Sunday 28 July 2013

Indahnya Memasak

Bismillahirrahmanirrahim

Saya bukan pakar masak, malah masih merangkak-rangkak untuk mengenal pelbagai rempah. Sejak  kecil, entah kenapa tiada minat langsung untuk membantu Emak memasak melainkan jika dipaksa. Bagi saya suatu ketika dahulu, dapur itu tempat makan bukan tempat memasak.

Tapi sebelum berumahtangga, saya mula mengerti betapa pentingnya belajar memasak. Saya mula berjinak dengan dapur apabila menyewa rumah setelah tamat daripada universiti yang mengharamkan aktiviti memasak di kampus. Dapur mula menjadi medan eksperimen untuk mencuba manis, masin, masam dan pelbagai rasa.

Setelah bergelar isteri, saya akui bahawa memasak itu perlukan seni. Perkara yang menggembirakan hati ialah apabila insan tersayang makan apa adanya walaupun rasa tidak sesedap mana. Tapi sering juga saya ambil jalan mudah untuk tidak memasak sekiranya sibuk kerana pilihan makanan ada di mana-mana.

kambing masak merah cubaan pertama yang jauh bezanya dengan masakan mak
Kini saya bukan di tanah air, yang pastinya makanan Melayu bukan mudah untuk ditemui. Memasak sendiri juga sangat menjimatkan kos kehidupan, tapi sayangnya bahan bekalan yang kami bawa dari Malaysia tidak sebanyak mana. Alhamdulillah ada beberapa opsyen untuk digunakan sebagai bahan untuk memasak walaupun kosnya yang agak tinggi.

Pastinya Ramadan pertama di bumi Eropah ini saya lebih merasakan keindahan memasak, apabila ada teman-teman dari Malaysia yang memasak bersama-sama. Ada saja resepi yang hendak dicuba, dan saya ambil kesempatan untuk belajar memasak.

kawan2 tadarus a.k.a geng memasak Aston
Hati saya lebih berbunga-bunga apabila ada seorang rakan memberi galakan, katanya: "Adah, tiga tahun di sini insyaAllah bukan sahaja dapat phd, tapi boleh juga jadi pakar masak"

Dan kini kawan baik terbaru saya ialah laman web dan Youtube berasaskan masakan.

Selamat memasak.

1 comment:

  1. wah....bestnya......teringat kenangan tinggal di luar Negara 17-18 tahun dulu.... buat kuih raya, ternyata memang memberi peluang mencuba pelbagai resepi...ambillah peluang sebaik2nya kerana itu akan menjadi kenangan manis yg tidak akan dapat diulang semula...

    ReplyDelete