Monday, 26 November 2018

Wacana Buku



Ahamdulillah Ahad lepas saya berpeluang berkongsi tentang sebuah buku yang banyak manfaatnya buat kaum Hawa. Ia juga wajar dibaca oleh kaum Adam memandangkan hidup ini adalah untuk melengkapi antara lelaki dan juga perempuan, terutama dalam kehidupan yang diikat menjadi sebuah perkahwinan.

Ia sebuah perkongsian bagi mengupas dengan lebih lanjut tentang buku tulisan Abdullah Abdul Rahman, seorang ulama Melayu yang berasal daripada Johor. Buku tersebut telah saya ulas secara ringkas dalam pertandingan yang telah dianjurkan oleh penerbit buku, dan telah terpilih sebagai salah seorang daripada pemenang.

Tertulis ulasan buku sebagaimana yang berikut:

Risalah Seruan Kepada Jenis Yang Lembut Perempuan-Perempuan


Edisi pertama buku ini telah dicetak dan dikeluarkan oleh Jamiliyah Press, Muar, Johor pada tahun 1939. ‘Abdullāh ‘Abdur-rahmān menyatakan di dalam pengenalan buku ini bahawa karya ini sebenarnya adalah terjemahan kepada tulisan Sayyid Muḥammad Rashīd Riḍā yang telah dikarang dalam bahasa Arab dengan tajuk asalnya ialah Nidāˊ ilā Jins al-Laṭīf atau Huqūq al-Nisāˊ fī al-Islām. Ia juga telah diterjemahkan kepada pelbagai bahasa, dan buku ini adalah satu-satunya terjemahan dalam bahasa Melayu.


Naskhah asal buku ini dijadikan bentuk digital dan disimpan di Perpustakaan Sri Lanang, UKM dalam keadaan yang baik. Ini dinyatakan oleh penerbit di permulaan buku sebagai menghargai kewujudan naskhah asal yang boleh dirujuk sekiranya perlu. Buku ini mengandungi 32 bab, dimulai dengan bab pengenalan yang ditulis oleh ‘Abdullāh ‘Abdur-rahmān sendiri, diikuti dengan kata aluan oleh ‘Abdu’l-Majid Qurshi, dan juga pendahuluan buku sebelum bab pertama.

Antara kandungan penting buku ini ialah kedudukan perempuan yang tidak berbeza dengan lelaki dan hak-hak perempuan dalam pelbagai aspek kehidupan. Buku ini mengangkat martabat perempuan dengan mengiktiraf bahawa perempuan juga berhak mempunyai kebebasan memilih dan berperanan sebagai pendamping bagi kaum lelaki. Ia juga mengandungi hal-hal berkaitan perkahwinan, seperti nushuz dan poligami, dari pelbagai perspektif. Beberapa pandangan tokoh Barat juga dipetik bagi membicarakan tentang sejarah, hak dan peranan perempuan dalam tamadun mereka yang boleh dibandingkan dengan tamadun Islam.


Tahniah kepada Akademi Jawi Malaysia atas usaha murni menerbitkan karya ini dalam tulisan rumi, disertakan juga dengan naskhah jawi yang asal. Tahniah juga kerana menganjurkan wacana buku seperti ini, dan terima kasih untuk peluang ini.

Ada rezeki, kita bertemu lagi, InsyaAllah!


Thursday, 25 October 2018

Syukur

Bismillahirrahmanirrahim

Jika disebut tentang syukur, terlalu banyak perkara yang saya perlu syukuri. Tidak terkata banyaknya nikmat Allah yang saya terima, malah ada juga yang kadangkala terlupa untuk disyukuri. Terima kasih Tuhan kerana berulangkali meningatkan "Nikmat manakah yang kamu dustakan" di dalam Surah al-Rahman. Syukur kerana peringatan ini menjadi kekuatan untuk terus mensyukuri tanpa ada sedikit jemu di hati.

Oktober ini melakar sebuah sejarah dalam kehidupan ini bahawa perjalanan yang panjang itu telah pun berakhir. Biarpun begitu, ia sebenarnya juga adalah sebuah permulaan kepada perjalanan yang lebih panjang. Terlalu banyak lagi ilmu Allah yang perlu saya gali dan pelajari. Dan semakin banyak yang saya terima, biarlah seperti padi: semakin berisi, semakin menunduk ke bumi.

Alhamdulillah!

Semoga Allah jauhkan dari segala Perasaan Hasad Dengki juga semua sifat mazmumah dan bangga diri.
Semoga Allah jaga hati ini...


