Monday, 28 April 2014

Semangat, berbungalah!


Musim Bunga sudah lama bermula. Alhamdulillah matahari juga rajin menjelma, kadangkala diselangi dengan titisan langit yang bahagia. Cuma kerajinan layu mendadak, entah kenapa..

April pula sudah ke penghujungnya. Saya menghitung hari memasuki bulan Mei dengan penuh debaran. Bulan Mei yang telah banyak mencatat banyak permulaan dan perjalanan, juga bulan yang menjadi bakal penentuan.

Duhai semangat,
Kembali berbungalah..
Perbaiki kembali niat dan tujuan
agar tidak terpesong ke sana sini
Semoga segala urusan dipermudahkan.

Tuhan, permudahkanlah dan maqbulkanlah...

Tuesday, 22 April 2014

Dua Bau Syurga

Syurga I

Salam Takziah buat keluarga Faisal Hamdi dan isterinya, kawan kepada suami kerana kembali anak mereka kepada Sang Pencipta yang Menghidupkan juga Mematikan. Anak itu adalah anak syurga yang menanti ibu bapanya di syurga juga.

Semoga mereka tabah dan redha di atas segala ketetapan Tuhan. Semoga Tuhan hadiahkan keindahan sabar buat mereka dan rezeki lain yang tidak disangkakan..

Syurga II

Salam Tahniah buat Ealyana dan Iffwat atas kelahiran cahaya mata kedua di bumi Birmingham. Alhamdulillah urusan melahirkan dipermudahkan biarpun menghadapi pelbagai cabaran lain.

Semoga anak yang lahir itu menjadi mujahid yang soleh (baik) dan musleh (mengajak orang lain bersama-sama melakukan kebaikan), terpelihara imannya dalam melangkah ke alam dunia yang penuh pancaroba.


*Bau syurga...

Wednesday, 12 March 2014

Kapal Terbang


Kapal terbang sebenarnya menjadi pengangkutan yang sangat hebat kerana boleh berada di awangan dalam tempoh yang agak lama. Pengalaman menaiki kapal terbang saya yang pertama ialah apabila Ayah mengajak kami sekeluarga menaiki MAS daripada Lapangan Terbang Senai, Johor Bahru menuju ke Lapangan Terbang Subang. Ketika itu saya masih bersekolah rendah dan memori pertama itu saya simpan rapi untuk menjadi semangat agar saya mampu membalas jasa Ayah dan membawanya 'terbang' pula suatu hari nanti.

Sejujurnya, pengalaman menaiki kapal terbang adalah satu kenangan yang manis dan akan diteruskan untuk membawa saya mengembara dunia.



Kini, dunia dan khususnya Malaysia digemparkan dengan peristiwa 'ajaib' kehilangan pesawat MH370 yang melibatkan 227 penumpang dan 12 anak kapal pada hari Sabtu, 8 Mac yang lalu.

Kejadian ini menimbulkan banyak spekulasi kerana pencarian selama hampir 5 hari masih belum menemui sebarang jawapan. Sayangnya, spekulasi akan tetap menjadi spekulasi selagi mana tiada sebarang bukti yang sahih. Lebih malang lagi, apabila ada segelintir masyarakat Melayu yang semakin 'layu' dalam menghadapi kejadian demi kejadian yang berlaku di negara kita. Saya mencari-cari agar ada 'air' dan 'baja' untuk menyuburkan kembali masyarakat di Malaysia, dan Alhamdulillah saya temui satu analisis yang terbaik setakat ini.

Sila tonton dan hayati:

)

'Perkara yang berlaku ini adalah Rahmat daripada Allah... untuk penyatuan dan kasih sayang... dan kembali kepada Pencipta dengan penuh rendah diri'
-Kapten Norudin Abdul Majid

Saya amat tertarik apabila beliau menyatakan bahawa sehebat mana pun teknologi, kuasa Tuhan tetap tidak dapat ditandingi manusia. Kebergantungan manusia terhadap sains dan teknologi ada had yang tertentu dan setiap yang menjadi tempat pergantungan perlulah menjadikan diri kita semakin dekat dengan Tuhan, dan bukan sebaliknya.

Semoga peristiwa yang terjadi ini membawa seribu rahmat dan hikmah kepada kita semua. Jika ia berakhir dengan tragedi buruk, lapangkanlah hati kami untuk menerima segala berita. Jika ia berakhir dengan kejadian yang baik, jadikanlah kami semua hamba yang sentiasa mensyukuri segala  NikmatMu ya Allah.

Ya Allah, peliharalah tanah airku..

Aminn

Wednesday, 5 March 2014

Wordless Wednesday: Thumbs Up!

