Bismillahirrahmanirahim
OK. 2012 bakal berakhir. Esok tahun baru menjelma lagi. Kali ini perasaan saya berbeza dengan tahun sebelumnya kerana tidak sabar untuk bertemu 2013 dengan segera. Pastinya, saya mahu masuk ke tahun baru dengan berlapang dada.
Sebelum buka buku baru edisi 2013, ada satu tanggungjawab yang wajib dilaksanakan bagi yang berkemampuan iaitu Zakat Pendapatan.
Sejujurnya, saya menulis entri ini setelah saya baru melangsaikan pembayaran zakat. Kata orang, lebih baik terlambat daripada tidak melakukan apa-apa (better late than never). Zakat pendapatan ialah bayaran yang dikenakan ke atas semua jenis upah, imbuhan, bayaran atau hasil yang diperolehi daripada kerja atau usaha yang dilakukan sama ada secara tetap atau sekali sekala. Info selanjutnya boleh terus layari Lembaga Zakat Selangor.
Ini kali pertama saya bayar zakat pendapatan. Zakat fitrah saya selama ini dibayar oleh Ayah dan setelah berumah-tangga, Encik Suami yang membayarnya. Kenapa saya pertama kali membayar zakat pendapatan? Pada tahun 2012 ini lah saya mempunyai pendapatan yang tetap kerana sebelum ini saya hanya kerja secara separuh masa. Boleh kira jumlah pengeluaran zakat secara atas talian di SINI
Allah telah berfirman di dalam KitabNya:
يَأَيـُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ أَنفِقُواْ مِن طَيِّبَتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ الأَرْضِ ، وَلاَ تَيَمَّمُ الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنفِقُونَ وَلَسْتُم بِئَاخِذِيهِ إِلاَّ أَن تُغْمِضُواْ فِيهِ ، وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللهَ غَنِىٌّ حَمِيدٌ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian daripada apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu, dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), pada hal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya, dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi sentiasa Terpuji.” (Surah Al-Baqarah, 2:267)
Dalil ini digunakan bagi kewajipan zakat perniagaan tetapi ia boleh diqiyaskan juga kepada pendapatan dari penggajian berdasarkan kepada lafaz ( ما كسبتم ) yang boleh ditafsirkan kepada sebarang bentuk harta yang diusahakan.
Dan Rasulullah SAW telah bersabda di dalam sebuah hadith:
اعْلَمْ أَنَّ اللهَ قَدِ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَة فِيْ أَمْوَالِهِمْ تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ فَتُرَدُّ إِلىَ فُقَرَائِهِمْ
Maksudnya: “Beritahulah kamu kepada mereka bahawa Allah subhanahu wata`ala telah mewajibkan dari sebahagian harta-harta mereka untuk disedekahkan. Diambil dari orang kaya untuk diberi kepada mereka yang faqir”. (Muttafaq `Alayh)
Walaupun terdapat banyak khilaf Ulama' terhadap hukum pembayaran zakat pendapatan, saya berpendapat bahawa ada sebahagian harta kita adalah bukan milik kita tetapi selayaknya diberikan kepada mereka yang selayaknya. Sekiranya ada perasaan bahawa harta yang kita ada masih tidak cukup sepanjang kehidupan ini, sememangnya ramai lagi yang tidak bernasib baik seperti kita.
Zakat itu penyucian harta. Ada kalanya kita tidak sedar rezeki yang kita perolehi itu telah bercampur dengan perkara yang meragukan. Oleh itu, mengeluarkan zakat adalah satu langkah yang terbaik untuk kita menggunakan harta sebaiknya.
Tertarik dengan sebuah kertas kerja yang bertajuk "Kesedaran Membayar Zakat Pendapatan di Malaysia". Boleh baca di SINI.
Semoga saya dapat Istiqamah dalam menjalankan tanggungjawab ini. Amin!
No comments:
Post a Comment