Oktober ini juga saya sah mendapat jawatan yang lebih mencabar dan penuh tanggungjawab. Ia hadir dengan sebuah amanah. Orang pertama yang terlintas di hati untuk saya kongsikan kegembiraan ini ialah Ayah. Tuhan sahaja yang mengerti bahawa rindu buat yang sudah pergi itu terlalu sakit, tetapi masih dapat ditanggung kerana orang-orang yang disayangi masih ada lagi di sisi. Terima kasih buat suami yang sentiasa beri sokongan dengan caranya yang tersendiri. Dia ibarat Ayah yang tidak pernah bertanya tetapi mendoakan di dalam hati. Saya pasti dia juga bersyukur dan lega atas pencapaian saya walaupun tanpa ekspresi. Tidak sabar jua bertemu Emak hujung minggu ini dan berkongsi kegembiraan bersamanya pula. Doa Emak adalah perisai kejayaan saya selama ini.

Alhamdulillah!

Terlalu banyak saya ingin kongsikan kepada anak-anak pada suatu hari nanti. Saya mahu menjadi contoh terbaik buat mereka. Tetapi dalam masa yang sama tidak mahu memaksa untuk meniru perjalanan hidup saya. Saya pasti Allah juga telah tuliskan yang terbaik untuk mereka. Tetapi sebagai Ibu, saya bertanggungjawab memberikan yang terbaik dan mendorong mereka ke arah jalan yang terbaik, supaya mereka menjalani kehidupan yang penuh dengan kebaikan. Syukur juga perjalanan panjang lima tahun itu saya dikurniakan 3 anak: Afeef, Afnan, dan tesis PhD!

Alhamdulillah!

Saya akhiri dengan kata-kata di bawah, sebagai peringatan untuk diri saya sendiri:

Image result for hadith tentang syukur


Tuesday, 4 September 2018

Menulis untuk apa?

Ada orang menulis kerana nama.
Ada orang menulis kerana untuk berkongsi ilmunya
Ada juga yang menulis kerana itu adalah kerja utamanya
Ada juga yang menulis kerana suka-suka
Tetapi ada juga yang menulis kerana terpaksa

Islam mempunyai sejarah yang hebat tentang penulisan. Biarpun Nabi Muhammad SAW tidak tahu menulis dan membaca, tetapi ada sebuah hadith baginda yang mengatakan: "Ikatlah ilmu dengan penulisan". Jika diimbas kembali sejarah penulisan Qur'an pada zaman Rasulullah SAW, saya sangat kagum dengan juhud dan sifat kreatif mereka dengan menggunakan apa yang ada untuk menulis. Berbeza dengan zaman serba canggih penuh teknologi ini, tulisan boleh dibuat dengan pelbagai cara yang lebih mudah.

Persoalannya, 
Adakah perlu kawalan untuk sesuatu penulisan?
Siapakah yang perlu menulis?
Kenapa sesuatu perkara itu perlu ditulis?

Semua soalan-soalan ini perlu diperhatikan pada sesiapa sahaja yang berhajat untuk menulis. Tertarik dengan kata-kata al-Jahiz yang perlu direnungkan bersama:


"A writer should never write a book except with the assumption that all people are his enemies, have full knowledge of all matters, and have nothing better to do than critique his work."



Sehingga kini, saya masih belajar untuk menulis. Kadangkala takut untuk menulis, kerana apa yang ditulis akan dihisab suatu hari nanti. Malah, di dunia ini pun pasti akan dikritik. Lalu soalan yang sama ditujukan buat diri, kenapa saya perlu menulis?

Sedang mencari jawapan, saya teruskan juga menulis. Bukan untuk sesiapa, tetapi untuk diri sendiri agar terus berhati-hati. Menulis bukan untuk mencari kesalahan orang lain. Tetapi mengislah diri untuk terus perbaiki diri.