God job Saadah!

Keep up your good work!

Mahu menyambung PhD?

Bismillahirrahmanirrahim

Entri kali ini saya tujukan khas kepada rakan-rakan yang merancang untuk melanjutkan pengajian kedoktoran (phD) di dalam apa sahaja bidang.

1. Betulkan Niat

Bukankah setiap amalan kita bermula daripada sebuah hasrat dan niat? Di dalam hadith Nabi telah menyebutkan bahawa "Setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan" (Hadith Bukhari & Muslim). 

Sekiranya niat menyambung PhD hanya kerana untuk mendapatkan gelaran, pangkat dan gaji yang lebih besar, hanya sekadar itulah yang Tuhan makbulkan. Sekiranya niat menyambung PhD adalah untuk menyahut seruan untuk menuntut ilmu dan menyumbang sesuatu kepada ummah, insyaallah juga Allah akan penuhi. Sekiranya niat menyambung PhD kerana dipaksa atau mengikut trend semasa, ia hanya akan menjadi sia-sia.

Betulkan niat dan perbaiki niat anda sepanjang proses PhD berjalan. Jadikan usaha untuk menyambung pengajian ini adalah kerana untuk mendekatkan diri dengan Tuhan, bukan untuk berbangga kepada manusia.


2. Plan, Plan and Plan

Fail to plan is plan to fail, oleh itu buatlah perancangan dengan sebaik-baiknya. Rancang sejak awal dengan WH questions sebelum menyambung pengajian. Sebagai contoh: Apa syarat2 kemasukan universiti? Universiti mana yang mahu dipilih? Bila mahu mulakan pengajian? Bagaimana mahu memohon?

Dan sediakan backup plan yang banyak.. Sebagai contoh: Jika universiti A tolak permohonan, pastikan ada universiti lain yang boleh kita cuba untuk memohon lagi. 

Rancang juga sumber kewangan dengan baik. Mohon apa sahaja biasiswa yang berkaitan dan boleh  mula rancang permohonan cuti belajar. Sekiranya sudah berkeluarga, usah abaikan perancangan untuk pasangan dan anak-anak. Sebagai contoh: suami/isteri perlu mohon cuti atau berhenti kerja, dan isu persekolahan anak-anak.


3. Mulakan Survey

Setelah merancang, work your plan! Buka laman web semua universiti yang berkaitan dan buat pemilihan. Kini, informasi boleh didapati dengan mudah dan kebanyakan laman web dikemaskini dengan baik. Pilihlah universiti yang selari dengan kajian yang dijalankan, bukan kerana tempatnya yang cantik atau mengikut kawan. Menurut seorang rakan, kini pihak kementerian menggalakkan untuk memilih universiti yang termasuk di dalam senarai The World University Ranking.

Baca syarat-syarat kemasukan dengan teliti, malah lakukan juga survey untuk memilih penyelia yang selayaknya boleh menyelia kajian kita selama tiga tahun. Biodata penyelia juga boleh didapati dengan mudah melalui laman web universiti.


4. Hubungi Potential Supervisor

Sebelum memohon, hubungi bakal penyelia yang bersesuaian dengan bidang kajian. Ia menjadi syarat penting untuk mendapatkan kelulusan daripada penyelia terlebih dahulu sebelum pihak universiti meluluskan permohonan. Sekiranya supervisor A menolak, hubungi lagi supervisor yang lain. Elakkan mengubungi supervisor yang banyak dalam masa yang sama. Oleh itu, buat senarai potential supervisor, dan letakkan keutamaan siapa yang mahu dihubungi dahulu mengikut kesesuaian masing-masing.

Saya terjumpa satu blog yang berkongsi kandungan di dalam emel untuk dihantar kepada potential supervisor, boleh klik SINI untuk baca. Melalui blog tersebut, saya boleh simpulkan bahawa emel perlulah mengandungi: Pengenalan diri dan bidang yang diceburi, tajuk cadangan, biasiswa yang ditawarkan, dan sedikit pengalaman yang kita ada dalam melakukan kajian.


5. Isi Borang Permohonan

Sekiranya telah mendapat 'lampu hijau' dan kelulusan daripada supervisor untuk menyelia sepanjang tiga tahun, boleh terus isi borang permohonan universiti yang berkaitan. Permohonan boleh dibuat melalui atas talian sahaja, tetapi ada beberapa dokumen penting yang perlu juga dipos kepada pihak universiti. Kebanyakan universiti juga akan memaklumkan bila jawapan akan diberikan setelah memohon. Amat penting untuk memenuhi syarat dan kelayakan yang diperlukan sebelum memohon.



