Bismillahirrahmanirrahim
30 Ramadan. Ya, hari ini akan genaplah 30 hari kita berpuasa. Hati saya lebih sedih meninggalkan Ramadan berbanding gembira menyambut lebaran. Ada di benak yang tidak terungkap. Ada di fikiran yang tidak terluah. Hanya tulisan bisa ku titipkan peringatan untuk diri sendiri..
Sepanjang Ramadan ini, saya melalui dan mempelajari banyak perkara. Jujur saya katakan, saya sangat menghargai setiap detik di Ramadan kali ini.
Ibadah. Inilah yang paling utama. Walaupun syaitan dirantai, tapi Ramadan benar2 mengajar untuk melawan hawa nafsu gila. Tidak susah untuk beribadah. Ibadah itu bukan hanya solat atau duduk di masjid 24 jam sehari. Setiap amalan yang diniatkan kerana Allah dikira sebagai Ibadah. Bukankah Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Semoga setiapa amal ibadah kita diterima Allah.
Keikhlasan. Usah mencarinya di merata tempat. Ia sebenarnya wujud di dalam setiap individu itu. Ikhlas dalam beramal. Ikhlas dalam bekerja. Ikhlas di dalam setiap perbuatan. Ramadan ini mengajar saya supaya tidak mempersoalkan kelemahan saya yang terlalu banyak, tapi saya harus belajar menerima kelemahan tersebut dan bersyukur di atas setiap sesuatu. Betulkan niat, betulkan niat, dan betulkan niat. Biarlah ikhlas hanya kerana DIA bukan dia...
Tanggungjawab. Perkataan ini lah yang paling menakutkan tapi terpaksa dilalui oleh semua orang. Ramadan kali ini menyaksikan saya menerima tiga tanggungjawab lama dan baru. Terasa kerdil kerana merasakan apabila banyaknya kekurangan diri apabila dipertanggungjawabkan, tapi bila mengingat satu potongan ayat al-Quran ini, saya tidak bisa mempersoalkan apa-apa lagi. Allah bersabda: "La yukallifullahu nafsan illa wus'aha" Dimana maksudnya Allah takkan membebani seseorang itu di luar kemampuannya.. Terpana. Allah sebenarnya lebih tahu kemampuan kita berbanding diri kita sendiri.
Bakti. Ia harus ditabur dan disemai agar hasilnya indah. Ramadan ini memberi saya peluang yang sangat banyak untuk menabur bakti pada orang tua. Sudut hati saya selalu sayu melihat wajah ayah dan emak. Terlalu banyak jasa mereka yang tak mampu dibalas. Saya hampir menangis ketika mengajar satu topik kepada anak murid tentang Ayat2 Quran yang menyatakan tentang perintah hormati Ibu Bapa, tapi air mata itu hanya terbuku di dada. Andai terjurai, itu tidak mencacatkan kredibiliti saya sebagai pensyarah, tapi saya mahu melatih diri agar kuat secara emosi. Nasihat yang saya berikan buat mereka terlebih dahulu ditujukan buat saya. Moga Allah berkati orang tuaku yang telah membesarkanku dari kecil hinggalah dewasa kini.
Muamalat. Sayangi Yang di atas, dan orang di bawah akan menyayangi kita. Tidak cukup hanya menjaga pergaulan kita dengan Allah sehingga mengabaikan hubungan sesama manusia. Terlalu banyak hati yang perlu dijaga. Sebelum terlalu menjaga hati orang lain, jagalah hati diri sendiri terlebih dahulu. Malah harus faham bahawa setiap manusia itu tidak sempurna, malah ada kekurangan dan kelebihannya. Carilah keberkatan di setiap muamalat, Allah itu Maha Tahu.
Maaf. Adakah begitu sukar memohon maaf atau memaafkan itu lebih sukar? Jadikan penutup Ramadan ini untuk saling memaafkan di antara satu sama lain. Bukankah Allah itu Maha Pemaaf. Ikhlas dari hati, mohon maaf zahir batin atas segalanya..
No comments:
Post a Comment