Saya akhiri dengan kata-kata ini:


Friday, 24 August 2018

Tiga Puluh Tiga

Benarlah bahawa umur itu sekadar angka
yang dihisab bukan selama mana kita bernyawa
tetapi iman dan amalan yang menentukan syurga atau neraka

Syukur Yang Esa
dalam kehidupan tiga puluh tiga
aku masih bernyawa
cukup anggota
sihat tanpa penyakit nista

Syukur Yang Esa
dalam kehidupan tiga puluh tiga
aku masih anak kepada bonda
biarpun ayah sudah tiada
tanggungjawab seorang anak itu masih ada

Syukur Yang Esa
dalam kehidupan tiga puluh tiga
aku adalah isteri kepada suami tercinta
mengharap redha dia
berdoa agar sakinah, mawaddah wa rahmah sentiasa
bahagia hingga ke syurga

Syukur Yang Esa
dalam kehidupan tiga puluh tiga
aku adalah ibu kepada dua cahaya
penyejuk hati dan mata
semoga membesar dalam iman, islam, dan taqwa
dijauhkan segala malapetaka
dan dididik dengan penuh kasih dan cinta

Syukur Yang Esa
dalam kehidupan tiga puluh tiga
akhirnya pengajianku berakhir juga
jalan paling mencabar yang penuh pancaroba
biarpun berakhir, tetapi ia adalah satu permulaan yang bermakna
agar aku terus mencari ilmu di dada
tunduk, tawaduk, dan berlapang dada
dijauhkan riak, sombong, dan mengangkat kepala
dan sentiasa menghormati sesama manusia

Syukur Yang Esa
aku kini tiga puluh tiga
dua puluh empat sembilan belas lapan lima

Alhamdulillah!


Tuesday, 7 August 2018

#MalaysiaMembaca

Bismillahirrahmanirrahim

Entri ini dikongsi bertujuan menyahut cabaran Menteri Pendidikan baru, Dr. Maszlee Malik. Walaupun sepuluh adalah jumlah yang sedikit buat saya, tetapi ia saranan dan permulaan yang baik untuk menggalakkan budaya membaca. Malaysia harus dilihat sebagai sebuah negara yang membaca. Dan membaca perlu dijadikan budaya. Bukankah you are what you read?


Sejujurnya, adalah tidak adil jika buku-buku di bawah disusun mengikut turutan mana yang lebih baik. Setiap satu daripadanya mempunyai keistimewaan tersendiri, dan bagi saya, buku-buku ini adalah di antara yang pernah mempengaruhi minda, emosi, spiritual dan sikap saya sebagai pembaca.

1. Al-Ghazali’s letter to a Disciple – Notes by Tobias Mayer
Saya pernah kongsikan tentang buku ini di SINI, dan saya syorkan buat semua penuntut ilmu membaca buku ini. Saya boleh membaca buku ini berkali-kali kerana setiap bait nasihat di dalamnya menusuk ke dalam hati.

2. The Alchemist – Paulo Coehlo
Buku ini mempunyai sebuah kuasa luar biasa, dan ingatan saya kembali kepada saat-saat pertama mengenal penulis buku ini pada tahun 2010. Mempunyai mesej yang sangat baik untuk berusaha mendapatkan sesuatu, melawan segala ketakutan bagi menghadapi cabaran, cara membuat keputusan, dan pelbagai lagi mesej yang positif. Buku ini juga telah diterjemahkan ke dalam 70 bahasa. Selepas the Alchemist, saya mula membaca novel-novel lain tulisan Paulo Coehlo, antaranya Like the Flowing River, the Zahir, By the River Piedra, Brida dan lain-lain lagi.

3. Misquoting Muhammad –  Jonathan A. C. Brown
Buat pengkaji hadith, buku ini mampu mengubah beberapa persepsi tentang orientalis dan konsep interpretation dari sudut yang lebih luas. Hadis disandarkan secara keseluruhan kepada Nabi Muhammad SAW, tetapi persoalannya adakah semua yang dicatat atau tercatat itu disandarkan sama seperti realitinya.

4. Risah Untuk Kaum Muslimin, dan Islam & Secularism – Syed Muhammad Naquib al-Attas
RUKM ialah buku wajib dibaca bukan sahaja penting bagi bangsa melayu, bahkan seluruh Muslimin sedunia, kerana permasalahan yang terhurai di dalamnya mengandungi kekeliruan mendalam yang sama sedang dideritai oleh Kaum Muslimin di merata dunia. Manakala Islam & Secularism pula adalah analisis tentang beberapa konsep penting yang wajib juga dihadam buat Muslim: islamisation, secularisation, dan de-westernisation.

5. Al-Muhaddithat: The Woman Scholars in Islam – Mohammad Akram Nadwi
Buku ini pernah saya kongsikan di SINI. Ia adalah salah satu buku yang menyuntik semangat PhD pada zaman ketika sedang menyiapkan proposal. Sehingga kini, saya masih merujuk buku ini, dan semangat masih belum pudar untuk mencontohi beberapa nama hebat di dalam buku ini.

