Bismillahirrahmanirrahim
Ketakutan saya untuk kembara seorang diri bersama bayi berlalu juga. Saya lakukannya dengan baik, dan Alhamdulillah Afnan adalah seorang anak yang baik. Ini kali pertama saya mengembara tanpa suami di sisi sambil membawa bayi berusia 9 bulan terbang ke Tanah Ratu, London & Birmingham, United Kingdom.
Keputusan ini adalah keputusan bersama suami. Setelah mendapat tarikh viva, saya rungsing adakah saya perlu tinggalkan kedua-dua anak saya dengan suami? Atau minta bantuan saudara mara? Atau bawa satu keluarga bersama ke sana? Ketiga-tiga ini bukanlah pilihan yang baik memandangkan saya tiada bajet yang cukup dan keluarga tinggal jauh di selatan dan utara. Lalu, Afnan yang hanya perlu membayar tiket penerbangan suku harga itu adalah pilihan terbaik untuk membawa dia menemankan saya. Dia juga menyusu badan sepenuhnya, malah saya mungkin lebih tidak kuat jika meninggalkan anak-anak diuruskan suami seorang diri.
Tips #1: Mengambil penerbangan tanpa transit
Menmpunyai pengalaman transit dua jam di Dubai adalah sesuatu yang memenatkan kerana terpaksa berkejar-kejar. Saya rela untuk duduk diam selama hampir 14 jam di dalam kapal terbang berbanding mengendong anak sambil membawa bag yang lebih menggunakan tenaga yang banyak. Alhamdulillah pramugari/a yang bertugas sangat membantu sepanjang perjalanan pergi dan pulang. Kami menggunakan bahasa Malaysia sepenuhnya, dan syabas buat Malaysia Airline kerana menyediakan servis yang terbaik sepanjang perjalanan kami daripada Kuala Lumpur ke Heathrow, London.
Tips #2: Menggunakan carrier berbanding stroller
Ergobaby adalah pilihan carrier saya yang telah digunakan sejak Afeef kecil lagi. Ianya mudah dipakai dan ditanggalkan sendiri. Saya juga bebas bergerak dan Afnan juga lebih selesa apabila berada dekat dengan badan ibunya terutama ketika angin sejuk menerpa. Saya tidak sanggup membuka dan menutup stroller dan terpaksa mengangkatnya jika perlu kerana ia akan menggunakan tenaga dengan banyak dan dua tangan saya tidak cukup untuk memegang stroller, bayi dan bag. Saya juga boleh ke menguruskan hal di bilik air apabila menggunakan carrier, tapi saya tidak risau menggunakan bilik air di UK kerana kemudahan yang disediakan sangat terbaik dan mengambil kira ibu/bapa yang mengembara seorang diri dengan bayi. Menyusukan bayi juga akan menjadi lebih mudah apabila menggunakan carrier.
Tips #3: Meminimumkan bag
Saya membawa 1 bag besar yang mudah ditolak dan akan di check in, lalu saya tidak perlu bawa ia ke sana ke mari ketika menunggu waktu penerbangan. Ada 1 bag tangan yang dipenuhi baju bayi dan baju saya serta kepeerluan asas (lampin pakai buang, tisu, tisu basah, air, makanan dll). Alhamdulillah ramai yang membantu untuk mengangkat bag daripada tempat menunggu bag, dalam bas dan lain-lain. Malah saya sangat berpuas hati dengan kedua-dua bag yang saya gunakan sepanjang perjalanan ini.
Tips #4: Menyusukan bayi ketika take off dan landed
Alhamdulillah Afnan masih menyusu badan, lalu saya tidak perlu bersusah payah membancuh susu dan membawa botol ketika dalam penerbangan. Menyusukan bayi pada kedua-dua masa take off dan landed sangat penting kerana telinga bayi akan berdengung, dan susu yang dia minum akan mengurangkan dengungan tersebut. Sekiranya dia dapat tidur pada dua waktu tersebut, ianya lebih baik.
Tips #5: Bawa dan sediakan makanan bayi
Kapal terbang tidak menyediakan makanan untuk bayi. Afnan sudah mula tumbuh gigi dan dia suka menggigit sesuatu, jadi saya bekalkan dia biskut yang mudah dipegang dan boleh dihadam dengan baik.
Saya juga sediakan makanan bayi yang berbentuk cecair, tetapi perlu meletakkannya dalam bag zip apabila melalui kawasan pemeriksaan bag tangan. Lepas dan tiada masalah untuk saya pastikan Afnan kenyang dengan makanan tambahan ini.