Rajah di atas ini saya temui di SINI
dan ia sedikit sebanyak sama seperti apa yang telah dinyatakan di atas.


6. Doa dan Tawakal

Sebagai Muslim, setiap usaha perlu diakhiri dengan doa dan tawakal kepada Allah. Kita telah berusaha dan telah merancang dengan sebaiknya, tetapi Allah lah sebaik-baik perancang. Setiap kejayaan dan kegagalan semuanya telah ditentukan. Berdoalah agar semua urusan kalian menyambung PhD ini dipermudahkan.


Semoga Berjaya!

Friday, 21 February 2014

Buku: Ulu Yam di Liverpool

Penulis: Nazali Noor

Buku kali ini adalah kisah kehidupan seorang pensyarah yang berhijrah daripada Ulu Yam ke Liverpool. Tertarik dengan buku tersebut kerana sememangnya saya adalah peminat buku travelog, saya membeli secara online dan meminta bantuan dari seorang rakan untuk membawanya ke Birmingham. Beliau juga menyambung pengajian seperti saya. Buku ini baru juga dilancarkan tahun lepas setelah beberapa bulan saya tiba di bumi ratu ini.

UYDL banyak mengisahkan tentang kehidupan peribadi penulis daripada sejak kecil sehinggalah kejayaannya menjadi pensyarah kanan di Liverpool John Moores University, malah berjaya membeli rumah sendiri di England biarpun penulis bukan berstatus PR.

Saya dapat simpulkan bahawa peribahasa Melayu "berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian" memang menjadi satu motivasi terbaik bagi mereka yang pernah mengalami kesusahan. Allah juga telah meyakinkan sebanyak dua kali di dalam Surah al-Insyirah bahawa setiap kesusahan pasti ada kesenangan. Penulis banyak berkongsi tentang cabaran dan ujian yang beliau hadapi telah membakar semangatnya untuk memperolehi kesenangan di kemudian hari, terutama untuk membalas jasa orang-orang yang baik di sekelilingnya dan menjanjikan kebahagiaan buat isteri dan anak-anaknya.

Liverpool memang popular dengan pasukan bolanya yang memegang kata-kata "You Never Walk Alone". Jadi tidak hairanlah penulis sekeluarga adalah penyokong tegar pasukan tersebut. Saya belum berkesempatan ke stadium bola Liverpool biarpun pernah bermalam di Liverpool ketika mengikuti rombongan ke Scotland akhir tahun lepas. Rasanya pengalaman satu malam di Liverpool terlalu sedikit untuk diceritakan. Insyaallah saya dan suami pasti mengunjungi lagi ke Liverpool kerana di situ terletaknya jeti untuk menaiki feri menuju ke Isle of Man, tempat idaman suami menonton perlawanan lumba motorsikal.

Berbalik kepada buku UYDL, kisah-kisah di dalamnya tidak begitu tersusun. Malah ia lebih bercorak santai berbanding buku Aku Melayu di Kota Inggeris yang juga menceritakan travelog kehidupannya yang menyambung pengajian di Lempeter, UK. Kedua-dua buku ini mempunyai kekuatan yang tersendiri. Tetapi ada satu kelebihan penulis yang tidak saya nafikan ialah tulisannya mampu mengubah perasaan pembaca bertukar kepada sedih, cemas, dan gembira. Ada juga beberapa bahagian di dalam UYDL yang bersifat keagamaan, dan seronok membaca apabila anak-anaknya dipupuk dengan nilai-nilai Islam walaupun membesar di tanah barat.

Saya akhiri entri kali ini dengan peribahasa Melayu "Hujan emas di negeri orang, lebih baik hujan batu di negeri sendiri." Sesungguhnya saya pasti penulis (dan saya) merasakan kehidupan di negara orang ini seperti dihujani emas yang tidak henti. Terlalu banyak perbezaan jika dibandingkan dengan negara sendiri. Ambillah emas-emas tersebut, dan berkongsilah dengan keluarga dan sahabat kita yang dihujani batu di tanah Melayu. Inilah yang saya fikirkan sekiranya tiba-tiba terlintas di fikiran saya untuk terus menetap di bumi Inggeris ini sekiranya selesai pengajian kelak..

Saadah Khair,
Dari JB ke Birmingham.

Info tambahan: Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas penulis yang telah meninggal dunia pada 9 Julai 2020 di Liverpool, UK.

Friday, 14 February 2014

Kembara ke Oxford


Menyebut nama Oxford pastinya ramai yang terbayangkan betapa hebatnya University of Oxford di mata dunia. Memegang tempat kedua di ranking dunia, saya berkobar-kobar ingin mengenali bandar Oxford yang mengambil masa satu jam lebih perjalanan dari Birmingham.

