Monday, 16 December 2013

Tarbiyyah Membuang Sampah

Alhamdulillah.

Urusan pindah rumah tempoh hari berjalan dengan sempurna. Rumah yang kami diami sekarang sangat berhampiran dengan kawasan universiti dan tidak perlu lagi menunggu tren dan berjalan jauh seperti dahulu.

Semestinya uurusan pindah rumah perlu menitik-beratkan aspek kebersihan. Rumah yang ditinggalkan perlu bersih dan rumah yang akan didiami juga perlu bersih. Kebersihan mencerminkan keimanan dan ia perlu dilatih dan dididik, terus menjadi satu tabiat baik yang berterusan.

Saya benar-benar kagum bagaimana orang Inggeris dididik untuk menjadi pembersih. Tempat pembuangan sampah langsung tidak berbau jika dibandingkan dengan negara kita. Disebabkan bulan pindah rumah inilah saya berpeluang pergi sendiri ke pusat kitar semula yang disusun rapi mengikut kategori tertentu.

Pintu masuk dikawal ketat. Setiap kereta akan ditahan di pintu masuk oleh pengawal keselamatan dan mereka akan memberi maklumat tentang tong yang sesuai untuk diletakkan barang-barang buangan yang dibawa. Poskod rumah juga akan ditanya kerana kawasan yang kami kunjungi dikhaskan untuk penduduk Birmingham sahaja.

ruangan kotak dan sampah umum
ruangan kayu dan papan terpakai

Pengunjung perlu meletakkan barang terpakai di tong yang tepat, dan barang-barang terpakai tidak dihadkan hanya kepada kotak atau pakaian, malah alat elektronik termasuk TV dan lain-lain juga boleh diletakkan di dalam tong-tong yang disediakan. Ada pengawal yang akan menegur jika meletakkan bahan buangan di tong yang tidak sesuai. Boleh rujuk laman web INI untuk maklumat lanjut.

Dengan didikan sebegini, mereka akan rasa bersalah jika buang di tong yang salah. Akan lebih bersalah jika hanya membuang di depan rumah tanpa mengkelaskan barang-barang buangan. 

Boleh ke jika ia dipraktiskan di Malaysia? atau negara-negara Islam yang lain?

Saya berpendapat perkara seperti membuang sampah juga berkait rapat dengan tahap keimanan seseorang. Biarpun saya juga kadangkala pernah membuang sampah merata-rata, pemerhatian saya terhadap bagaimana Barat dididik untuk membuang sampah cukup buat saya 'terpukul' dengan gelaran saya sebagai seorang Muslim.

Selamat membuang sampah dengan betul, dan elakkan diri daripada menjadi sampah masyarakat.

No comments:

Post a Comment