Wednesday, 21 March 2012

Buku: Travelog Wartawan Islam

Tajuk: Travelog Wartawan Islam
Penulis: Roslan Hamid

Alhamdulillah, sekian lama saya meninggalkan buku ini bersendirian, akhirnya tamat juga. Sekian lama juga saya tinggalkan buku yang tidak berkaitan dengan dunia akademik, akhirnya saya berjaya menamatkan buku travelog ini.

Entah mengapa saya terdetik membeli buku ini. Sebab utama kerana ia adalah catatan berunsurkan travelog, di mana ia bukan rekaan tapi berdasarkan pengalaman peribadi penulis. Sebab kedua adalah kerana saya pernah bercita-cita menjadi wartawan suatu ketika dahulu!

Saya sangat cemburu dengan kerjaya yang memerlukan perjalanan yang jauh dan pemandangan yang berbeza. Tertarik dengan kerjaya sebagai wartawan kerana teruja melihat Majalah Tiga yang sering membuat liputan berita dari luar negara. Membaca karya tulisan Roslan Hamid ini telah membuka mata saya bahawa kerjaya sebagai wartawan bukanlah sekadar berjalan, tapi memegang amanah untuk menyampaikan apa yang mereka lihat dan rasa di dunia yang berbeza. Bukan itu sahaja, bahkan mereka barangkali berhadapan dengan bahaya dan ancaman yang tidak diduga, seperti apa yang berlaku kepada  Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor. Wartawan juga harus bertanggungjawab di atas apa yang ditulisnya, kerana tulisan itu akan dihisab di Akhirat kelak..

Lebih cemburu lagi apabila penulis berpeluang menjejaki Makam Imam Bukhari, menghulurkan simpati kepada rakyat Afrika Selatan, melihat negara gergasi komunis Soviet dan  bertemu Muslim dari pelbagai Negara. Penulis juga sering membuat perbandingan di antara Malaysia dan Singapura dari pelbagai aspek seperti kebersihan, undang-undang, isu kondomisasi, dan lain-lain. Beliau juga menyentuh isu-isu semasa di negara kita khususnya gejala sosial di kalangan remaja. Kisah yang paling saya suka ialah kisah Abdul Ghafur, si penjual surat khabar.

Sukar untuk berjumpa dengan individu yang mahu mengaku kekurangan diri dengan sejujurnya melalui penulisan. Saya dapat merasakan kejujuran dan ketulusan penulis saat beliau mahu mempelajari Islam dengan lebih mendalam, terutama ketika beliau mahu belajar membaca al-Quran. Saya sukakan keperihatinan beliau dalam pelbagai aspek terutama dalam kepekaan terhadap isu-isu umat Islam sehingga beliau sanggup untuk meletakkan jawatan. Saya juga kagum dengan perjalanan jauh ulang-alik dari Melaka ke bandaraya KL untuk mencari rezeki. Semoga Allah memberikan kebaikan berpanjangan buat beliau dan keluarganya..

Maaf ingin menegur, terdapat banyak kesilapan ejaan di dalam buku. Semoga pihak penerbitan dapat membuat pemeriksaan semula terhadap kesilapan tersebut sebelum membuat percetakan baru kelak.

Terima kasih untuk perkongsian yang bermanfaat!

No comments:

Post a Comment