Tujuan utama kembara kali ini ialah untuk menjejaki gedung ilmu dan berhasrat untuk meminjam beberapa bahan rujukan daripada perpustakaan universiti. Alhamdulillah sebagai pelajar, saya diberi kelebihan untuk mengakses mana-mana perpustakaan universiti yang terpilih melalui skim sconul, dan Oxford Library termasuk di dalam senarai tersebut.

Memandu kenderaan sendiri ternyata mempunyai kelebihan dan kekurangan. Di antara kelebihannya ialah tiada halangan masa, lebih relaks dan boleh membawa bekal makanan dengan lebih mudah. Tetapi kekurangan utama ialah letih mencari kawasan parkir kereta yang kebanyakannya terhad dan sangat mahal terutama di hujung minggu.

Destinasi pertama kami ialah universiti dan bangunannya tidak tersusun (sama seperti yang telah digambarkan oleh seorang rakan). Tiada papan tanda besar universiti, malah Oxford rupanya bandar kecil yang dipenuhi dengan penunggang basikal. Saya memasuki perpustakaan dengan penuh bersemangat tetapi rupa-rupanya saya tersilap. Perpustakaan yang saya masuki bukanlah perpustakaan yang saya harapkan, ia adalah destinasi pelancong untuk melihat kawasan penggambaran Harry Potter dan ternyata ia perlukan bayaran. Saya juga baru tahu bahawa ada hampir 10 perpustakaan di Oxford!



Walaupun saya adalah di antara peminat Harry Potter tetapi ia tidak termasuk di dalam perancangan saya menjejaki Oxford. Saya mengambil peluang ke muzium berhampiran dan ada sesuatu yang lebih menarik minat saya, iaitu kedai buku!

Blackwell adalah penerbit dan penjual buku sejak tahun 1879 dan ada beberapa cawangan terletak di Oxford. Memasuki kedai buku Blackwell di Oxford ini adalah seperti memasuki rumah 4 tingkat yang lengkap dengan bilik air percuma, kedai kopi, dan ruangan membaca yang selesa. Saya terus menuju ke kawasan buku-buku terpakai (2nd hand books) kerana saya tahu ia menawarkan harga buku yang lebih murah dan kualitinya juga masih baik. Jujur saya menjadi sangat tamak untuk membeli buku-buku tersebut tetapi masa yang ada adalah sangat terhad memandangkan waktu parkir kereta hampir tamat. 

hasil membeli-belah

Kami mencari lagi kawasan parkir kereta yang lain, dan kali ini berhasrat untuk melihat beberapa tinggalan sejarah di Oxford. Ada satu istana lama yang terletak di belakang bukit yang kecil. Kami tidak bercadang untuk masuk ke istana kerana pastinya ia memerlukan bayaran, jadi kami mengambil keputusan untuk mendaki bukit tersebut. Di atasnya kami dapat melihat bandar Oxford dan angin sangat kuat meniupi kami untuk turun daripada bukit yang kami sangkakan ianya percuma. Tetapi rupa-rupanya pengunjung perlu buat bayaran terlebih dahulu sebelum mendaki, malangnya kami tidak membawa sebarang wang tunai untuk membayar kepada pegawai yang datang memeriksa semua pengunjung istana rahsia. Saya mendapati bahawa papan tanda masuk ke bukit tersebut tidak begitu terancang sehingga kan ramai pengunjung tidak mendapat maklumat yang sebenar. Akhirnya kami dihalau setelah perjalanan kami di atas bukit tersebut selesai. Oh, jimat duit! hehe..



Setelah dihalau (baca: lari), kami menemui satu lagi bangunan terlama yang telah didirikan di Oxford. Ia terletak betul-betul di kawasan membeli-belah Oxford. Walaupun bandarnya kecil, tetapi masih sesak dengan pengunjung dari pelbagai latar belakang manusia. Sesak tetapi seronok melihat gaya dan ragam manusia. Ramai juga warga Malaysia yang kami temui berminat dengan bandar comel Oxford ini. Makanan halal juga mudah ditemui, tetapi kami tidak berkesempatan untuk mencari masjid yang berhampiran.

Waktu siang yang pendek mencemburui kami. Ketika perjalanan keluar daripada Oxford, saya ternampak perpustakaan yang ingin saya kunjungi di awal rancangan perjalanan kami. Tetapi sayangnya, bukan kali ini. Insyaallah saya akan datang lagi ke Oxford dan yang pastinya lebih selesa dengan pengangkutan awam dan berjalan kaki atau menyewa basikal mengelilingi Oxford.

Sampai ketemu lagi!