Sunday 17 November 2013

'Ibrah Dari Batu-Bata


Berpeluang ke Bath tempoh hari dapat menyaksikan lagi tinggalan sejarah di Tanah Inggeris. Menyebut nama 'Bath', ia tidak bermaksud mandi tetapi sebuah nama daerah di England yang terletak lebih kurang 82 batu daripada Birmingham. Bath telah diisytiharkan oleh UNESCO sebagai warisan dunia pada tahun 1987, dan nama Bath diambil bersempena dengan kedudukannya yang terletak di kawasan sumber air panas. Kebanyakan reka bentuk bangunan di Bath banyak dipengaruhi seni bina Rom. Di antara yang masyhur ialah The Roman Bath, The Circus dan The Royal Crescent.




Tidak jauh daripada Bath (perjalanan satu jam), kami singgah ke Stonehenge di mana terletaknya batu-bata gergasi di padang yang lapang. Lokasi ini sangat popular apabila gambarnya dijadikan 'background' di komputer atau ditampal di dinding. Ramai pelancong yang mengunjungi Bath pasti akan ke Stonehenge yang terletak di Wiltshire, England.




Sepanjang berada di Stonehenge, saya terfikir apa tujuan sebenar saya melihat batu-bata ini. Wang masuk yang dibayar sebanyak £8 (£7.50 untuk pelajar) rasanya agak rugi jika sekadar 'tawaf' di sekeliling batu-bata ini tanpa memikirkan pengajaran yang boleh diperolehi daripada lokasi ini.

Ya, benar bahawa ia adalah sejarah yang dijaga oleh British agar dapat dilihat oleh generasi akan datang kerana dipercayai bahawa ia telah dibina pada tahun di antara 2000-2500 sebelum Masihi. Malah terdapat pertikaian mengenai usia sebenar batu gergasi ini. Tujuan ia dibina juga terdapat beberapa pendapat yang berbeza. Boleh baca selanjutnya di SINI.

Sepanjang perjalanan mengelilingi Stonehenge, saya teringat dua batu penting yang telah tercatat di dalam sejarah Islam.

Batu pertama ialah Hajar Aswad. Ia adalah batu hitam kecil yang telah menyebabkan Nabi Muhammad SAW dikenali sebagai al-Amin dan kerananya, baginda telah menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat Arab buat kali pertama sebelum baginda diangkat menjadi Rasul. 

Hajar aswad dipercayai berasal daripada syurga berdasarkan hadith berikut: Dari Ibnu Abbas katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Hajarulaswad diturunkan dari syurga dan berwarna lebih putih dari susu. Dosa-dosa manusia (anak adam) menyebabkannya menjadi hitam". [Riwayat Ahmad dan Tirmizi, disahihkan oleh al-Albani]

Hajar aswad terletak di salah satu penjuru ka'bah dan menjadi tempat bermula dan berakhirnya tawaf. Sehinggi kini, batu ini menjadi tumpuan bagi mereka yang ke Mekah untuk mengucupnya kerana Nabi SAW telah berbuat demikian sebagaimana telah dilakukan oleh para Nabi sebelumnya. Namun begitu, mengucup batu ini bukanlah satu amalan wajib kerana hasrat mengucupnya banyak menimbulkan kesan yang tidak baik. Oleh kerana itu, Saidina Umar al-Khattab telah berkata: "Saya tahu anda adalah sebuah batu yang tidak mendatangkan bahaya dan faedah. Jika tidak aku melihat Rasulullah SAW mengucupmu, aku tidak akan mengucupmu"

Batu kedua ialah batu yang telah dipijak Rasulullah SAW ketika peristiwa Isra' Mi'raj. Berdasarkan al-Quran, ayat 1 Surah al-Isra', Rasulullah SAW telah dibawa dari Masjid al-haram ke Masjid al-Aqsa, dan menurut sirah, kaki baginda telah mendarat di atas batu tersebut. Disebabkan kekuasaan Allah, batu tersebut telah terapung kerana memuliakan Rasulullah SAW.

Kini, batu tersebut terletak di Masjid al-Aqsa dan dijaga rapi. Sila rujuk SINI untuk maklumat lanjut.

Setiap batu ada kisah yang tersendiri. Tidak adil sekiranya membandingkan ciptaan Tuhan dan ciptaan manusia. Saya pasti batu-batu di Stonehenge itu disusun mengikut idea manusia tetapi hakikat sebuah batu itu adalah tetap ciptaan Yang Esa.

Batu, rumput, awan, gunung, laut dan semua makhluk di muka bumi ini adalah nikmat yang Allah berikan kepada manusia. CiptaanNya tiada bandingan dan pujian hanyalah perlu kembali kepadaNya. Dan setiap pengembaraan itu adalah sumber untuk memikirkan ciptaan Tuhan dan mengambil pengajaran dari setiap apa yang telah berlaku suatu ketika dahulu.

Allah SWT telah berfirman: "Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat kesan-kesan yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada." (Al-Hajj 22:46)

Selamat meneruskan pengembaraan!

2 comments:

  1. jika kita kagum dengan ciptaan manusia...kita akan lebih kagum jika kita mengenali pencipta manusia itu sebenarnya

    ReplyDelete