Wednesday, 16 January 2013

Belajar Atau Dengar?

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Segala puji bagi Tuhan yang menjadikan ilmu dan mempunyai hak sepenuhnya ke atas ilmu. Dia paling berilmu, tiada yang lebih berilmu melainkan Dia. Dia Maha Tahu, tiada yang lebih tahu melainkan Dia. Selawat dan salam ke atas junjungan Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam dan seluruh ahli keluarganya. Allahumma solli 'ala Muhammad wa 'ala alihi wa sahbihi ajma'in.

Sesi soal jawab di antara seorang pelajar dan seorang panelis forum telah hangat dibicarakan di Malaysia. Ramai yang marah dengan tindakan pegawai tersebut dan memuji tindakan berani pelajar untuk bertanya dan memberikan pandangan. Lalu, timbul satu fenomena LISTEN, LISTEN, LISTEN.


Ada kalanya kita perlu mendengar pendapat orang lain terlebih dahulu sebelum memberikan pendapat. Dan untuk dihormati, kita mesti menghormati.

Kejadian tersebut sebenarnya mengajak kita untuk Muhasabah Diri kerana kadang kala kita tidak sedar kita juga pernah melakukan hal yang sama.

Jika anda pernah menjadi ibu, adakah anda membiarkan anak anda mendengar sahaja tanpa biarkan dia belajar?

Jika anda pernah menjadi guru, adakah anda mengajar pelajar anda untuk belajar dengan hanya mendengar kata-kata anda?

Jika ada pernah menjadi pelajar, adakah anda hanya belajar tanpa mendengar atau hanya menengar tanpa belajar?

Mendengar adalah salah satu proses pembelajaran, dan terdapat pelbagai medium untuk belajar secara efektif. Selain mendengar, pelajar digalakkan untuk meluahkan perasaan, membaca dan menulis supaya ada ruang untuk dia didengari dan dihargai.

Kuasa mendengar memang hebat. Nabi SAW mendengar perintah Malaikat Jibril untuk membaca ketika penurunan wahyu buat kali pertama. Para sahabat mendengar hadith Nabi SAW dan dikumpulkan, malah hadith yang paling tinggi darjat kesahihannya ialah apabila perawi mendengar secara langsung perkataan dari mulut baginda. Tabi'in dan generasi seterusnya mendengar dari golongan yang lebih banyak ilmunya. Dan kita juga mendengar untuk belajar dan terus belajar.

Bukan belajar untuk mendengar.

Ada kalanya Nabi SAW juga memberi hak kebebasan kepada para sahabat untuk memilih pandanganya, walaupun telah diturunkan wahyu bahawa setiap tutur katanya tidak berlandaskan nafsu semata-mata. Di dalam sebuah peristiwa, baginda SAW berkata: “Aku ini manusia. Apabila aku menyuruh kamu dari perkara agama, maka ambillah (patuhlah). Jika aku menyuruh kamu sesuatu dari pendapatku, maka aku hanyalah seorang manusia.” Riwayat Muslim.

Nabi SAW juga tidak pernah memaksa para sahabat untuk mendengar, malah mereka berebut-rebut untuk mendengar apa yang disampaikan oleh baginda. Nabi SAW juga pernah memberikan peringatan berguna, baginda bersabda: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam..." Riwayat : Bukhari – Kitab Etika (Hadith no.5559) Muslim – Kitab Iman (Hadith no. 67)Tirmizi – Kitab Suasana Hari Kiamat (Hadith no. 2424)Abu Daud – Kitab Etika (Hadith no. 4487)Ibnu Majah – Kitab Fitnah (Hadith no. 3961)Ahmad Ibnu Hambal – Kitab Juzuk 2.

Ayuh bercakap perkara baik, mendengar perkara baik, dan berbuat baik..

Wallahua'lam bissawab..

**Tertarik dengan Surat Terbuka kepada Sharifah Zohra Jabeen, semoga Allah membuka hatimu untuk mendengar kalimah Allah dan mengamalkan sunnah Rasulullah. Dia Maha Penerima Taubat.

No comments:

Post a Comment