Friday, 20 January 2012

Semangat Patriotik

Alhamdulillah

Kursus selama 5 hari 4 malam berakhir sudah (13-17 Januari 2012). Ini adalah program yang menjadi syarat wajib kepada mereka yang ingin melanjutkan pelajaran lebih tinggi di luar negara. Kali ini, seramai 53 peserta menyertai kursus yang diberi nama baru sempena tahun baru "Program Transformasi Luar Negara" yang diadakan di Akademi Kenegaraan, Jalan Bellamy, KL.


Tidak mahu bercerita panjang, cuma mahu kongsi beberapa input positif yang diperolehi daripada program tersebut. Jika ada yang negatif, kita jadikan sempadan dan simpan sahaja untuk menutup aib sesama saudara.

Jujur saya nyatakan, saya bukan penggemar sejarah, juga bukan melibatkan diri di dalam politik. Akan tetapi, pengalaman menulis tesis berkisar masyarakat Malaysia, dan juga pernah mengajar subjek Pengajian Malaysia (tempoh sementara) membuatkan saya tidak boleh lari dari sejarah Tanah Melayu. Tambahan lagi, saya adalah anak Malaysia!

Impian ke luar negara bukanlah sekadar suka-suka walaupun ada sekelumit perasaan sedemikian. Saya mahu gali ilmu Allah yang luas. Saya mahu lihat kegemilangan Islam di seluruh dunia. Saya mahu merasa tanggungjawab menyampaikan dakwah kepada mereka yang tidak mengenal Islam. Dan apabila saya ke luar kelak, saya membawa jati diri sebagai Muslimah dan juga anak Melayu. Salah satu tujuan kursus ini diadakan adalah supaya anak-anak Malaysia tidak lupa kepada identiti diri dan pulang untuk menuai bakti di Negara sendiri kelak..


Tidak salah cintakan negara. Tidak berdosa menanam semangat patriotik. Malah, setiap daripada kita pasti mempunyai tanggungjawab masing-masing, salah satunya adalah tanggungjawab kepada tanah air. Bukankah sudah ada pepatah Melayu mengatakan: "Hujan emas di Negara orang, lebih baik hujan batu di Negara sendiri". Pasti ada hikmah di sebalik kenyataan ini. 

Walaupun demikian, ada asbab mengapa timbul perasaan tidak senang kepada tanah air, barangkali perasaan sendiri. sombong dan sebagainya. Mungkin juga kerana aspek mempolitikkan tanah air, dan berbagai sebab yang lain. Lalu, timbullah perasaan negatif memudarkan cinta kepada ibu pertiwi. Jika kita perlu menerima baik buruk ibu sendiri, adakah susah menerima baik buruk ibu pertiwi?

Ada lirik lagu yang membuat saya berfikir panjang (terutama tulisan berwarna merah). Lagu ini kami dendangkan pada setiap permulaan program, wacana dan diskusi. Liriknya seperti berikut:

Inilah barisan kita
Yang ikhlas berjuang
Siap sedia berkorban,
Untuk ibu pertiwi!

Sebelum kita berjaya
Jangan harap kami pulang
Inilah sumpah pendekar kita
Menuju medan bakti!

Andai kata kami gugur semua
Taburlah bunga di atas pusara
Kami mohon doa, Malaysia berjaya!

Semboyan telah berbunyi
Menuju medan bakti!


Dan bersyukur juga kerana dapat membina jaringan dengan teman-teman baru pelbagai bidnag yang hebat2 belaka. Jutaan terima kasih kepada para penceramah, fasilitator dan ahli kumpulan kerana menyumbangkan pelbagai input dan perkongsian. Semoga kalian diberkati Tuhan!

Selamat Maju Jaya!

No comments:

Post a Comment