6. Ibu Melayu Mengelilingi dunia – Tan Sri Aishah Ghani
Catatan kembara ini juga pernah saya kongsikan di SINI. Penuh dengan perkongsian pahit manis seorang wanita melayu yang menuntut ilmu di Tanah Inggeris sambil meninggalkan anak-anaknya. Sebuah perjalanan dan pengembaraan yang menarik dengan menaiki kapal ke kota London.

7. Minda Tertawan: Intelektual, Rausyanfikir dan Kuasa –  Raja Ahmad Aminullah.
Buku ini dibaca pada tahun 2011, dan saya pernah kongsikan sedikit intinya di facebook. Penulis tidak memihak kepada sesiapa di dalam menyatakan kebenaran. Para intelek, cendekiawan dan rausyanfikir bukanlah suatu bentuk pekerjaan untuk mendapatkan keuntungan material, pangkat mahupun kuasa, tetapi ia harus dilihat sebagai pilihan untuk membangunkan agama, bangsa dan negara.

8. 1511H (Kombat) –  Faisal Tehrani
Bagi saya, ini buku terbaik tulisan FT. Sangat wajar difilemkan dan saya akan menantikan saat itu. Sebuah novel fiksyen yang mengandungi unsur futuristik. Berlatarkan tahun 1511 Hijrah bersamaan dengan tahun 2087 Masihi. Teknologi moden seperti Cyborg, cypher, sarcos serta pelbagai lagi. Ada misi baik yang boleh diterima, dan ada juga misi yang mungkin hanya mimpi semata-mata.

9.  Reclaim your Heart –  Yasmin Mogahed
Buku ini adalah ibarat ubat hati. Bagaimana untuk menjaga sebuah hati agar tidak terbuai dengan sesuatu yang bersifat sementara. Bagaimana untuk membawa hati kepada sebuah erti yang lebih bermakna. Penuh inspirasi.

10. For One More Day – Mitch Alborn
Perkongsian ringkas tentang buku ini ada di SINI. Jika diberi peluang dan keizinan Tuhan, orang yang saya mahu jumpa untuk sekali lagi biarpun hanya sehari ialah Ayah saya. Terlalu banyak untuk dikongsi dengannya. Benarlah bahawa kehilangan adalah sebuah pengajaran bahawa hidup ini adalah terlalu singkat untuk dibazirkan begitu sahaja.

p/s: senarai ini akan saya perbaiki setiap tahun bermula pada tahun ini.

Monday, 30 July 2018

Buku Tentang Buku

Bismillahirrahmanirrahim

Di Malaysia, genre ini adalah antara yang kurang popular tetapi sudah mendapat perhatian banyak pembaca. Dua buku yang saya beli pada PBAKL tahun ini adalah termasuk dalam kalangan genre buku tentang buku.


Buku pertama bertajuk "Kertas-kertas yang Merubah Fikir" yang mengimpunkan cerpen tulisan ahli Goodreads Malaysia tentang kisah peribadi mereka dengan buku. Tulisan santai dan mudah dihadam. Membaca kisah-kisah di dalamnya mengimbas kembali pengalaman bagaimana saya jatuh hati dengan buku. Abang sulung saya rajin membeli koleksi Enid Blyton yang diterjemahkan ke Bahsa Melayu. Kisah pengembaraan tersebut membuat saya dekat dengan buku dan sanggup menghabiskan bacaan walaupun sudah disuruh tidur. Lalu saya suka membaca dalam gelap sehingga menyebabkan saya rabun. 

Pada zaman sekolah menengah, saya leka dengan novel-novel melayu seperti tulisan Ahadiat Akashah. Kebanyakan buku-buku tersebut dipinjam daripada rakan yang tinggal sama-sama di asrama, kerana saya tahu Ayah tidak akan membenarkan saya membeli novel cinta seperti itu. Zaman remaja memang penuh dengan kenangan yang tidak akan dilupakan termasuklah mengambil giliran membaca novel kawan.

Kemudian saya berjinak dengan buku bahasa Inggeris apabila membaca buku Harry Potter sambil membawa kamus ke mana-mana. Dan saya seperti biasa terbuai dalam dunia imaginasi yang menjadikan saya jatuh cinta dengan siri tersebut. 

