antara pasangan menjadi pudar. Cinta kukuh yang dibina pada musim pertama dan kedua perlu dikekalkan sehingga musim ini, apatah lagi adanya penambahan ahli keluarga yang baru. Musim ini memerlukan lebih banyak kekuatan fizikal, menta; dan spiritual dalam menghadapi dugaan yang mendatang.

Musim Keempat: Kemuncak Cinta
Musim terakhir ini adalah di penghujung usia perkahwinan. Setiap pasangan mula memahami dan menerima pasangan masing-masing apabila kedua-duanya melalui susah senang bersama. Cinta dari musim pertama berjaya dikekalkan sehingga musim ini apabila berteraskan cinta Ilahi. Ada juga yang tidak menemukan musim ini apabila kecundang di pertengahan jalan. Harapan agar cinta yang dibina bahagia hingga ke syurga.

Sebagai seseorang yang sedang melalui musim kedua, saya sangat mengharapkan agar saya dapat merasai musim ketiga dan musim keempat dengan perjalanan yang lancar dan memperolehi keredhaan Ilahi dan suami. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan apa yang saya lalui kini dan saya memohon agar Tuhan mempermudahkan urusan saya dan keluarga untuk membina keluarga sakinah, mawaddah dan rahmah.

Untuk bergelar pengantin, anda tidak memerlukan satu hari yang khusus di mana anda dihias dengan cantik, dihiburkan dengan pelbagai muzik dan diberi perhatian ramai, akan tetapi, jadilah pengantin untuk setiap masa yang berhias sepanjang masa untuk suami, yang ikhlas menghiburkan hati suami dan menjadikan suami sebagai perhatian utama ketika mengejar Cinta yang Maha Kekal bersama-sama.

Terima kasih Tuhan untuk Cinta-Mu yang menemukan daku dengan cinta dia...

No comments:

Post a Comment