Tuesday, 9 July 2013

Ramadan Pertama di Bumi UK

Dengan nama Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. 

Segala puji bagi Tuhan yang menemukan kita semua dengan kemuliaan Ramadan dan memberi peluang untuk kita mendekatkan diri kepadaNya tanpa gangguan syaitan. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad sallallahu'alaihiwasallam dan seluruh ahli keluarga dan sahabat baginda.

Alhamdulillah Ramadan bakal tiba tidak kurang dari 24 jam. Bersediakah kita? Bersediakah iman, hati dan seluruh anggota badan kita untuk menahan dari segala aspek dunia? Jawapan itu biarlah tersemat di dada, hanya Tuhan tahu jua apa adanya.


Ini adalah Ramadan pertama buat suami dan saya di bumi Eropah. Ia mengujakan terutama siang di sini lebih lama waktunya berbanding malam. Oleh itu, Muslimin akan berpuasa hampir 19 jam kerana fajar menjelma lebih kurang jam 3 pagi dan matahari terbenam lebih kurang 9.30 malam. Ya, agak lama berbanding di Malaysia tetapi saya yakin bahawa Allah tidak akan membebankan seseorang itu melainkan dia mampu menghadapi apa yang telah ditetapkanNya.

Tertarik dengan artikel "Ramadan in the West: Make it Super Productive", formula yang diberikan penulis ialah:

Intention + Du'a + Planning + Persistence = Productive Ramadan

Sesungguhnya niat adalah penting sebelum memasuki madrasah Ramadan, dan ia perlu disertakan dengan doa agar amalan yang dilakukan sepanjang Ramadan bukanlah sekadar sia-sia dan hanya mengharapkan Magfirah dan redhaNya. Perancangan perlu dilakukan sebelum, ketika dan juga selepas Ramadan. Usah biarkan perancangan itu hanyalah angan-angan semata-mata, tapi perlu diikuti dengan tindakan dan kegigihan.

Walaupun ada juga perasaan berdebar-debar yang tiba, saya menerima kedatangan dengan hati yang riang ria. Cuaca panas adakalanya membimbangkan hati, tapi saya yakin Neraka Allah lebih panas lagi. 

Ramadan adalah bulan istimewa,
Ada ganjaran untuk setiap kebaikan

Ramadan bukan sekadar lapar dan dahaga
Ia medan perjuangan
Menahan nafsu dan mendidik sabar

Ramadan yang tiba
jangan disiakan setiap detik berharga
bersujud meraih keampunan
menadah redha dan keberkatan
agar setiap amalan diterima
bukan dilakukan kerana pujian manusia
tetapi antara hamba dan Tuhannya.

Kehadapan semua ahli keluarga dan sahabat handai tidak kira di mana juga, Ramadan Kareem, kullu 'am wa antum ila Allah aqrab. Mohon maaf di atas segala kesilapan dan kekhilafan diri ini. Semoga Allah menerima amalan kita semua.

Wallahua'lam

Saadah Khair
11.50pagi
Akhir Sya'ban 1434H

No comments:

Post a Comment