Thursday, 6 December 2012

Pangkor bukan sekadar Pulau

Dengan nama Allah yang mencipta. Dia sebaik-baik pencipta. Tiada ciptaan sebaik ciptaanNya.

Alhamdulillah. 

Bau masin pantai masih boleh dihidu. Lautan luas yang menghijau sudah ada yang merindu.

Pulang dari Pangkor dengan membawa kegembiraan dan keletihan. Terima kasih kepada FPQS yang membentuk sebuah keluarga baru buat saya. Kali ini, tiada madah untuk dibincangkan, tiada mesyuarat untuk diadakan, dan tiada seminar untuk dibentangkan. Semuanya santai. Dan yang paling bahagia, semuanya ditaja.. (hehe..)

Dan entri kali ini juga santai sahaja. Ada kenangan yang mahu dikongsi. Ada memori yang perlu diingati.

1. Jeti Marina & Jeti Pangkor

 Tiket pergi balik menaiki feri ialah RM10. Ada dua jeti untuk menyeberangi laut ke Pulau Pangkor. Jeti Marina dan Jeti Lumut. Kedua-duanya menyediakan perkhidmatan tempat letak kenderaan dengan harga yang berbeza.
Info: 50 sen setiap satu jam jika meletakkan kenderaan di Jeti Marina. Maksimum RM10 sehari.

2. Resort
Resort ini sudah ditempah awal oleh majikan. Boleh layari www.puteribayu.com untuk maklumat lanjut.
Komen peribadi: Keselesaan bilik 3/5. Makanan 2/5. Perkhidmatan 3/5
Ada banyak resort atau hotel yang boleh didapati di sana. Sangat digalakkan untuk menempah awal dan memilih kawasan yang berdekatan dengan pantai untuk kepuasan maksima.

 3. Kota Belanda

Kota yang dikenali sebagai Kota Belanda ini asalnya dibina oleh Belanda pada tahun 1670 sebagai gedung untuk menyimpan bijih timah.. (baca di SINI)
Saya sangkakan kota ini besar. Walaupun kecil tapi penuh sejarah.

4. Batu Bersurat

 Ada seorang budak yang duduk di atas batu ini untuk menceritakan sejarah batu bersurat kepada pengunjung. Sukar untuk percaya bahawa ada harimau dan bayi di dalam dua batu tersebut! Boleh rujuk SINI.

5. Kilang Sate Ikan

Periksa tanda halal sebelum membeli.

6. Kilang Membuat Bot

Sangat menarik. 4 bulan diperlukan untuk menyiapkan sebuah bot~!
Bergantung juga kepada saiz sesebuah bot dan kegunaannya.

7. Lapangan Terbang Pangkor

Pertama kali tahu bahawa ada juga kapal terbang yang mendarat di pulau ini. Kecil. Kawasan di sekelilingnya sangat privasi dan bersih.

8. Perkhidmatan

Teksi di Pangkor ada satu warna sahaja iaitu merah jambu. Menurut kawan saya, ronda-ronda sekeliling pulau berharga RM80 untuk sekali perjalanan. Ada juga perkhidmatan sewa kereta, motor dan basikal, tapi saya memilih untuk menyewa motor disebabkan oleh jalan sekitar pulau yang kecil, harga yang murah (RM20-RM35 sehari) dan sesuai untuk pasangan suami isteri yang masih berdua. Kami ronda ke setiap ceruk pulau. Puas!

Ada pelbagai permainan pantai. Teringin benar mahu mencuba tetapi tidak berkesempatan. Ada juga perkhidmatan meronda pulau dengan bot. Harga bermula dari RM15, bergantung kepada syarikat. Snorkeling juga disediakan. InsyaAllah saya cuba lain kali.

Walaupun pulau ini kecil, tapi kita yang menentukan bagaimana untuk mencipta keseronokan pada setiap percutian. Usah lupa mengingati kebesaran Tuhan kerana hanya Dia yang mampu mencipta segala bentuk kejadian. Usah lupa juga mensyukuri setiap nikmat kerana kufur nikmat itu membawa kepada kemusnahan.

Pulau Pangkor, ada waktu kita ketemu lagi...

No comments:

Post a Comment