Setahun lebih bergelar pendidik di situ banyak mencatat kenangan manis dan pahit. Yang pastinya, manisnya lebih terasa dan pahit itu dibiarkan berlalu saja. Cabaran terberat mengakhiri sisa hari di situ ialah masa depan anak-anak itu. Saya tidak pernah berhenti berharap mendoakan agar mereka lebih berjaya berbanding saya.
Madah yang menjadi pilihan saya ketika mengajar di IIC ialah Science of Quran, Legal Text of Quran dan Quranic Exegesis kerana saya diberi peluang berkongsi ilmu yang ada dan mengulang semula apa yang pernah dipelajari ketika Ijazah. Dan saya sangat puas kerana dapat berkongsi walaupun ilmu saya masih sedikit, malah mengharapkan agar mereka boleh memanfaatkan ilmu yang ada dengan mengamalkannya dan menyampaikannya pada yang lain. Selain subjek tersebut, Islamic Studies dan Islamic Ethics adalah kelas memberi nasihat. Tidak lupa juga subjek AIM Usrah sebagai kelas menjadi seorang Muslim yang baik yang smengajak para pelajar memperbaiki bacaan al-Quran dan praktik Solat. Pernah juga menjadi pengganti untuk subjek Science of Da'wah selama satu semester, dan saya sangat suka kelas ini kerana sering berkongsi cerita dakwah saya kepada masyarakat orang asli kepada para pelajar. Dan subjek terakhir yang pernah mengajar ialah Malaysian Studies, agak susah kerana kurang minat subjek sejarah!
Secara hakikinya, kejayaan para pelajar adalah kepuasan yang tidak ternilai harganya. Setiap kali menanda kertas peperiksaan pelajar dan mendapati ada pelajar yang gagal, soalan pertama yang ditujukan ialah "Adakah ia salah saya?". Saya masih belajar untuk mengajar dan mengajar itu juga adalah belajar. Kebolehan mengajar bukan bermakna si pengajar itu tahu semua perkara. Mereka sama belajar dengan para pelajar. Oleh itu, saya senang mengaku bahawa saya masih perlu banyak belajar. Ilmu memang masih kurang cukup, tapi ilmu yang sudah ada bukan sekadar untuk simpanan, tapi untuk dikongsi bersama. Saya puas dengan berkongsi. Tidak pernah rasanya saya menyembunyikan ilmu dan pengalaman, dan saya lebih mudah mengatakan "saya tidak tahu" jika memang benar saya tidak tahu dan kemudiannya akan mencari maklumat dan berkongsi apa yang ada.
Sebagai pengajar, saya tidak sempurna. Masih terlalu banyak kekurangan yang ada. Saya juga sedar saya tiada hak untuk membuat pelajar suka atau selesa ketika sesi pembelajaran bersama saya. Jika mereka suka, Alhamdulillah. Jika mereka tidak suka, saya terima segala komentar serta cadangan untuk memperbaiki cara saya mengajar. Saya mohon maaf setulus hati agar mereka memaafkan kesalahan saya yang ada selama tiga semester bersama. Mungkin ada teguran yang tidak boleh diterima. Mungkin ada nasihat yang kurang tepat. Mungkin ada lawak yang terkena tempiasnya. Mungkin ada kata yang menyakiti hati. Mungkin ada sikap yang mengundang gundah gulana. Mohon maaf untuk semuanya..
Doa saya agar ilmu yang pernah dikongsikan itu dimanfaatkan bersama, dan jangan pernah berhenti untuk belajar. Sebaik sahaja kalian keluar dari kolej, itu adalah sesi pembelajaran yang lebih besar dugaannya.
Doa saya agar kalian terus dipayungi Rahmat Tuhan walau di mana kalian berada. Semoga lebih berjaya dan terus berjaya, kejaayan di dunia sahaja belum tentu menjamin kejayaan di akhirat sana.
Doa saya agar kalian turut mendoakan saya. Usahlah menyebut nama saya seorang sahaja, tapi sebutlah nama-nama mereka yang pernah mencurah ilmu dan tenaga. Semoga kita semua mendapat pembalasan baik di Syurga abadi.
Jarak yang menjauhkan bukan sebab pemutus ukhuwwah.
Semoga Allah menjaga ukhuwah ini bertemu dan berpisah biarlah keranaNYA..
Ikhlas,
Miss Saadah Khair
No comments:
Post a Comment