Ada kawan yang mengenalkan Totto-chan kepada saya.. Katanya, tidak akan menyesal jika membaca kisahnya dan mengenalinya dengan lebih mendalam. Lama setelah itu, saya bertemu Totto-chan tanpa dirancang kerana selama ini saya hanya lihat sekilas pandang di alam maya sahaja. Akhirnya, Totto-chan menjadi milik saya.
Totto-chan, seorang gadis kecil yang dicatatkan kisahnya melalui pengalaman peribadi penulis. Buku ini diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa dan edisi yang saya baca adalah berbahasa Indonesia. Syukur saya sudah biasa dengan kalimah yang digunakan, walaupun ada juga yang tidak difahami secara harfiyyah, tetapi masih boleh difahami melalui jalan ceritanya yang menarik.
Persepsi awal melihat Totto-Chan di kulit buku itu membuat saya fikir dia adalah gadis biasa yang asyik termenung di kaca jendela. Ternyata, Totto-chan adalah gadis luar biasa yang penuh dengan imaginasi dan daya pemikiran yang hebat. Walaupun dia dikeluarkan dari sekolah pertamanya, peluang belajar yang lebih baik menanti di sekolah yang baru dan dunia pembelajaran di Tomoe Gakuen benar-benar luar biasa.
Beberapa watak yang diketengahkan bersama Totto-chan ialah insan-insan penting yang membentuk hidupnya samada secara langsung ataupun tidak langsung. Pertama, mama Totto-chan bukan sekadar ibu, tetapi dia adalah teman dan pendengar yang sangat baik kepada anaknya. Beliau memberi kebebasan yang penuh kepada Totto-chan untuk mengeksplorasi kehidupan yang nyata. Sentiasa meletakkan kepercayaan kepada anaknya walaupun beliau sedar bahawa ada beberapa perkara yang belum mampu dilakukan oleh anak kecil ini. Hubungan positif kedua orang tuanya memberi kesan yang positif terhadap pembesaran Totto-chan.
Kedua, kepala sekolah iaitu Pak Susaku Kobayashi. Pertemuan pertamanya dengan Totto-chan memberi kesan yang sangat besar terhadap penerimaannya yang positif di sekolah baru. Beliau sangat positif, kreatif dan inovatif dalam mendidik anak-anak sebijak Totto-chan. Jarang benar untuk bertemu dengan individu yang berjawatan tinggi untuk turut serta dengan aktiviti kanak-kanak, malah beliau menerima sesiapa sahaja untuk menjadi murid sekolahnya walaupun mempunyai kecacatan fizikal. Proses pembelajaran di Tomoe Gakuen sangat santai dan pelajar diberi kebebasan untuk berfikir sendiri dan menilai sesuatu kejadian dengan hati yang terbuka. Kasih-sayang diberi sama rata dan setiap keisitimewaan anak-anak yang berbeza dihargai oleh semua. Pembelajaran juga tidak dilakukan di dalam kelas semata-mata, aktiviti di luar kelas juga banyak membantu meningkatkan daya fikir anak-anak. Mereka dibenarkan tidur di sekolah, diajar bercucuk tanam, memelihara binatang peliharaan, membuat lawatan, mengadakan sukan sekolah, menguji keberanian, belajar berenang dan sebagainya. Dunia persekolahan adalah sesuatu yang sangat dinantikan setelah mereka bangun dari tidur. Di samping itu, kepala sekolah juga memberi galakan agar makanan yang diambil perlulah seimbang. Oleh itu, beliau menyarankan agar bekal yang dibawa perlu mengandungi sesuatu dari pergunungan (sayuran atau daging) dan sesuatu dari laut (makanan laut yang mengandungi protein) untuk kesihatan anak-anak.
Punya mata tapi tak melihat keindahan. Punya telinga tapi tak mendengar musik. Punya pikiran tapi tak memahami kebenaran, punya hati tapi tak pernah tergerak, itu hal yang harus ditakuti.
(Sosaku Kobayashi)
Ketiga, Yasuaki-chan adalah teman baiknya yang mempunyai penyakit polio. Pada awalnya, Totto-chan pelik melihat perbezaan fizikal temannya itu tetapi persahabatan mereka terjalin dengan baik tanpa ada sengketa. Totto-chan menganggap Yasuaki-chan seperti kanak-kanak biasa. Dia cuba sedaya upaya untuk memberi peluang kepada Yasuaki-chan untuk memanjat pokok kesayangannya dan menikmati pemandangan di atas pokok. Malah Yasuaki-Chan juga memberi respon yang positif terhadap sikap baik sahabatnya itu. Namun begitu, pemergian Yasuaki-Chan memberi tamparan hebat di dalam kehidupan Totto-Chan. Dia diajar untuk redha dengan kematian sahabat baiknya itu.
Keempat, Rocky adalah anjing bijak yang menjadi teman baik Totto-chan di rumah. Mereka banyak menjalankan aktiviti bersama-sama. Malah mereka banyak menyimpan rahsia dan tidak pernah berkelahi. Biarpun ia hanyalah hubungan di antara manusia dan haiwan, mereka berdua mempunyai ikatan luar biasa dan saling memahami antara satu sama lain. Pempergian Rocky selepas kematian Yasuaki-chan memberi tamparan kedua terbesar dalam hidup Totto-chan. Dan ini memberi makna yang mendalam buat Totto-chan untuk memahami erti kehilangan.
Bahagian akhir buku ini membuka segala rahsia penulis tentang perjalanan hidupnya. Ini adalah kisah benar yang dibukukan agar menjadi rujukan dan panduan di dalam dunia pendidikan di Jepun. Totto-chan yang bercita-cita untuk menjadi guru di Tomoe tidak berhasil, tapi dia menemukan jalan lain untuk memperkenalkan sekolah hebatnya di mata dunia. Setiap pelajar yang bersekolah di Tomoe telah menghasilkan individu yang hebat di Jepun. Ia adalah bukti bahawa sistem pendidikan yang diterapkan di sekolah tersebut memberi kesan yang mendalam di dalam peribadi mereka.
Pendidikan yang baik itu sememangnya bermula dari rumah dan nilai yang baik perlu dipupuk sejak kecil lagi. Perjalanan hidup yang hebat tetap akan bermula dengan langkah yang pertama..
salam....saya amat tertarik dgn coretan ini.selama ini saya tercari2 buku cerita ini.saya pernah membacanya di zaman sek dulu.puas saya mencari buku cerita ini.Bolh saya tahu di mana bolh saya dptkn buku ini..saya dh mencari banyak kedai buku...tapi habis stok.kalu ada pun yg berbahasa jepun...
ReplyDeleteWsalam..kebetulan saya ke uia, ada beberapa pelajar indonesia menjual buku2 dari penerbit indonesia.alangkah bertuahnya apabila ternampak buku ini.walaupun agak mahal sedikit kerana 'hard cover', tapi saya puas biarpun ada beberapa istilah bahasa Indonesia yang tidak difahami. Maaf, saya tak tahu di mana boleh dapatkan buku ini. Saya cuma boleh beri cadangan untuk encik minta kawan2 dari indonesia untuk membelikannya dari sana.
ReplyDelete