Thursday, 3 June 2010

Bibik Moden I

Bibik. Perkataan ini bukan lah sesuatu yang baru di Malaysia. Panggilan untuk pembantu rumah atau maid lebih mudah dipanggil bibik. Bibik juga bermaksud makcik di dalam bahasa Jawa. Malah di Melaka, saya mempunyai kawan yang dipanggil bibik oleh anak2 saudaranya. Cuma panggilan bibik lebih kepada pembantu rumah jika di kawasan saya, walaupun saya tidak pernah memanggil dengan panggilan itu kepada pembantu rumah yang ada suatu ketika dahulu.

Tapi kisah kali ini ialah kisah bibik moden. Seorang makcik muda. Kisah benar bukan rekaan semata-mata. Pemergian kakak saya pergi menunaikan Umrah semalam saya simpan sahaja kesedihannya tapi ditanamkan kekuatan untuk menjaga sebuah amanah berharga, iaitu lima orang anak-anaknya. Ini baru hari pertama, masih banyak lagi hari lain untuk dikongsi kisahnya. Sebagai permulaan kisah, harus ada pengenalan untuk kelima-lima watak utama.

Gambar kakak saya sekeluarga

Farhah Hamdiah.
Bakal menduduki UPSR pada tahun ini. Sangat matang berbanding saya ketika berusia 12 tahun. Jika dibandingkan saya dahulu dan dia kini di dalam umur yang sama, benar lah jauh panggang daripada api. Sebagai kakak sulung, Farhah secara natural berperanan sebagai kakak untuk empat orang adik2nya, tapi dia belum cukup matang untuk menjalankan tugasan orang dewasa. Tapi Farhah memang pandai bergaya, pandai melawa, fikiran juga lebih advance daripadaku. Selamba saja dia mengatakan: "Cik Saadah ni macam budak-budak lah~!", malah mempersoalkan umurku yang tidak serupa dengan perangaiku..

Faris Hamdani.

Dua tahun lebih muda berbanding Farhah. Dia saya panggilnya abang. Sememangnya kakak saya cuba mendidik untuk dia menjadi abang, anak lelaki pertama. Sangat lincah dan aktif. Tidak reti untuk duduk diam dalam jangka masa yang lama. Tangannya pasti saja mengusik sana dan sini, itu dan ini. Kadangkala sabar yang disimpan pasti terhilang juga kerana anak bernama Faris ini. Tapi jiwanya sangat sensitif. Otaknya juga cergas. Faris mudah menangis jika diceritakan apa sahaja kisah2 sedih yang menyentuh jiwa, terutama tentang kisah-kisah ibu dan anak derhaka. Di dalam diam, dia sangat menyayangi kakak saya tapi dengan caranya yang tersendiri.

Fawwaz Hamdi.

Anak ini pasti takkan saya lupakan kerana tarikh lahirnya sama dengan tarikh lahir saya. 24 Ogos. Sedikit sebanyak ada juga sikap-sikap kami yang secara kebetulannya hampir sama. Fawaz uga jarak dua tahun dengan abangnya, tapi sering menjadi mangsa buli abangnya yang aktif itu. Oleh itu, fawaz sangat mudah menangis juga mudah marah jika diusik. Saat paling geram ialah saat makan beramai-ramai, dia pasti menolak untuk makan bersama-sama kerana makannya harus dilayan. Beruntung dia ada makcik seperti saya yang boleh melayan dia..

Fadwah Hamdiah.
Anak kecil berusia 5 tahun ini sangat bijak dan petah berkata-kata. Manja juga mengada-ngada. Anak perempuan akhir selalunya memang begitu. hehehe.. Tapi Wa memang sangat pandai di umurnya yang kecil itu. Ada sahaja idea comelnya yang mencuit hati. Cuma kadangkala sakit merajuknya sangat susah dipujuk, dan jangan sesekali cuba untuk menyakitkan hatinya.

Fayyadh Humaidi.
Saya paling geram dengan budak ini. Geram dengan telatah comel semulajadinya. Beza setahun sahaja dengan Fadwah. Mereka berdua ibarat saya dan adik saya ketika kecil. Sama. Sangat sama. Kakak dan adik. Comel. Fayyad bisa mengekspresi apa sahaja luahan hatinya atau ketidakpuasanhatinya. Dia sangat jujur, barangkali anak-anak sebaya dia memang sebegitu. kadang-kadang saya masih tidak mampu menjawab pertanyaan2 nya, malah harus berfikir lama menyusun kata agar dia faham dengan jawapan2 saya. Fayyad benar2 menguji minda dan menyenangkan hati saya..


Alhamdulillah hari pertama tidak membebankan kerana adanya emak yang menemani saya. Saya sudah melarang tapi naluri seorang ibu, emak memang sering risau akan saya yang seperti tidak tahu apa-apa (jadi saya harus buat-buat tahu). Hari ini masuk untuk hari yang kedua, saya melarang untuk dia menemani saya agar emak duduk di rumah menemani ayah. Saya yakin saya mampu lakukannya seorang diri. Saya kenal anak-anak saudara yang sangat sukakan saya jika saya yang menjaga mereka. Moga urusan saya hari ini dan hari yang berikutnya dipermudahkan DIA.. Cuma saya tidak tahan sayu ketika menghantar Fayyadh ke sekolah pagi tadi. Tangisannya buat saya tidak sampai hati membiarkan dia bersekolah. Tapi apakan daya, nasib baik ada cikgu yang membantu mengeluarkan dia daripada kereta.

Bibik Moden. Itulah saya. Berkereta Avanza ke sini dan sana. Menghantar dan mengambil anak-anak dari sekolah untuk menimba ilmu di dada. Masih sempat juga mengadap laptop meluahkan rasa. Saya suka gaya moden yang bisa buat semua benda. Jangan disangka suri rumah itu hanya bisa menguruskan rumah saja, tapi otak harus bijak berurusan dengan dunia.. ^_^

3 Jun 2010
Mutiara Rini
Johor Bahru

** Nantikan kisah Bibik Moden II & III di isu yang akan datang..

No comments:

Post a Comment