Dunia buku saya semakin serius apabila saya berada di pusat matrikulasi UIA. Saya terdedah dengan pelbagai genre buku yang mendewasakan saya. Saya belajar banyak dengan membaca. Saya juga mengikut jejak langkah Ayah dengan suka membeli buku yang saya suka. Ada juga buku yang saya suka tapi tidak membelinya, tetapi menghabiskan masa di kinokuniya dan MPH semata-mata untuk menghabiskan buku tersebut. Ah zaman itu indah belaka. Menyertai beberapa kelab buku, menghadiri pesta buku setiap tahun, dan menambah koleksi buku peribadi.

Fasa cinta buku saya juga berubah apabila saya menyambung pengajian di UK. Nikmat bahagia sangat terasa apabila buku di sini jauh lebih murah. Buku terpakai ada di mana-mana. Pembelian atas talian laju sahaja. TETAPI, zaman ini saya hanya membeli untuk menambah koleksi, dan membataskan bacaan kepada buku yang berkaitan phd. Ada juga sesekali saya kirimkan pada kawan untuk membeli buku dari tanah air. Tapi fasa ini banyak dihabiskan masa dengan bacaan ilmiah.

Kini, saya banyak luangkan masa untuk membaca buku-buku yang dibeli beberapa tahun lalu yang menunggu giliran untuk dibaca. Saya juga sudah boleh melepaskan beberapa buku yang saya rasa perlu diberi kepada orang lain. Koleksi buku yang saya bina sekarang adalah sangat berharga, dan mungkin juga satu hari nanti ada juga yang perlu dilepaskan pergi. Proses membeli buku masih berjalan seperti biasa, tapi saya lebih memilih dan berhati-hati.

Tapi, cinta saya kepada buku masih tidak berbelah bagi..


Buku kedua ialah "Projek Bibliofil: Melawan Mitos Bangsa Malas Membaca", tulisan Zahrah Yunos. Ia adalah buku ringan yang dihasilkan untuk membentuk sikap suka membaca. Banyak tips yang dikongsi. Ada kata-kata hikmah di setiap permulaan bab. Ada ruang soalan dan pilihan jawapan. Ada ruang catatan yang boleh ditulis pembaca, dan bab 10 ialah klimaks untuk memulakan bacaan dengan mengisi jurnal membaca.

Buku ini sangat sesuai bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan buku. Saya sangat galakkan buku ini ditawarkan kepada pelajar sekolah menengah kerana dunia itu adalah dunia kepada permulaan minat dengan buku (berdasarkan pengalaman peribadi). Tetapi bagus kepada semua peringkat kerana perkongsiannya yang santai untuk menggalakkan kita membaca buku.

Thursday, 12 July 2018

Salam Ulangtahun Yang Pertama


Happy 1st Birthday Afnan!

Alhamdulillah, Afnan genap setahun pada 11 Julai 2018. Terlalu sekejap masa berlalu. Sungguh saya tak menyangka yang Afnan sudah pun setahun, mungkin kerana tubuh fizikalnya yang kecil, jadi saya sangkakan dia masih bayi yang masih beberapa bulan.

Sejujurnya, saya perlu luangkan masa yang lebih untuk Afnan secara bersendirian. Berbeza dengan Afeef, saya melihatnya membesar di hadapan mata untuk hampir keseluruhan perubahannya. Cuti belajar adalah peluang yang sangat baik untuk melihat tumbesaran anak, malah suami saya sendiri yang menjaga Afeef sehinggalah kami pulang ke Malaysia.

Afnan sudah dihantar ke taska sejak umurnya 3 bulan, dan hati saya bagai dirobek kerana terlalu banyak masa yang hilang untuk melihat perkembangannya. Tugasan kerja dan juga perjuangan menulis tesis adalah pengorbanan yang Afnan lalui bersama. Dia juga adalah sumber kekuatan untuk saya menamatkan perjalanan PhD, tetapi dia juga terpaksa mengharungi pengorbanan ini bersama-sama. Suatu hari nanti, maafkan ibumu ini ya sayang. Ibu pasti yang Afnan akan menjadi seorang yang sangat berdedikasi dan lebih berjaya daripada Ibu. Amin.

Selamat menghadapi tahun-tahun yang mendatang dengan penuh kegembiraan sayang..
Semoga Allah sentiasa berkati umurmu dengan kesihatan dan keberkatan.
Semoga kamu dibesarkan dalam Iman, Ihsan, dan agama Islam ini yang menjadi tunjang kehidupanmu sayang.
Semoga kamu mencipta impian yang indah, dan berusaha menjadikannya kenyataan.
Semoga kamu dikurniakan kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Semoga kamu menjadi anak Ibu selamanya, my baby forever..

Amin!

❤ Ibu