Tuesday, 27 September 2011

Rumah Awangan

Gelaran 'Rumah Awangan' diberikan sejak pertama kali mendiami rumah yang menghadap awan ini setiap hari. Rumah ini sangat istimewa. Rumah pertama yang disewa, pertama kali juga mempelajari erti kehidupan bersendiri bersama dua teman baru yang tidak pernah dikenali sebelum ini.

 Pandangan dari bilik

Pandangan di depan pintu rumah 

Lupa tarikh pertama menjejaki rumah ini, tapi seingat saya selepas perayaan Tahun Baru Cina tahun lepas, barangkali Disember (agak-agak sahaja). Informasi dari internet banyak membantu, perkenalan pertama dengan rumah ini terus jatuh cinta. Kecil, lengkap, bergaya juga selesa. Paling penting, harga yang mampu dibayar setiap bulan tambahan dengan kadar keselamatan dan kemudahan yang terjaga.

Pertama kali duduk berjauhan dengan Taman Ilmu dan Budi, tapi persekitaran di sini tidak jauh berbeza. Ramai bangsa asing yang sering berpusu-pusu ke Masjid apabila mendengar azan. Masih ada bahasa asing yang kedengaran ketika menaiki lif bersama. Malah, ada rakan sekelas saya berbangsa Arab juga duduk di bangunan yang sama!

Kenangan yang paling tidak boleh dilupakan ialah kemahiran memasak saya bertambah dua kali ganda baik. Maaf kerana puji diri sendiri di sini. Sikap M untuk memasak di rumah Johor berubah apabila dapur kecil Rumah Awangan sering menjadi medan menghabiskan masa. Asalnya, saya sangat cemburu dengan seorang rakan rumah yang sering masuk ke dapur setiap kali pulang dari bekerja. Kata-katanya yang saya tidak akan lupa ialah: "Praktis untuk kehidupan selepas berumahtangga". Entah kenapa, dapur itu juga sering memanggil saya untuk rajin sehingga ditegur oleh rakan serumah setelah duduk beberapa bulan, "bulan ni, Adah paling rajin masuk dapur". Alhamdulillah, saya sudah boleh mengaku yang 'Saya sudah pandai masak~!' (walaupun tidak sesedap mana)

Beberapa kali juga orang tua saya sudah menginap di Rumah Awangan ini, termasuklah kakak dan dua anak buah saya. Alhamdulillah mereka selesa, saya bahagia.

Kini, rumah itu tinggal memori. Setahun lebih benar-benar buat saya gembira, di samping dua rakan serumah yang baik belaka. Seorang sudah bergelar Puan dan bakal menjadi Ibu. Seorang lagi sudah berjawatan hebat dan akan pindah juga tidak lama lagi. Dan saya yang sudah menginap di rumah sewa baru akan sentiasa mengenang rumah yang penuh dengan kenangan ini..


Oktober 2011 adalah saat melambai Rumah Awangan..
Jutaan terima kasih kepada tuan rumah yang melengkapi rumah dengan penuh keselesaan. Terima kasih juga buat Shiera Hadzir dan Hidayan Sabran kerana menjadi rakan serumah yang sangat baik. Semoga Allah membalasa segala jasa baik kalian.

**Masih teringat cerita-ceriti Rumah Peradaban milik seorang teman.

No comments:

Post a Comment