Saturday, 7 May 2011

PRO Trainer?

Bismillahirrahmanirrahim

Jemput baca, kerana catatan ini adalah jawapan kepada soalan (yang bukan seperti soalan) sebagai tajuk entri ini. Saya menghadiri sesi perkongsian SMILE (Seni Mengurus Insan Lebih Efektif) oleh Tuan Zamri Mohamad yang telah menyertai satu bengkel bertaraf antarabangsa 'Training and Presenting like a Pro" oleh Dr. Billy Kueek.

Jangkaan awal saya rupa-rupanya tersilap sedikit, tapi sesungguhnya saya bertuah kerana berpeluang menuntut ilmu daripada orang hebat bersama dengan orang-orang yang hebat. Dua jam berharga pada pagi Jumaat yang mulia itu adalah sesi perkongsian yang sangat bermanfaat, bukankah ilmu itu memang harus disampaikan dan bukan untuk disimpan..

Gambar di ambil dari SINI

Dan di sini, saya juga mahu berkongsi sedikit sebanyak yang diperolehi daripada sesi tersebut. 20 tips penting kepada mereka yang bukan sahaja bergelar pelatih (trainer), tapi sesuai juga kepada penceramah, pensyarah, guru, mahupun penyampai..

Tip 1: Presentasi bermula dari luar. Pihak penganjur memainkan peranan yang sangat besar untuk tip pertama ini untuk mewujudkan unsur 'suprise', kebebasan autonomi, layan kelas pertama, dan maklumat seminar kepada para peserta.

Tip 2: Penggandaan energi dan pemilihan peserta boleh dilakukan sebaik sahaja pintu masuk dibuka. Sapaan ringkas pertama yang disertai dengan salam dan senyum berperanan sebagai suntikan energi kepada peserta.

Tip 3: Penyediaan nota sebagai rakan presentasi. Nota yang baik dilihat dari kulitnya yang boleh disertakan dengan mesej 'Formula 3', pengenalan ringkas dan pemilikan total. Malah isinya harus ringkas dan menarik menggunakan daya kreativiti penyampai. Dr. Billy memilih tulisan berberntuk surat sebagai pembuka nota beliau.

Tip 4: Tegakkan mesej pada tempat yang boleh dilihat. Kebanyakan poster di dinding dewan memetik kata-kata Dr. Billy sendiri. Elakkan meletak poster di hadapan yang boleh menggangu konsentrasi peserta.

Tip 5: Pemilihan hos (MC) juga memainkan peranan yang penting. Digalakan agar menggunakan ayat-ayat aktif (ber.. ter.. di..) berbanding ayat-ayat pasif (me.. ke... pe..).

Tip 6: Berada di bahagian 'Tabiat' mengikut keselesaan peserta. Kebiasaannya, peserta lebih cenderung melihat ke kanan, jadi ikutlah rentak dan cara peserta.

Tip 7: Tayangkan video di mana ia menyiarkan peserta yang turut hadir sama ketika seminar dijalankan. Ia boleh memberi aura sihat kepada peserta.

Tip 8: Agihkan tugas yang mencetuskan kegembiraan peserta. Kegembiraan boleh dihasilkan dengan memperkenalkan para peserta dan juga pekerja yang telah banyak membantu, serta pujian ikhlas sebagai tanda penghargaan buat mereka.

Tip 9: Perkenalkanlah diri dengan cara berbeza. Sebagai contoh, gunakan simbol berupa gambar. Respon dari peserta adalah lesen untuk meneruskan cerita tentang diri dengan lebih jelas.

Tip 10: Sediakan hadiah kepada peserta sebagai penggalak agar mereka menglibatkan diri dalam memberi respon dan bersoal jawab. Ia tidak perlu dilakukan secara kerap, tapi biarlah peserta ternanti-nanti dengan kewujudan hadiah yang pelbagai.

Tip 11: Desain ayat yang boleh mencetuskan respon para peserta. Kebiasannya boleh dilakukan dengan bertanyakan soalan.

Tip 12: Waktu rehat adalah waktu terbaik untuk mempromosikan program-program susulan yang akan dianjurkan lagi oleh pihak penganjur.

Tip 13: Pecahkan bahan-bahan penting mengikut keutamaan. Sebagai contoh; must know, should know dan nice to know.

Tip 14: Strukturkan perjalanan program dengan lebih terperinci. Kebanyakan peserta berminat untuk mengetahui aturan masa perjalanan program, oleh itu nyatakan waktu dan topik dengan lebih jelas.

Tip 15: Tapis dan kawal peserta. Penyampai harus sedar bahawa peserta boleh memberi tumpuan yang baik hanya sekitar 14-35 minit sahaja. Selain itu, penyampai harus sedar bahawa tujuan penyertaan mereka adalah berbeza-beza, barangkali kerana sukarela atau mungkin juga kerana terpaksa!

Tip 16: Semak skrip yang digunakan terlebih dahulu. Elakkan menggunakan perkataan yang boleh membuat pserta ragu-ragu dengan kebolehan penyampai.

Tip 17: Semak juga lagu yang dimainkan ketika program berjalan. Skrip dan rentak lagu boleh memberi kesan samada positif dan negatif kepada peserta.

Tip 18: Gunakan flipchart dan akronim yang menarik. Sebagai contoh; BOS, ia bisa jadi 'Buat Orang Senang', 'Buat Orang Susah' atau 'Buat Orang Santau'.

Tip 19: Meraikan mentor, guru, atau pengajar adalah gaya orang Asia. Penyampai boleh berkongsi tentang keperibadian mentor, ilmu yang diperoleh dari mentor, dan pengalaman bersama mentor. Perkongsian ini adalah salah satu penghargaan peribadi setiap penyampai.

Tip 20: Meng'hollywood'kan kisah diri. Penyampai harus kreatif untuk berkongsi cerita dan pengalaman peribadi, samada kisah kejayaan atau kegagalan, harapan dan misi kehidupan kepada peserta.

Semoga tip-tip di atas boleh membantu kita semua untuk menjadi penyampai yang baik. Saya fikir bahawa tip-tip tersebut boleh dipilih mengikut kesesuaian penyampai di mana faktor peserta dan topik berperanan penting dalam menjayakan sesuatu program.

Selamat menjadi penyampai yang baik dan selamat menyampaikan kebaikan!

**Perkongsian peribadi Tuan Zamri juga boleh dibaca di Trainer 1, Trainer 2 dan Trainer 3.

No comments:

Post a Comment