Melayu mudah lupa?
Ah! Bukan Melayu sahaja yang lupa. Memang fitrah seorang insan itu adalah pelupa. Kalimah insan di dalam Bahasa Arab juga membawa pengertian 'lupa', dan kerana itulah Ibn Abbas menyatakan: "sesungguhnya manusia dipanggil insan kerana sifat lupanya".
Malah Rasulullah SAW juga pernah lupa. Baginda telah berkata: "Sesungguhnya aku adalah manusia seperti kamu, aku lupa sepertimana kamu lupa. Apabila aku lupa maka peringatilah aku". Akan tetapi, apabila Rasulullah lupa, pasti ada wahyu Tuhan yang mengingatkannya. Kesempurnaan baginda tiada tolak bandingnya.
Apatah Nabi juga lupa, lagikan kita manusia biasa.. Lupa adalah fitrah. Tapi lupa juga boleh diubah.
Menurut pengalaman peribadi, saya agak pelupa dengan soal yang sering otak saya klasifikasikan sebagai remeh. Tapi kebelakangan ini, perkara yang agak penting juga mudah benar terlupa dek ruang minda yang penuh diisi dengan berbagai perkara. Antara perkara yang mudah saya lupa ialah arah jalan, kunci (rumah atau kereta), nama orang (terutama pelajar) dan kadangkala cermin mata yang diletakkan merata-rata.
Sejujurnya, saya cuba untuk mengatasi masalah yang saya hadapi. Antara solusi yang saya lakukan dan amalkan sehingga kini ialah mempunyai planner peribadi untuk meletakkan nota atau temujanji penting yang berkaitan dengan kajian penyelidikan atau urusan kerja. Planner tersebut menjadi rujukan utama sebelum membuat sebarang temujanji dengan orang lain, terutama para pelajar. Alhamdulillah planner sangat membantu bagi mengelakkan saya terlupa.
Solusi bagi mengingati arah jalan pula ialah melalui jalan tersebut berulang kali dan cuba mengingati bangunan penting yang ada di kawasan tersebut. Tapi sehingga kini saya masih sukar mengingat kawasan yang hanya pernah dilalui sekali atau dua kali. Sangat cemburu kepada adik lelaki saya yang mempunyai daya ingatan yang sangat kuat terutama arah jalan walau ke mana-mana sekalipun. Walaupun demikian, saya berani diri untuk mencuba sahaja kawasan yang saya tidka pernah lalui dan berfikirlah secara positif kerana akhirnya jalan yang dituju pasti akan ditemui juga, walaupun akan mengambil masa yang agak lama.. :)
Bagaimana pula solusi untuk mengingat nama pelajar? Ini agak sukar kerana setiap semester, saya akan mendapat pelajar yang berbeza, di dalam kelas yang juga berbeza, daripada tahun yang berbeza. Pelajar yang lemah selalunya menjadi perhatian saya, tidak lupa juga pelajar yang aktif di dalam kelas. Kasihan pula kepada pelajar yang sederhana-sederhana, yang selalu dipandang biasa oleh para pensyarah.. Oleh itu, hargai setiap pelajar kerana setiap daripada mereka ada kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Sehingga kini, saya masih mencari formula bagaimana mengingat nama pelajar, ada sesiapa mahu berkongsi cara?
Sering kali saya berfikir, kenapa kita mudah lupa? Lucu bila pepatah orang tua mengatakan lupa adalah kesan kerana banyaknya makan kepala ikan, atau semut. Tidak tahu pula sejauh mana kebenaran kenyataan tersebut. Akan tetapi, telah disebut oleh Ibnu Masu’ud RA: “Aku beranggapan bahawa sesorang itu melupai ilmu yang dipelajarinya disebabkan oleh dosa-dosa yang dilakukannya”. Diriwayatkan daripada Imam Abu Hanifah RA apabila beliau buntu dengan satu-satu masalah beliau berkata kepada muridnya: "Ini adalah datangnya daripada dosa yang telah aku lakukan”.
Sesungguhnya lupa merupakan muhasabah terbaik seorang Hamba kepada Tuhannya. Dia yang memiliki segala ingatan dan mengawal segala pergerakan. Dia yang memberi setiap nikmat dan mampu menariknya kembali pada bila-bila masa sahaja..
Ya Allah, jauhkanlah aku dari lupa kepada Mu.. dari lupa kepada setiap NikmatMu..
Ya Tuhan, jadikanlah aku seorang yang sentiasa bersyukur walaupun sering ditarik nikmat ingatan..
Kadangkala lupa juga adalah nikmat yang tidak disedari manusia...
Sesungguhnya lupa merupakan muhasabah terbaik seorang Hamba kepada Tuhannya. Dia yang memiliki segala ingatan dan mengawal segala pergerakan. Dia yang memberi setiap nikmat dan mampu menariknya kembali pada bila-bila masa sahaja..
Ya Allah, jauhkanlah aku dari lupa kepada Mu.. dari lupa kepada setiap NikmatMu..
Ya Tuhan, jadikanlah aku seorang yang sentiasa bersyukur walaupun sering ditarik nikmat ingatan..
Kadangkala lupa juga adalah nikmat yang tidak disedari manusia...
Sumber doa diambil dari SINI
No comments:
Post a Comment