Thursday 23 September 2010

Pencinta Buku


Pada 21 September 2010, saya telah menyertai satu seminar sebagai santapan rohani di Aidilfitri ini setelah terlalu banyak menghadami santapan juadah istimewa Hari Raya. Seminar Pencinta Buku Malaysia 2010 telah diadakan di Bangunan ITNM anjuran ITNM dan Komuniti Buku Online. Rancangan asal pergi bersama sahabat tidak tercapai, tapi tidak menghalang untuk saya pergi berseorangan diri. Sebagai pencinta buku yang tegar, saya pasti akan bertemu ramai rakan baru yang kebanyakannya merupakan pencinta buku.

Seminar ini dirasmikan oleh LAT atau nama penuhnya YB Dato' Mohamed Nor Khalid. Ini kali pertama saya melihatnya secara langsung sekaligus mendengar perkongsian lucu dan pengalaman berharga daripada beliau. Saya kagum. Malah satu perkara yang saya tidak dapat nafikan ialah bakat itu anugerah Tuhan yang tidak boleh dijual beli.


Saya sangat teruja ketika Sidang 3 sedang dijalankan yang membariskan tiga tetamu undangan khas berkongsi kertas kerja mereka. Kertas kerja pertama dibentangkan oleh Tuan Syed Nurul Akla Syed Abdullah yang merupakan seorang penterjemah karya hebat Ibn Battutah dari Bahasa Arab ke Bahasa Melayu. 10 tahun proses penterjemahan bukanlah satu tempoh yang sedikit, malah usahanya itu adalah satu perjuangan di mana rakyat Malaysia boleh membaca kisah perjalanan Ibn Battutah mengelilingi dunia di dalam bahasa yang mudah difahami. Beliau berkongsi bahawa penterjemahan bukan sahaja memerlukan ketepatan, akan tetapi keindahan (estetika) di dalam penghayatan untuk membaca sesebuah karya.

Perkongsian Dr. Faisal Tehrani juga adalah di antara sesi yang saya nantikan. Beliau membincangkan konsep penterjemahan dari sudut sebagai seorang pengarang, dan telah menyatakan minat beliau terhadap karya terjemahan dari bahasa Parsi. Menarik. Sebelum ini saya tidak pernah terfikir mahu belajar bahasa ini berbanding Bahasa Arab yang sudah saya pelajari dari kecil, atau Bahasa Inggeris yang wajib di UIAM, atau Bahasa German yang kelasnya saya ikut sekali-sekala, atau Bahasa Perancis yang selalu saya kerling tertarik, atau Bahasa Urdu yang romantik. Mungkin satu hari nanti, saya mahu juga mencuri tahu beberapa perkataan bahasa Parsi yang mudah dan indah. Berbalik kepada FT, beliau mengambil dua contoh pemikir hebat; Ali Shariati (Syiah) dan Jalaluddin Rumi (Sunni), dengan membawa karya-karya mereka yang diterjemahkan ke dalam banyak bahasa dunia. Dari perbahasan beliau, ada juga kontroversi kecil tidak diundang samada dia sengaja atau tidak, tapi mendatangkan beberapa persoalan yang barangkali sudah mafhum oleh para pendengar. Saya tidak mahu mengulas banyak, tapi saya sangat tertarik dengan satu perkara, iaitu Rausyanfikir.


Perkataan rausyanfikir ini didengar pertama kali pada seminar bersama Syed Naquib al-Attas pada beberapa bulan yang lepas. Jujur saya tidak mengerti makna disebaliknya. Tapi FT berjaya merungkai maksud rausyanfikir itu dengan membuat perbandingan di antara rausyanfikir dan ilmuwan. FT juga telah mengambil kata nukilan Prof. Jalaluddin Rakhmat yang dimasukkan ke dalam kertas kerja. Ia berbunyi: "Rausyanfikir berbeza dengan ilmuwan. Seorang ilmuwan mencari kenyataan, seorang rausyanfikir mencari kebenaran. Ilmuwan hanya menampilkan fakta sebagaimana terdapat, rausyanfikir memberi penilaian sebagaimana seharusnya. Ilmuwan berbicara dengan bahasa universal, rausyanfikir berbicara seperti nabi dengan menggunakan bahasa kaumnya. Ilmuwan bersikap neutral dalam menjalankan pekerjaannya, rausyanfikir harus melibatkan diri pada ideologi. Sejarah, kata Shariati dibentuk hanya oleh kaum rausyanfikir." Jadi, adakah cukup hanya menjadi seorang ilmuwan atau rausyanfikir? Fikirkanlah...

