Tuesday, 3 September 2013

Naik Minyak, Kurangkan Minyak

Dua hari selepas tarikh kemerdekaan Malaysia yang ke 56, harga minyak petrol naik lagi. Ramai yang memberi komen tentang isu kenaikan harga minyak. Ada yang berfikiran positif dan ada yang bertindak negatif. Pilihan di tangan anda. 

Saya tidak berani sentuh hal politik tapi harga minyak yang naik bakal memberi impak yang besar terutama bagi mereka berpendapatan rendah dan sederhana. Tidak semua dari kita hidupnya senang biarpun hati mereka sentiasa senang.

Kenaikan harga minyak tidak memberi efek kepada kehidupan saya di tanah Inggeris. Di UK, harga minyak turun dan naik mengikut harga minyak dunia. Setiap stesyen minyak mempunyai harga yang berbeza-beza. Pengguna berhak memilih stesyen mana yang menawarkan harga yang lebih rendah.

Alhamdulillah saya tidak perlu memikirkan hal minyak kereta. Hampir empat bulan tidak berkenderaan, hati saya senang, jiwa kami juga tenang. Tidak perlu memikirkan minyak kereta, parkir kereta, basuh kereta, dan apa jua yang berkaitan dengan penjagaan kereta. Malah saya dan suami seronok berjalan kaki dan menaiki pengangkutan awam bersama.

Kemudahan pengangkutan awam di England sangat mesra pengguna. Bas tidak sahaja dinaiki warga muda, tapi juga warga tua dan golongan kurang upaya. Keretapi sangat menetapi waktu (kecuali kawasan yang sedang dalam penambah-baikan tapi ada pengumuman awal sekiranya lewat). Lorong untuk pejalan kaki juga disediakan di semua kawasan. 'Zebra Line' diberikan keistimewaan kepada mereka yang mahu melintas jalan. Pemandu yang tidak memberi laluan kepada pejalan kaki boleh disaman.

Jika ke universiti, saya mengambil masa hampir 15 minit berjalan kaki dari rumah ke stesen keretapi. Kemudian berhenti di perhentian yang ketiga dan seterusnya berjalan kaki menuju ke perpustakaan dengan mengambil masa dalam 7-8 minit. Rutin harian ini hanya akan dirasa keperitannya jika hujan lebat dan mempunyai temujanji dengan penyelia di awal pagi.

Saya masih simpan niat untuk memiliki kenderaan di UK sehingga benar-benar memerlukannya nanti. Selagi kami masih punya kudrat untuk berjalan kaki dan 'enjoy' dengan pengalaman ini, saya tidak perlu risau dengan kenaikan harga minyak lagi.

Bas merah yang menarik perhatian saya di Coventry
Selesa dengan meja
Surat khabar percuma untuk pengguna setiap hari
Kemudahan suis disediakan di dalam keretapi
Ada bilik air dan juga bilik menukar lampin bayi
Stesyen yang diberi nama 'university' di dalam University of Birmingham.

Ayuh berfikiran positif. Harga minyak yang naik mungkin suatu titik untuk kita mengubah cara hidup. Ya benar bahawa kenaikan minyak bakal menaikkan semua harga pasaran di Negara. Mungkin boleh berjalan kaki atau merancang perbelanjaan terlebih dahulu sebelum bergerak menggunakan kenderaan masing2. Masak sendiri tentunya menjimatkan dan kurangkan makanan yang berminyak dan berkolestrol tinggi.

Kesimpulannya, jangan cepat melatah.

Tingkatkan prestasi, kurangkan kontroversi.

Semoga Allah merahmati Malaysia dan rakyatnya.

No comments:

Post a Comment