Thursday, 30 January 2014

Seminar "Misogyny"


Berpeluang ke seminar di London tempoh hari sungguh mengujakan!

Sejujurnya ini kali pertama saya menjejaki bandar London setelah 8 bulan berada di England. Pelbagai respon mengatakan London adalah kota metropolitan yang moden, medan membeli belah, kawasan perlancongan yang cantik dan sebagainya. Hanya satu perkataan mampu saya gambarkan London:

Zahmah!
Sesak!

Manusia berbagai bangsa, rupa, agama memenuhi London. Setiap daripada mereka mempunyai tujuan yang berbeza, dan saya ke London bertujuan untuk mencari ilmu dengan menghadiri sebuah seminar yang sangat berkait rapat dengan kajian Phd saya. Tidak terjangka bahawa lokasi seminar tersebut bersebelahan SOAS yang pernah menjadi universiti pilihan saya suatu ketika dulu, tetapi sedihnya saya tidak layak kerana syarat kemasukan universiti tersebut amatlah tinggi. Oleh itu, saya sangat mengagumi mereka yang berkelulusan daripada SOAS dan menjejaki ke SOAS adalah suatu pengalaman yang sangat berharga.


Alhamdulillah saya bertemu juga dengan seorang pensyarah UIAM yang sedang melanjutkan PhD di SOAS. Saya memohon bantuannya untuk melihat persekitaran bangunan dan mendengar sedikit sebanyak pengalaman beliau. Sayangnnya waktu tersebut teramatlah singkat dan saya berharap agar dapat lagi ke SOAS di waktu yang akan datang.

Video ini saya kongsikan khas kepada yang berminat dan ulangan kepada diri sendiri. Enam penceramah jemputan membincangkan topik yang berbeza.





Semoga video ini memberi manfaat kepada semua!

Wednesday, 22 January 2014

Rahsia Jutawan


Baru-baru ini, saya suka melihat satu rancangan melalui YouTube yang bertajuk "Secret Millionaire". Rancangan ini mengisahkan seorang jutawan yang menyamar menjadi orang biasa dan melakukan kerja sukarelawan di lokasi yang dipilih.

Terdetik di hati saya, alangkah baiknya sekiranya jutawan tersebut beragama Islam. Terlalu banyak ganjaran yang akan diberikan kepada dermawan apatah lagi niat mereka ikhlas untuk membantu mereka di dalam kesusahan.

Allah SWT telah berfirman:

"Kamu sekali-kali tidak akan mencapai kebaikan (yang sempurna) sehingga kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu sayangi. Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya" (Surah Ali-Imran ayat 92)

Rasulullah SAW pernah berkata: "Tiap muslim wajib Bersedekah." Para sahabat bertanya, “Bagaimana kalau dia tidak memiliki sesuatu?” Nabi S.a.w. menjawab, “Bekerja dengan keterampilan tangannya untuk kemanfaatan bagi dirinya lalu bersedekah.” Mereka bertanya lagi. Bagaimana kalau dia tidak mampu?” Nabi menjawab: “Menolong orang yang memerlukankan yang sedang teraniaya” Mereka bertanya: “Bagaimana kalau dia tidak melakukannya?” Nabi menjawab: “Menyuruh berbuat ma’ruf.” Mereka bertanya: “Bagaimana kalau dia tidak melakukannya?” Nabi S.a.w. menjawab, “Mencegah diri dari berbuat kejahatan itulah sedekah.” (Hadis Riwayat: Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah. Tangan di atas adalah orang yang memberi dan tangan yang dibawah adalah orang yang meminta.” (HR. Bukhari no.1429, Muslim no.1033)

Biarpun tangan itu milik si pendosa, tetapi yang memberi tetap lebih baik daripada meminta. 

Hiduplah untuk memberi biarpun kita bukan digelar jutawan..

Dan episod ini benar-benar membuat saya mengalirkan air mata:


Semoga Allah berikan hidayah yang sebaiknya buat mereka..

