Segala puji bagi DIA yang menghadirkan segala nikmat. Ramadan sudah berlalu pergi, Syawal juga sudah genap 10 hari. Saya kini kembali ke kampus, melayari kehidupan sebagai pelajar juga masih belajar menjadi pengajar. Syawal kali ini saya banyak belajar sesuatu yang baru, jikalau ianya bukan baru, tapi saya hargai segala pelajaran di luar dewan kuliyah ini.
Ini Syawal pertama tanpa Datuk di Singapura. Kebiasaan bermalam raya bersama beliau bermain-main di fikiran saya ketika menjelangnya takbir Syawal. Ini juga Syawal pertama di mana hanya Ayah, Emak, adik dan saya di rumah Taman Gembira. Jujur saya katakan sangat sunyi tanpa suara riuh anak saudara. Ini juga Syawal pertama yang saya rasakan saya rupanya sudah berumur suku abad. 25 tahun patutnya sudah matang tapi saya masih kebudak-budakan. Oh ya, ini juga Syawal pertama yang mengubah dekorasi rumah TG yang umurnya sebaya saya.
Tetamu Syawal pertama kali ini ialah tiga orang bukan berbangsa Melayu tapi tetamu setia Surau TG. Sedikit sebanyak menceriakan rumah kami. Kemudian hadir juga Abang Edi yang sudah seperti keluarga kami sendiri. Perjalanan pertama Syawal adalah ke kampung sebelah ayah di sekitar Batu Pahat Johor. Ini tradisi silaturrahim yang bertahun-tahun diajar ayah agar menziarahi sanak saudara yang lebih tua. Sepanjang perjalanan ke kampung yang bermula di Parit Abas dan berakhir di Air Tawar 3, saya banyak belajar keindahan dan kelembutan bahasa Jawa. Rugi. Saya yang merasa rugi kerana selalu melepaskan peluang belajar bahasa istimewa ini. Harapan agar niat mempelajari bahasa Jawa tidak akan pudar. Pelajaran yang ayah ajar untuk ziarah saudara akan saya ajar untuk generasi saya kelak InsyaAllah.
Orang tua saya sudah memulakan puasa enam Syawal pada hari kedua. Ini juga tradisi Sunnah yang sudah lama diamalkan mereka. Saya masih belum mampu berbuat sedemikian. Ini adalah pelajaran mengawal nafsu pada 'bulan makanan' dan Istiqamah dengan amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan.
Tradisi lain di Syawal ini juga diubah sedikit, ketika mana orang tua saya mahu berjalan jauh. Mungkin mahu tukar cuaca dan ubah rasa. Rancangan pertama ke Terengganu dibatalkan kerana hal tertentu, tapi perjalanan diteruskan ke Tenggaroh, Tanjung Leman dan Kuantan. Niat ke Pulau Sibu dan Air Papan diubah untuk bulan yang seterusnya, InsyaAllah. Pelajaran di Kuantan benar-benar menyayat hati saya. Ini kali pertama saya berjumpa dengan Tok Wan, datuk saudara jauh sebelah emak yang umurnya setahun lebih muda daripada ayah. Makcik saya yang turut serta dengan perjalanan kami menitiskan air mata saat pertama kali berjumpa beliau di Kuantan setelah lebih 4o tahun tidak bersua muka. Cerita lama yang dibongkar membuat saya terdiam dan berfikir banyak. Dan ini adalah Syawal pertama, saya dan adik membantu basuh pinggan mangkuk di sebuah kedai makan milik Tok Wan secara ikhlas tanpa gaji tapi puas hati mendapatkan pengalaman yang takkan dilupakan sepanjang hidup.
Silibus pelajaran Syawal ditambah lagi apabila ramai tetamu hadir pada Syawal kali ini. Saya tidak menang tangan kerana berseorangan membantu emak di dapur. Tambah tidak sampai hati jika hanya emak seorang di rumah menyiapkan semuanya. Rombongan Abang Saadon sekeluarga bertembung dengan rombongan Mak Usu sekeluarga. Pertama kali saya saksikan rumah 77 ini dipenuh terlalu ramai sanak saudara. Biarpun penat, saya puas hati. Fakta penting yang saya harus terima, semakin tua orang tua saya, semakin ramai tetamu di rumah TG ini.
Syawal ini juga menambah satu tanggungjawab besar untuk saya. Kehadiran JJU 2545 memberi pelajaran baru buat saya. Nasihat ayah dan emak yang berulang kali akan saya cuba lekatkan di minda. Saya lebih hargai nasihat2 itu berbanding "ikan kelisa" itu. Tanpa mereka, tiadalah hadirnya tanggungjawab baru ini.
Oh ya, ada satu lagi pelajaran baru di Syawal 1431H ini. Saya menemani rakan baik sahabat sejati saya ke Pejabat Agama Johor untuk mengambil borang permohonan nikah. Ops! bukan untuk saya, tapi hanya menemani sahabat yang bakal melangsungkan walimah akhir tahun ini. Sejujurnya saya yang berdebar-debar. Haha. Moga urusan sahabat saya ini dipermudahkan kerana pasangan hidup bukan hanya untuk sehari tapi berkekalan walau selepas mati. Moga ada yang sudi untuk hidup tua bersama saya dan menerima segala kelemahan diri. Yang penting, moga hati saya bersedia menerima apa adanya.
Kalau diikutkan hati, masih banyak pelajaran yang dipelajari, tapi yang dicatat ini adalah yang utama sebagai peringatan buat saya dan generasi saya. Kesederhaan Syawal kali ini cukup membuat saya bahagia. Moga segala amalan kita semua diterima dan saling memaafkan di antara satu sama lain walaupun bukan di bulan Syawal.
Salam Syawal Minal 'Aidin wal Faizin
Saadah Khair
10 Syawal 1431H/19 September 2010
Mahallah Sumayyah, UIAM Gombak
**Istilah belajar itu tidak akan pernah habis. "Learning Never Ending"
No comments:
Post a Comment