Ahlan wa Marhaban..
Berakhirnya di sana, bermula lah episod baru di tempat baru dengan memikul amanah yang baru. Selamat memikul tanggungjawab di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Hari ini adalah hari kedua berteleku di pejabat baru. Saya masih dalam keadaan menyesuaikan diri. Terkapai-kapai dan banyak perkara yang saya harus belajar sendiri.
Di sini, saya harus praktis semula Bahasa Syurga. Saya harus mahir Bahasa al-Quran. Saya harus hadam bahasa yang Nabi tuturkan. Cabaran pertama saya ialah penggunaan bahasa. Saya ada kemahiran bahasa ini, tapi oleh kerana asbab yang tertentu, bahasa indah ini mula pudar sedikit demi sedikit. InsyaAllah, saya akan usaha keras.
Bandar Gombak dan KL terlalu sempurna buat saya. Cabaran kedua ialah penyesuaian diri di bandar Nilai ini. Saya masih tidak tahu beberapa lokasi penting untuk urusan-urusan penting. Alhamdulillah jarak rumah dan USIM agak dekat dan teman serumah juga di kalangan mereka yang baik-baik. Tapi bulan dan matahari di awan Gombak masih lekat di dalam hati.
Cabaran ketiga ialah kawan. Saya harus mencari kawan baru, dan saya mahu menjadi kawan yang baik kepada mereka. Hubungan saya dengan kawan-kawan dan kenalan lama harus diperkukuhkan. Jarak bukan penghalang. Sesungguhnya kawan yang baik itu adalah mereka yang menjadi cermin kepada kawannya yang lain.
Minggu ini saya masih belum mula mengajar. Ah! Saya rindukan pelajar-pelajar saya. Mereka tetap pelajar saya walau sudah bertukar tempat. Cabaran keempat di sini ialah penerimaan para pelajar terhadap saya yang serba kekurangan. Semoga kelas pertama saya bersama pelajar baru membentuk impresi hebat dan baik yang berterusan.
Akhir sekali, saya mahu berubah. Cabaran terhebat dan terakhir ini ialah perubahan ke arah yang lebih baik. Benarlah bahawa Tuhan tidak akan merubah sesiapa melainkan dirinya mahu berubah. Ada sikap buruk lama yang harus dibuang jauh. Ada kebiasaan lama yang perlu dikurangkan kebiasaannya. Ada perangai baik yang harus dikekalkan dan diperbaikkan.
Semoga Allah permudahkan urusan saya.
Semoga Allah jauhkan saya dari segala keburukan.
Semoga Allah memperkenankan doa-doa saya, hinanya diriku kerana sering meminta tapi alpa menurut perintah DIA!
**Sehebat mana pun ia, hati saya masih di Taman ilmu dan budi!
No comments:
Post a Comment