Tuesday 19 February 2013

Buku: Di Hamparan Shamrock Ku Seru Nama-Mu


Setiap manusia akan menghadapi pancaroba dan kesusahan yang berbeza, dan untuk menceritakan kesusahan kita tidak semudah menceritakan kesenangan kita kepada orang lain. Buku ini adalah catatan peribadi penulis merantau di bumi Eropah, mengharungi susah senang pengajiannya di Jordan, berkerja mencari rezeki, memikul tanggungjawab suami, imam dan pelbagai lagi, berhadapan dengan bermacam kerenah manusia, mendidik dan mentarbiyyah kanak-kanak dan jiwa. 

Saya pasti pengalaman di dalam buku ini hanya sebahagian sahaja dari pengalaman hidupnya kerana ada rahsia yang memang perlu dijadikan rahsia dan tidak perlu dikongsikan semuanya. Walau apapun, saya kagum dengan sifat sabar penulis yang menerima semua ketentuan Ilahi dengan hati terbuka dan mencari 'ibrah dari setiap peristiwa yang dihadapinya.

Ada beberapa kisah yang berjaya membuat saya mengalirkan air mata.

Ada beberapa pengajaran dan nasihat berguna daripada buku ini yang boleh dimanfaatkan oleh pembaca yang berfikir. Antaranya yang boleh saya simpulkan ialah:

1. Setiap kesusahan pasti diakhiri dengan kesenangan. Jika tidak perolehi kesenangan di dunia, kesenangan di Akhirat pastinya lebih sempurna. Rujuk Surah al-Insyrirah, ayat 5-6.

2. Kaya itu tidak semestinya diukur dengan harta benda, tetapi hati dan jiwa. Sabda Rasulullah SAW: "Bukanlah dikatakan kata itu sebagai banyak harta. Akan tetapi kekayaan sebenar itu adalah kekayaan jiwa." (Riwayat Bukhari, 6446)

3. Amalkan akhlaq mulia dan tinggalkan sesuatu yang meresahkan jiwa. Nabi SAW bersabda: "Kebajikan itu adalah pada keelokan akhlaq. Manakala dosa kejahatan pula adalah apa yang mendatangkan resah pada dirimu, dan engkau tidau suka manusia lain melihat atau mengetahuinya." (Riwayat Muslim)

4. Islam itu adalah untuk semua. Sempurna dan saling menyempurnakan. Rasulullah SAW bersabda, "Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya"

5. Hiduplah bukan untuk dihargai. Jangan kecil hati apabila kita tidak dihargai. Jika masih mahu dipuji dan dihargai, rujuk Surah Saba', ayat 13.

Saya akhiri dengan sebaris kata-kata yang saya kutip melalui buku ini: "Manusia yang tidak berani mati untuk sesuatu, tidak layak hidup untuk apa-apa"


Wallahua'lam

2 comments:

  1. subhanAllah ...nice dan pada 16 april 2013 jam 8.30 malam nie kami di jabatan dakwah kepimpinan UKM telah menjemput ustaz hasrizal utk program bedah buku ini: di hamparan shamrock ku seru nama mu bertempat di dataran siswazah FPI sempena Fiesta Generasi Intelek 2013 ..jemput la datang =) syukran~

    ReplyDelete
  2. Terima kasih untuk makluman. InsyaAllah.

    ReplyDelete