Tips #6: Tempah bassinet awal
Dengan menggunakan MAS, penumpang hanya perlu menghubungi di talian 1-300-88- 3000. untuk menempah bassinet bayi. Ini sebenarnya kali pertama saya dapat menggunakan bassinet, Alhamdulillah sangat mudah dan jakun juga apabila peramugara memasangnya. Walaupun saya juga tidak tidur lena, tetapi badan saya boleh rehat daripada mendukung Afnan setiap masa. Dan dia juga lena dibuai mimpi di dalamnya, cuma apabila dia berjaga, dia tidak mahu duduk di atas bassinet tersebut. Yang penting saya juga dapat rehat (makan dan menonton movie!) apabila Afnan tidur nyenyak dalam bassinet ini.
Tips #7: Bawa mainan yang pelbagai
Mainan sangat membantu Afnan diam apabila menyalinkan dia lampin dan membiarkan dia leka dengan sesuatu. Tidak dinafikan bayi cepat bosan, disebabkan itu saya perlu membawa mainan yang pelbagai. Ada yang berbunyi, ada yang boleh digigit dan benda2 disekeliling kita juga boleh dijadikan mainan buat dia. Contohnya: cawan dan sudu kapal terbang, buku atau apa sahaja yang boleh menarik perhatian dia. Sekiranya mainan tidak berjalan, boleh juga beri dia menontoh kartun atau video, tetapi bayi tidak mampu beri perhatian sepenuhnya, lalu saya biarkannya bebas sebab umur Afnan sebegini, dia mahu bergerak, merangkak dan memapah untuk berjalan. Saya biarkan sahaja kerana jika kotor, kita boleh basuh sahaja, itu lebih baik dibandingkan dengan teriak tangis dia yang menganggu orang lain jika terlalu mengawal pergerakannya.
Tips #8: Minta bantuan atau abaikan orang sebelah
Dalam perjalanan ke London, kapal terbang penuh tanpa tempat duduk yang kosong. Saya duduk di tengah-tengah, dan kedua-dua orang sebelah saya ialah lelaki. Pada awalnya saya risau juga jika terselak baju atau menganggu mereka, tetapi Alhamdulillah tiada masalah kerana saya anggap mereka tiada dan ada masanya mereka membantu tanpa diminta. Contohnya, sekiranya ada tray makanan, ruang duduk saya menjadi sempit jika perlu memegang Afnan, lalu orang sebelah akan mengambil tray saya yang kosong dan letak di atas mejanya. Dia juga akan menjagakan Afnan ketika dia tidur apabila saya pergi ke bilik air. Tetapi pada kebanyakan waktu, kami menghormati masa dan urusan masing2 dan tidak berkomunikasi. Pada perjalanan pulang ke KL pula, banyak tempat kosong dan kedua-dua tempat duduk sebelah saya kosong! Saya sangat lega dan saya mudah mendudukkan Afnan di sebelah saya sekiranya perlu terutama ketika makan.
Tips #9: Tenang dan santai
Aturkan perjalanan dengan santai supaya ada masa untuk berehat seketika. Tiba di Heathrow, saya sempat solat di multi-faith room yang disediakn di lapangan terbang dan rehat serta sarapan pagi sebelum menaiki bas ke Birmingham. Sebelum pulang ke KL juga saya ambil masa untuk berehat di lapangan terbang sebelum check in, agar saya tenang dan bayi juga dapat rehat dengan secukupnya sebelum meneruskan perjalanan yang panjang. Sempat saya bawa Afnan bermainan di play area yang disediakan di airport dan biarkannya penat supaya dia boleh tidur nyenyak di dalalm kapal terbang.
Tips #10: Hargai kemampuan diri sendiri
Ini adalah pengajaran paling utama yang saya terokai setelah melalui perjalanan ini seorang diri. Selama ini saya bergantung kepada suami untuk membawa bag dan memegangkan bayi, tanpa menyedari saya juga tidak perlu bergantung kepadanya jika dia tiada. Saya mampu lakukannya dengan baik, dengan sokongan moral keluarga dan rakan-rakan. Ada seorang sahabat menasihati: "Mohonlah kepada Allah dan nyatakan kelemahan diri, maka Allah akan turunkan bantuan dengan tidak disangka." Perjalanan ini selamat dan lancar hanyalah dengan bantuan Allah semata-mata, dan bantuan doa yang membawa kami berdua pergi dan pulang dengan selamat. Dan Alhamdulillah orang yang musafir itu maqbul doanya.
Sekian perkongsian kali ini, harap ia membantu bagi sesiapa yang memerlukannya. Tips ini adalah berdasarkan pengalaman peribadi baru-baru ini, dan saya juga banyakkan membaca bahan-bahan berkaitan ini sebelum memulakan kembara seorang diri bersama bayi.
Semoga ia bermanfaat!
Semoga ia bermanfaat!
Alhamdulillah....maha hebat Allah yg menurunkan ilmu kpd manusia...utk lebih men ta'zimNya.... syukur..alhamdulillah
ReplyDelete