Bismillahirrahmanirrahim
Sejak di Matrikulasi, saya melihat bahawa kursus pra-perkahwinan dijalankan di mana-mana. Menjejaki UIAM, Gombak, semakin banyak poster promosi kursus tersebut dengan menawarkan harga yang murah dan sah laku sijil seumur hidup. Menghabiskan sisa menyiapkan tesis, saya masih tidak terbuka hati untuk mendaftarkan diri. Beberapa ajakan teman saya tolak sejak dulu lagi. Janji saya pada diri sendiri, kursus ini akan dihadiri ketika saya sudah ada calon yang pasti, dan dia harus dengar bersama agar menjadi peringatan antara satu sama lain untuk membina sebuah mahligai berpaksikan bahagia.
Alhamdulillah, saya hadiri juga. Dua hari adalah sekadar permulaan yang masih belum memulakan. Terima kasih buat dia yang sudi menemani dan menghadiri bersama. Doa saya agar dia sering mengingatkan kerana diri ini sering alpa.
Alhamdulillah, sesi kursus dan perkongsian membuahkan hasil yang positif kepada para peserta. Jika ada yang negatif, kita jadikan sempadan dan pengajaran. Saya membenarkan kata-kata seorang ustaz yang pernah menyebut bahawa kursus pra-perkahwinan sering tidak diambil serius dan menjadi medan ketawa dan mendengar ceramah berunsur lucah. Jika yang lucu dan lucah itu sahaja diambil kira, kenapa tidak mengambil usaha untuk mencari input dan peringatan yang lebih penting untuk kegunaan membina bahagia? Saya cuba membuang jauh unsur-unsurr negatif kerana tujuan saya hadir adalah sebagai persediaan untuk masuk ke alam baru yang barangkali penuh pancaroba walau secara mata kasarnya ia adalah keseronokan yang dinantikan semua..
Saya tertarik dengan satu soalan yang diajukan oleh seorang penceramah. Soal beliau, "sejak bermula tahun ini menuju ke hari pernikahan, berapa banyak buku yang anda telah dan akan baca?". Menurut pemahaman analisis saya, baca di sini membawa maksud sebagai persediaan dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengahadapi setiap kemungkinan yang akan berlaku setelah bergelar seorang isteri atau suami, seterusnya menggalas tanggungjawab sebagai ibu atau pun ayah. Soalan tersebut saya ajukan berkali-kali kepada diri saya...
Saya juga merenung tentang kehebatan Allah yang menjadikan makhluk bernama lelaki dan perempuan yang kedua-duanya mempunyai keunikan tersendiri, dan kemudian mereka akan selami kehidupan bersama dengan pelbagai perbezaan. Apabila syari'atullah diambil kira, sunnatullah tidak boleh dilupakan sama sekali. Syari'atullah mengatur agar hubungan akan halal dengan menuruti rukun-rukun nikah, tapi sunnatullah juga perlu untuk memahami hikmah kejadian Tuhan yang menjadikan sikap dan kejadian seorang lelaki atau perempuan itu dengan kejadian yang khas dan istimewa.
Selamat memasuki dunia baru..
Selamat mengalami suka dan duka..
Selamat mengharungi ujian Tuhan..
Selamat mencari bahagia..
**Banyak yang mahu dikongsi, tapi masa amat terhad kini. Jumpa di lain hari.. :)
No comments:
Post a Comment