Tuesday, 21 January 2014

Quote of the Day #1

Buku: Al-Ghazali's Letter to a Disciple


Penulis: Imam al-Ghazali
Penterjemah & Pengulas: Tobias Mayer

Buku ini wajib dibaca oleh semua yang bergelar pelajar bukan sahaja di sekolah atau universiti, tetapi pelajar yang sentiasa belajar erti sebuah kehidupan dan belajar bahawa tiada yang lebih banyak ilmu melainkan Tuhan.

Asal buku ini ditulis di dalam Bahasa Arab, kemudian diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris. Saya tidak pasti sama ada ia pernah diterjemahkan ke Bahasa Melayu atau pun tidak. Edisi yang saya baca ini bukan sahaja mengandungi terjemahan 'Ayyuhal-Walad' tetapi dimulakan dengan Mukaddimah panjang, biografi Imam al-Ghazali, dan ulasan tentang buku tersebut.

Buku ini sangat menarik kerana ia bukan buku terjemahan semata-mata, tetapi disertakan teks asal Bahasa Arab yang dilampirkan pada setiap muka surat berserta terjemahannya. Ianya sangat membantu untuk menghayati keindahan kedua-dua bahasa dan ternyata tulisan di dalam Bahasa Arab memberi kesan yang lebih mendalam ke dalam diri saya.

"lama benar tidak menghadam buku Bahasa Arab seperti dulu...."

Sejujurnya, saya belum lagi menghabiskan bacaan buku ini, sengaja mahu menghadamnya perlahan-perlahan agar nasihat yang terkandung di dalamnya sentiasa memberikan peringatan kepada saya sebagai pelajar dan penuntut ilmu.

Saya kongsikan sedikit isi di dalamnya. Setiap pelajar perlu:

1. Usah sibukkan diri dengan sesuatu yang bukan menjadi kepentingan
2. Amalkan ilmu yang ada
3. Bandingkan waktu yang digunakan untuk menuntut ilmu dan tidur. Hidup di dunia bukanlah untuk berehat.
4. Ilmu tanpa perbuatan adalah suatu kegilaan, dan perbuatan tanpa ilmu adalah suatu kekososngan.
5. Usahlah berhenti memohon keampunan kepada Tuhan ketika sibuk mencari ilmu
6. Bangunlah seawal yang boleh sebelum ayam berkokok di awal pagi.
7. Isipati sesuati ilmu itu adalah dengan mengetahui erti sebenar sebuah pengabdian dan ibadah kepada Tuhan.
8. Setiap kata-kata dan perbuatan seseorang yang berilmu perlulah selari dengan undang-undang Tuhan.
9. Jauhi ego, tamak dan sifat mementingkan diri sendiri
10. Disiplinkan diri sendiri dan sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri.

Cukuplah setakat ini, saya mahu terus membaca :)

Thursday, 2 January 2014

Hari-Hari Baru

Ada apa dengan tahun baru sekiranya kita masih bertakuk di tempat yang sama?

Ada apa dengan nombor yang semakin menaik tetapi amalan kita semakin menurun?

Persoalan ini saya lontarkan khas kepada diri sendiri kerana merasakan betapa sukarnya untuk saya mengubah diri ke arah yang lebih positif. Sesungguhnya benarlah kata Allah yang Maha Agung: "Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum sehingga mereka mengubah nasib mereka sendiri" (Surah al-Ra'd: 11)

Saya perlu berubah. Tahun masihi ini ada perkara besar dan penting yang perlu saya hadapi. Sekiranya saya masih tidak berganjak, impian yang saya bina selama ini bakal musnah dek kelalaian sendiri.

Ayuh jadikan setiap hari ialah hari yang baru.

Biarkan kesilapan semalam menjadi pengajaran, mulakan tindakan dengan hari ini dan bina impian untuk maju pada esok hari.