Saya tidak menyokong seluruhnya dengan pandangan FT, tapi saya yakin dia ada sebab untuk berpandangan sedemikian. Malah dia pasti mengkaji sesuatu dengan mendalam. Ada sesuatu di dalam dia yang sering menarik perhatian saya, terutama pemikirannya. Walaupun demikian, satu bantahan berani terhadap pendapat FT telah diutarakan oleh seseorang melalu laman muka buku, dan sengaja saya sertakan di sini. Sila klik SINI untuk baca lebih lanjut. Ada juga pendapat yang dinyatakan di dalamnya yang perlu diambil kira.

Sesi selepas zuhur yang mengundang ngantuk kepada para peserta sebolehnya saya cuba gunakan sebaiknya. Saya tertarik dengan senarai buku-buku terhebat ketika sesi pembentangan oleh Prof Emeritus Dr. Abdullah Hassan. Banyak karya hebat yang saya tidak tahu tapi harus mengambil tahu selepas ini, tapi sayangnya ada banyak karya hebat tulisan Cendekiawan Islam yang tidak diketengahkan.

Perkongsian Tuan Kamil Zuhairi yang fasih berbahasa Parsi tidak kurang juga menariknya. Beliau membentangkan perspecktif sejarah tradisi intelektual Parsi, tapi memulakan perkongsian dengan memberi definisi tajuk seminar yang dihadiri peserta. Tertarik dengan kata-kata beliau: "Sungguh berat sebenarnya tanggungjawab sebagai seorang pencinta buku". Ya, sangat berat. Saya baru merasakan itu walaupun sudah memiliki beribu buku peribadi. Pencinta buku bukanlah hanya cinta kosong semata-mata, akan tetapi ia adalah cinta sebelah pihak yang harus disertai dengan pengorbanan untuk mencurahkan ilmu setelah menghadam isi sesebuah buku. Sebuah cinta hebat yang mekarnya tid ak akan pudar selagi ilmu berbekas di dada bukan hanya di atas kertas semata-mata..

Pameran buku-buku karya Ustaz Abdullah al-Qari

Perkongsian terakhir adalah satu sesi istimewa bersama Ustaz Abdullah al-Qari Hj Salleh, seorang penulis berusia 73 tahun yang telah menghasilkan lebih 300 buah buku, dan bukunya diterbitkan dan dijual sendiri oleh beliau. Sungguh tidak disangkakan tubuh kecilnya itu masih kuat, dan usia tua bukan penghalang, malah masih sangat rendah diri dengan mengharapkan keuntungan di Akhirat kelak. Memulakan dunia penulisan sejak berumur 15 tahun dan mengatakan pernah berjumpa Rasulullah di dalam mimpi. Wallahu'alam. Tapi usaha murninya menyebarkan dakwah melalui tulisan sangat disanjung tinggi dan dikagumi.

Alhamdulillah, puas hati walaupun hanya satu hari. Syukur juga kerana bertemu kenalan baru yang hebat-hebat. Moga jaringan yang dibina bukan hanya sementara, tapi berkekalan di atas dasar cintakan Allah dan wahyu pertama yang menuntut agar membaca.

"Shopping" buku di ITNM untuk bulan September.

Cintakan buku, terus maju..

Allah Mahu Tahu.

**Sebahagian gambar telah diambil dari SINI dan SINI.

1 comment: